Wednesday, February 22, 2006

Bayi Luar Nikah

Majoriti bayi Britain dilahir luar nikah

LONDON: Satu kajian terbaru mendakwa majoriti kelahiran bayi di Britain menjelang 2012 adalah anak luar nikah jika trend atau aliran semasa seperti masalah keruntuhan moral semakin meruncing.

Britain turut menjadi negara keempat memiliki kadar kelahiran bayi luar nikah tertinggi di Eropah selepas Sweden, Denmark dan Perancis, lapor akhbar Telegraph semalam.

Kota London, bagaimanapun, mencatat bilangan kelahiran luar nikah yang kecil iaitu satu pertiga berikutan kehadiran ramai masyarakat Islam yang lebih berpegang kepada nilai murni agama yang mengharamkan amalan pasangan tinggal bersama tanpa ikatan rasmi.

“Hampir separuh institusi keluarga membabitkan pasangan lelaki dan wanita yang tidak berkahwin dan sehingga satu pertiga daripadanya adalah ibu atau bapa tunggal,” kata Dr Peter Brierley, bekas ahli statistik kerajaan Britain yang juga pakar aliran keagamaan.

Ramalannya itu berdasarkan pendedahan angka rasmi kelmarin yang menunjukkan kadar kelahiran di luar nikah meningkat tiga kali ganda sejak beberapa dekad lalu.

Laporan Trend Sosial Pejabat Statistik Kebangsaan Britain menunjukkan, angka itu meningkat kepada 42.3 peratus tahun lalu.

Angka itu jauh lebih tinggi berbanding 32 peratus pada 1994 manakala awal 1970-an, adalah kurang 10 peratus.

Malah, kelahiran anak luar nikah itu mencecah lebih 50 peratus di beberapa wilayah termasuk Wales.

Antara faktor utamanya adalah disebabkan peningkatan bilangan pasangan yang tinggal bersama tanpa ikatan yang sah. Selain itu, masalah ibu atau bapa tunggal turut meningkat.

Masalah itu mencetuskan kebimbangan ramai aktivis atau kumpulan properkahwinan yang menyifatkan ia boleh menjejaskan struktur sosial yang amat penting.

“Laporan itu turut menunjukkan anak-anak yang dibesarkan pasangan suami isteri lebih cemerlang berbanding anak ibu atau bapa tunggal.

“Jika kita mencecah tahap yang mana separuh anak-anak ini lahir di luar ikatan perkahwinan, ini bermakna kita mengubah asas masyarakat yang berfungsi sejak berdekad lamanya,” kata Brierley yang juga Pengarah Eksekutif Christian Research, sebuah pertubuhan sukarela yang menilai statistik gereja. – Agensi

BH 22.02.2006

0 Comments:

Post a Comment

<< Home