Monday, April 24, 2006

Ghafar negarawan tulen

Oleh Kalimullah Hassan
SEWAKTU zaman kanak-kanaknya, beliau sering menyelongkar untuk mencari makanan kerana keluarganya amat daif. Bagi membiayai persekolahan dan membantu meringankan beban keluarga, beliau menjadi kedi golf walaupun upahnya hanya beberapa puluh sen.

Kebiasaannya seseorang itu akan sedikit ego apabila nasib hidupnya berubah, apalagi seperti Abdul Ghafar Baba yang kemudian memegang pelbagai jawatan kanan di bawah pentadbiran empat Perdana Menteri – sebagai Ketua Menteri Melaka, Ahli Parlimen, Menteri Kabinet dan terakhir, Timbalan Perdana Menteri.

Namun, Tun Abdul Ghafar Baba kekal sebagai Abdul Ghafar Baba - manusia biasa dan sederhana; yang datang dari kalangan rakyat biasa; tidak cerewet dan sentiasa merendah diri; pejuang bangsa dan pahlawan negara sehingga ke akhir hayat.

Memang tidak dinafikan bahawa Allahyarham tidak sempurna. Tetapi siapa di antara kita yang boleh mengakui serba sempurna? Hakikatnya Ghafar adalah gergasi di kalangan manusia yang ada.

Beliau tidak dilahirkan dalam kemewahan tetapi itu tidak pernah menghalangnya daripada berusaha untuk mengeluarkan dirinya daripada belenggu kemiskinan dan menjadi guru berkelulusan Maktab Perguruan Sultan Idris, institusi perguruan terunggul ketika itu.

Berapa ramai anak miskin pada zaman beliau yang bernasib baik untuk bersekolah, apa lagi ke universiti?

Pada usia 15 tahun, beliau sudah mempunyai kesedaran betapa pentingnya rakyat Malaya bebas daripada penjajahan. Beliau adalah pejuang kemerdekaan sebaris dengan Datuk Onn Jaafar, Tunku Abdul Rahman, Tun Abdul Razak, Tun H S Lee, Tun Tan Cheng Lock dan Tun V T Sambanthan serta ramai lagi wira yang tidak didendang.

Pemergian beliau pagi semalam menandakan berakhirnya satu lagi era – tamatnya era kehidupan pejuang kemerdekaan barisan hadapan.

Banyak lagi perkara yang saya boleh katakan mengenai Tun Abdul Ghafar Baba.
Saya pernah berkhidmat dengannya sebagai setiausaha akhbar untuk tempoh singkat ketika Allahyarham menjadi Timbalan Perdana Menteri dan perhubungan dengan beliau dan keluarga terus terjalin sehingga kini.

Dua malam lalu, ketika berdiri di luar Unit Rawatan Rapi (ICU) Pusat Perubatan Gleneagles Intan, anak lelaki Allahyarham, Asri, mengurut lengan dan membaca doa untuk bapanya yang tidak sedarkan diri.

Satu-satunya tanda yang beliau masih bernafas hanyalah paparan skrin tekanan darah dan pernafasan.

Ketika itu, anggota keluarganya menceritakan satu insiden, yang pada saya, menunjukkan siapa Ghafar sebenarnya.

Sebelum jatuh koma minggu lalu, Ghafar mengalami tekanan yang membimbangkan keluarga dan kakitangan perubatan. Tiada siapa tahu apakah perkara yang sangat merunsingkan beliau sehingga pihak hospital menghantar dua psikiatri untuk bercakap dengannya.

Dengan perlahan, bertutur dalam keadaan yang amat sukar dan di sebalik tiub yang membantu pernafasannya, Ghafar memberitahu mereka, beliau khuatir mengenai Umno, rakyat dan masa depan negara yang menghadapi pelbagai cabaran.

Di saat-saat akhir hayatnya pun, Ghafar masih lagi memikirkan nasib rakyat dan negaranya, bukannya keadaan beliau yang tenat itu.

Memang beliau sukakan golf. Beliau juga gemar bermain tenis dan meminati keroncong. Ketika zaman mudanya, Ghafar turut menggemari joget. Daripada semua itu, cinta beliau kepada negara, rakyat, bangsanya, Umno dan juga Barisan Nasional, melebihi segala-galanya.

