Sunday, February 12, 2006

Rambutan Malaysia vs Laici Singapura

Rambutan Malaysia dilabel laici Singapura

Oleh: SAIFULIZAM MOHAMAD

KUALA LUMPUR 11 Feb. - Pelabur Singapura yang mengadakan kerjasama dengan pengusaha Malaysia bertindak mengelirukan negara-negara pengguna dengan mendakwa produk pertanian negara ini sebagai produk mereka.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika mendedahkan perkara ini berkata, antara produk pertanian Malaysia yang didakwa dihasilkan di Singapura ialah ikan hiasan, bunga dan buah-buahan.

``Saya pernah ke Hong Kong beberapa tahun lalu serta memasuki sebuah kedai menjual buah-buahan dan mendapati kedai itu menjual rambutan segar tetapi malangnya ia dilabel sebagai laici Singapura (Singapore's Lychee).

``Tidak mungkin Singapura menghasilkan rambutan hingga boleh dieksport kerana untuk menjadi pengeksport, jumlah keluarannya hendaklah banyak,'' katanya.

Sehubungan itu, Muhyiddin berkata, kementeriannya akan mengkaji semula syarat-syarat perjanjian sebelum kontrak pertanian dibuat antara petani dan pelabur pada masa akan datang.

Beliau berkata, pihaknya juga akan mengkaji isu itu dalam konteks Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) sama ada ia adalah satu kesalahan atau tidak selari dengan dasar organisasi perdagangan antarabangsa itu.

Muhyiddin berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan pelancaran pra sukan kementerian itu di Kelab Golf Perkhidmatan Awam (KGPA) Bukit Kiara, di sini hari ini.

Pada majlis itu, beliau turut meraikan delegasi kementerian yang akan mengadakan misi pelaburan ke Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Jeddah, Arab Saudi.

Muhyiddin berkata, masalah itu telah lama berlaku dan pihaknya kini sedang melakukan siasatan terperinci supaya isu terbabit dapat diperbetulkan.

Katanya, apa yang dilakukan oleh pelabur Singapura itu memberi kesan dari segi perolehan faedah yang sepatutnya dikongsi secara lebih adil serta pengiktirafan kepada produk pertanian negara di peringkat antarabangsa.

``Mereka yang terlibat ini ialah pelabur yang mempunyai kontrak pertanian dengan petani kita khususnya di Johor.

``Antara maklumat yang diterima ialah mereka tidak membenarkan petani kita membungkus hasil pertanian, sebaliknya pembungkusan perlu dibuat di Singapura. Ia kemudian dilabelkan sebagai produk Singapura sebelum dieksport,'' katanya.

Menurut Muhyiddin, kementeriannya kini dalam usaha mengumpulkan segala maklumat termasuk menemui petani yang mempunyai kontrak pertanian dengan pelabur di republik itu.

Selepas siasatan dan maklumat tepat diperoleh, pihaknya mungkin akan mengadakan rundingan dengan kerajaan Singapura sekiranya perlu.

``Kita bukannya menghalang mereka untuk melabur, malah kita galakkan tetapi mereka perlu memberikan fakta yang benar,'' tambahnya.

Petikan: Utusan Malaysia 12 Februari 2006

0 Comments:

Post a Comment

<< Home