Monday, February 20, 2006

Besi Buruk

Kapal selam Belanda akhirnya jadi besi buruk

KUALA LUMPUR 19 Feb. - Tijgerhaai dan Zwaardis, dua buah kapal selam Belanda yang mulanya diura-ura akan dijual kepada Malaysia akhirnya akan dimusnah menjadi `besi buruk'.

Kapal selam diesel-elektrik 20 torpedo itu merupakan monumen yang lima tahun tersadai di Lumut mengingatkan persaingan sengit syarikat antarabangsa yang cuba melobi Malaysia untuk membeli kapal selam mereka.

Menurut Ketua Jabatan Kapal Selam dari PSC Naval Dockyard Muhammad Razalina, kapal itu sudah tidak boleh bergerak lagi kecuali jika dilakukan baik pulih secara besar-besaran terhadap enjin.

``Tender memotong kapal selam terbabit akan dikeluarkan oleh kerajaan Belanda tidak lama lagi, kita akan dapat tender itu memandangkan kapal selam terbabit memang berada di Lumut,'' katanya ketika dihubungi.

Pemilik kapal selam itu, Rotterdamsche Droogdok Maatschappij (RDM) menanggung banyak hutang kepada PSC termasuk perkhidmatan menjaga dan sewa dermaga selama lima tahun, katanya.

Hutang itu bagaimanapun dijelaskan oleh kerajaan Belanda dalam jumlah yang `cukup banyak', katanya.

Sejarah Tijgerhaai dan Zwaardis bermula lima tahun lalu selepas RDM mengambil PSC sebagai rakan kongsi untuk menjual kapal selam itu kepada Malaysia sebagai kapal latihan.

Taktik itu pernah dibuat oleh German Naval Group (GNG) yang bekerjasama dengan PSC untuk memperoleh tender pembinaan 27 kapal peronda baru, GNG berjaya dan mengalahkan pesaingnya dari Australia.

Ramai pihak yakin RDM akan berjaya mendapatkan kontrak itu memandangkan kapal selam tersebut sudah berada di Malaysia.

Antara yang bersaing untuk mendapatkan tawaran projek kapal selam Malaysia itu ialah Kockums (model kapal selamnya turut dipakai oleh Singapura), DCN International, RDM dan sebuah lagi syarikat dari Jerman yang menawarkan kapal selam kelas Type 209.

DCN International kemudiannya terpilih untuk membina dua buah jenis kapal selam Scorpene, satu-satunya kapal selam diesel-elektrik yang mampu menembak peluru berpandu dari dalam laut dan membekalkan Malaysia sebuah kapal selam kelas Agosta untuk tujuan latihan.

RDM tertewas, Tijgerhaai dan Zwaardis akhirnya tersadai dan bil tempoh kapal selam itu berlabuh dan dijagai oleh kakitangan PSC di Lumut mencecah jutaan dolar Amerika.

Menurut laporan media Belanda, kerajaan Belanda bimbang jika kapal selam itu akan disita oleh pihak berkuasa Malaysia kerana RDM menanggung hutang yang banyak kepada PSC dari segi perkhidmatan baik pulih dan sewa dermaga selama lima tahun sejak kapal selam itu tiba di Lumut.

Mereka juga bimbang teknologi seperti radar, sonar dan teknologi tiub torpedo kapal itu akan terlepas ke tangan pihak asing.

Akhirnya, kerajaan Belanda terpaksa campur tangan dan mengeluarkan duitnya sendiri untuk membayar hutang-hutang RDM dan juga kos pemusnahan kapal selam itu yang dijangka akan dibuat di Lumut pada tahun ini. - Bernama

Petikan: Utusan Malaysia 20 Februari 2006

0 Comments:

Post a Comment

<< Home