Dalam era ramai yang berlumba-lumba mahukan gelaran Datuk, Tan Sri dan Tun, Ghafar tidak pernah berasa beliau berhak untuk diberi gelaran seperti itu serta n banyak kali menolak tawaran daripada Sultan dan Raja. Beliau lebih selesa bergelar Encik atau lebih mesra dengan gelaran Pak Ghafar sehingga bersara pada 1993.

Kesetiaan Ghafar kepada Umno dan negara, boleh dilihat melalui perjalanan kerjaya politiknya. Di sebalik naib presiden paling kanan dalam Umno apabila Tun Abdul Razak meninggal dunia pada 1976, lalu diganti oleh Tun Hussein Onn sebagai Perdana Menteri dan Presiden Umno, Ghafar tidak dilantik sebagai timbalan Perdana menteri. Jawatan itu diberikan kepada Datuk Seri (kini Tun) Dr Mahathir Mohamad.

Kononnya, ketiadaan kelayakan pendidikan dikatakan menjadi kriteria utama untuk tidak melantik beliau. Ghafar, kalau mahu, boleh menjadikan itu isu dan menarik sokongan kepadanya seperti dilakukan oleh ramai pemimpin politik.

Sebaliknya, Allahyarham melepaskan jawatan dalam Kabinet, memberi sokongan padu kepada Hussein dan Dr Mahathir serta tetap menjadi penyokong setia parti. Malah, beliau tidak pernah mengeluarkan kenyataan bernada protes.

Pada 1985, apabila MCA berdepan dengan krisis kepemimpinan paling teruk dalam sejarahnya, Ghafar diminta menyelesaikannya dan beliau diterima oleh masyarakat Cina untuk sementara waktu mempengerusikan urusan dan menyelesaikan sebarang masalah dalam parti itu.

Setahun selepas itu, apabila Datuk (kini Tan Sri) Musa Hitam meletak jawatan sebagai Timbalan Perdana Menteri, yang menyebabkan Umno dilanda krisis, Ghafar sekali lagi diminta meninggalkan urusan perniagaannya dan berkhidmat sebagai Timbalan Perdana Menteri. Tanpa banyak cakap, beliau menerima amanah itu.

Apabila Umno diisytiharkan sebagai pertubuhan haram oleh Mahkamah Tinggi pada 1987 dan kebanyakan orang kuat parti itu keluar untuk menubuhkan kumpulan alternatif, Ghafar teguh berdiri di belakang Dr Mahathir, membina semula Umno daripada keadaan yang hampir berkecai. Beliau mengetuai kempen dalam pelbagai pilihan raya kecil menentang bekas pemimpin Umno ketika itu, sekali gus memastikan survival Umno.

Pada 1990, apabila Parti Bersatu Sabah (PBS) bertindak keluar daripada Barisan Nasional (BN) di mana Ghafar adalah setiausaha agungnya yang pertama dan paling lama, untuk menyokong pembangkang menjelang pilihan raya, Allahyarham diberikan kepercayaan untuk membina Umno di negeri itu.

Beliau berjaya meyakinkan rakan lamanya, Tun Datu Mustapha Harun untuk membubarkan Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO), yang menjadi asas penubuhan Umno di negeri itu. Hari ini, Umno adalah menjadi parti politik paling kuat di negeri itu dan membantu Sabah menikmati kestabilan politik yang tidak pernah berlaku sebelumnya.

Ketika kerajaan menghadapi masalah dengan Raja-Raja Melayu dalam krisis Perlembagaan terburuk pada 1992, Ghafar sekali lagi, dengan kemampuan dan pendekatan lembutnya walaupun ketika berdepan dengan lawan paling keras, memainkan peranan menyelesaikan masalah itu.

Banyak pihak yang mengaku memainkan peranan penting dalam semua peristiwa ini tetapi hakikatnya ialah Ghafar, sebagai Timbalan Perdana Menteri ketika itu, diberi kepercayaan penuh oleh ketuanya, Dr Mahathir, untuk menyelesaikannya.

Tidak seperti pemimpin seangkatannya ketika itu yang kandang kala agak kasar atau suka menunjuk-nunjuk, Ghafar kelihatan melakukannya dengan mudah. Ini kerana beliau mendapat kepercayaan mereka yang berurusan dengannya dan beliau tidak mempunyai agenda tersendiri, hanya agenda bangsa.

