Friday, February 24, 2006

Tudung

Kes larang bertudung disiasat
Oleh Hassan Omar

KUALA LUMPUR: Pengurusan sebuah hotel bertaraf lima bintang di sini yang didakwa melarang seorang kakitangannya memakai tudung, disoal siasat dua pegawai Jabatan Tenaga Kerja (JTK) bagi memastikan kesahihan dakwaan berkenaan, semalam.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Dr Fong Chan Onn, menegaskan jika terbukti dakwaan itu benar, pengurusan itu akan dikenakan tindakan tegas kerana ia bertentangan dengan norma kemanusiaan di negara ini.

Beliau berkata, pegawai JTK menjalankan siasatan dengan menemui pengurusan tertinggi hotel berkenaan kira-kira jam 9 pagi semalam dan akan berjumpa wanita itu hari ini.

“Walaupun tidak ada akta untuk mengambil tindakan tegas terhadap majikan yang tidak membenarkan kakitangannya memakai tudung, masih ada tindakan lain boleh kami ambil,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan Anugerah Kecemerlangan Industri Insurans Nyawa anjuran akhbar berbahasa Cina, Oriental Daily News, di sebuah hotel, di sini semalam.

Hadir sama, Timbalan Ketua Pengarang akhbar itu, Ko Keak Hock dan Presiden Persatuan Insurans Nyawa dan Penasihat Kewangan Kebangsaan (Namlifa), Kenny Chong. Ia bertujuan menghargai sumbangan syarikat insurans nyawa dalam membantu masyarakat melalui program kebajikan masing-masing.

Bagaimanapun, Fong yang enggan menjelaskan tindakan yang bakal dikenakan terhadap pengurusan hotel itu jika dakwaan berkenaan berasas, berkata wanita berkenaan boleh mengambil tindakan undang-undang terhadap majikannya.

Ditanya sama ada kementerian ada menerima aduan seumpama itu sebelum ini, Fong berkata, setakat ini beliau tidak menerima laporan mengenainya.

Kelmarin, Pengarah Akaun (Pengarah Jualan) bagi sektor kerajaan dan diplomatik hotel itu, Habsah Jaafar, 46, mendakwa pengurusan hotel berkenaan bertindak demikian dan beliau diberi pilihan untuk menanggalkan tudung ketika bertugas atau berhenti kerja jika enggan mematuhinya.

Sementara itu, Penyelaras Projek Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Noor Nirwandy Mat Noordin, dalam kenyataannya yang dikeluarkan di sini semalam, berkata PPIM sedia mengambil tindakan undang-undang terhadap pengurusan hotel berkenaan jika dakwaan itu benar.

“PPIM memandang serius isu ini dan menggesa pihak terbabit (pengurusan hotel) memahami tuntutan Perlembagaan Malaysia dan tidak menafikan hak masyarakat Islam,” katanya.

“Pelabur dan pengusaha tempatan mesti peka terhadap budaya masyarakat di negara ini. Kegagalan mengadaptasi budaya di negara ini adalah kelemahan yang perlu diberi perhatian,” katanya.

“Soal memakai tudung tidak ada kena-mengena dengan kerja. Majikan hanya boleh mengambil tindakan terhadap pekerja jika mereka melakukan kesalahan yang berkaitan dengan tugas. Ia tidak boleh menjadi asas untuk majikan memberhentikan pekerja,” katanya.

BH 24.02.2006

0 Comments:

Post a Comment

<< Home