Barangkali, perkara paling buruk dialami Allahyarham ialah pada 1993 apabila mereka yang beliau asuh dan didik berpaling tadah menentangnya untuk mendapatkan kuasa dalam kempen yang dianggap terburuk dalam sejarah pemilihan Umno.

Ia adalah pada tahun Datuk Seri Anwar Ibrahim membuat keputusan untuk mencabar Tun Ghafar bagi jawatan Timbalan Presiden Umno. Tidak ramai yang tahu ketika itu Ghafar dua kali menawarkan diri untuk melepaskan jawatannya bagi memberi laluan kepada Anwar untuk mengelakkan perpecahan dalam parti tetapi tawarannya ditolak.

Akhirnya, berlakulah kempen paling sengit yang menyaksikan Ghafar diserang dan dicemuh sama ada secara terbuka atau melalui media oleh mereka yang memihak kepada Anwar.

Begitupun, sepanjang masa sejak saya mengenalinya, Ghafar tidak pernah pernah menunjukkan rasa dendam atau marah kepada mereka yang mengaibkannya itu. Beliau hanya sedih dan musykil apakah dosanya sehingga diperlakukan sedemikian rupa.

Allahyarham adalah seorang yang pemaaf, bukannya pendendam. Dalam kata lain, beliau ialah seorang Melayu budiman dengan cara lama, sifat yang semakin berkurangan sekarang.

Saya pernah menyaksikan beliau memaafkan musuh dan pengkritiknya dengan mengawal kemarahan supaya tidak meluahkan kata-kata yang mungkin menyakitkan hati orang atau beliau sendiri dikesalinya nanti.

Pada 1995, apabila Ghafar semakin dilupai, kerajaan berhasrat memberi penghormatan kepadanya dan berusaha memujuknya supaya menerima anugerah tertinggi negara, Seri Setia Mahkota (SSM) daripada Yang di-Pertuan Agong, yang membawa gelaran ‘Tun’.

Beliau, yang masih tersinggung dengan peristiwa 1993, tidak menjawab panggilan dan lawatan pegawai daripada Pejabat Dr Mahathir. Kemudiannya, Setiausaha Agung Umno, Datuk (kini Tan Sri) Mohamed Rahmat meminta saya membantu.

Saya dan anak Ghafar, Sofi, pergi menemui Allahyarham untuk memujuknya menemui Mohamed. Kami memberitahu beliau bahawa apa pun, Dr Mahathir adalah Presiden Umno dan Perdana Menteri dan Mohamed adalah wakilnya. Ketika itulah, Ghafar kembali lembut - menunjukkan kesetiaan tidak berbelah bagi kepada Perdana Menteri dan Presiden Umno - dan bersetuju menemui Mohamed.

Selepas itu, kami membawa Mohamed dan Setiausaha Eksekutif Umno ketika itu, Datuk Yaakob Mohamad, menemui Ghafar. Walaupun terkilan dengan apa yang dilakukan terhadapnya, Allahyarham tidak sekali-kali menunjukkan rasa marah. Cuma beliau kelihatan sedikit diam di awal pertemuannya dengan Mohamed dan Yaakob.

Saya dimaklumkan oleh Sofi bahawa Ghafar bersetuju untuk berjumpa Dr Mahathir dan akhirnya menerima anugerah itu. Allahyarham menerimanya bukan kerana hendakkan gelaran, tetapi mahu mengurangkan rasa bersalah mereka yang menikamnya dari belakang pada 1993. Beliau mahu penerimaan anugerah itu menjadi penutup kepada apa yang berlaku.

Sepanjang 66 tahun menjadi sebahagian daripada perjuangan mencapai kemerdekaan dan 55 tahun menyertai Umno, Ghafar tidak sekali-kali menentang kerajaan atau partinya. Kesetiaan dan semangat patriotiknya kekal sehingga akhir hayat. Negara kehilangan seorang negarawan terulung.
Al-Fatihah.

Friday, April 14, 2006

Jambatan vs Tambak



Tuesday, April 04, 2006

Siti Tudung Periuk


Bila dah LAWA, pakai tudung lagilah LAWA...
Kenapa nak tunggu dah berumahtangga baru nak bertudung?
Dunia...dunia....
"Bisnes jual manusia lebih untung dari jual unta" - Saudagar Unta Usin Lempoyang.