Thursday, June 23, 2005

Buli Bukan Budaya ISLAM

Perpektif IKIM: Buli bukan budaya Islam

KES buli terus berlaku di sekolah walaupun pelbagai langkah dan tindakan diambil untuk mengatasinya. Mengapakah buli terjadi?

Kajian Presiden Persatuan Psikologi Malaysia, Prof Datin Dr Noran Fauziah Yaakub, mendapati faktor utama adalah si pembuli berasa puas apabila berjaya menyakiti mangsa secara lisan dan fizikal. Dengan kata lain pembuli membuli orang lain sekadar untuk ‘berseronok’.

Kajian itu juga mendapati kebanyakan mereka yang terbabit dengan buli tidak mempunyai hubungan kekeluargaan kukuh dan datang daripada keluarga yang tidak mengambil berat pendidikan agama.

Jika hasil kajian Dr Noran ini mengatakan bahawa kebanyakan pembuli datang daripada keluarga yang tidak mengambil berat pendidikan agama, persoalan kedua ialah mengapakah kes buli turut berlaku di sekolah agama? Mungkin perlu ada kajian lapangan susulan untuk menjawab persoalan ini.

Islam tidak menganjurkan penindasan dan salah satu sifat orang Islam ialah tidak memberi masalah kepada saudara seIslam.

Budaya buli adalah kezaliman yang menyebabkan mangsanya akan mengalami gangguan mental dan fizikal berterusan.

Apatah lagi jika berlaku di kalangan pelajar sekolah yang sepatutnya memanfaatkan masa muda dengan menuntut ilmu.

Kementerian Pelajaran walaupun mengumumkan penubuhan Jawatankuasa Petugas Khas bagi menangani samseng dan buli di sekolah pada April lalu serta mewujudkan talian hotline, SMS, e-mel dan sebagainya bagi membolehkan aduan dibuat, namun keberkesanannya masih belum dapat disahkan. Buktinya gejala buli masih berlaku dan kebelakangan ini makin banyak kes baru yang dimuatkan di dada akhbar.

Apa yang jelas kita ada jawatankuasa khas untuk menangani masalah ini. Mungkin dari segi pelaksanaan ia memerlukan komitmen daripada semua pihak, baik keluarga, pengetua sekolah, guru, warden asrama atau pelajar.

Tiada gunanya pelajar hanya mencapai kecemerlangan dari segi akademik, sedangkan sahsiah mereka berada dalam kegawatan. Jadi, kita perlu pastikan mereka bukan saja cemerlang dalam pencapaian akademik, malah berkeperibadian unggul.

Dalam konteks pendekatan Islam Hadhari, isu buli jika tidak ditangani dengan bijaksana boleh merencatkan pembangunan kerajaan. Banyak prinsip Islam Hadhari tidak dapat difahami jika isu ini berpanjangan.

Kita mungkin tidak dapat mewujudkan masyarakat Islam beriman dan bertakwa kepada Allah jika ada anggotanya yang tidak mengamalkan moral luhur. Buli bukan lahir daripada keimanan dan ketakwaan kepada Allah.

Ia adalah hasil kedaifan iman dalam sanubari kerana orang beriman dan bertakwa, tidak memberi masalah atau menyusahkan orang lain. Sebaliknya, masyarakat senang dengan kehadirannya.

Petikan: Berita Harian 23 Jun 2005

Kes Buli SMA Kritikal!!!!

Pelajar SMA bergaduh lagi tidak peduli teguran Sultan

Oleh RUHAIDINI ABD KADIR


KUANTAN 22 Jun - Satu pergaduhan membabitkan pelajar-pelajar Sekolah Menengah Agama (SMA) Al-Maidah Addiniah, Padang Tengku di Kuala Lipis, tercetus semula empat hari lalu - tidak sampai seminggu selepas Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah melawat sekolah berkenaan.

Pergaduhan itu menunjukkan teguran baginda terhadap pelajar-pelajar di sekolah berkenaan ekoran kejadian membelasah seorang pelajar sekolah itu April lalu tidak diberi perhatian serius.

Pergaduhan terbaru itu yang berlaku Ahad lalu membabitkan pelajar tingkatan lima didedahkan oleh Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Lipis, Abu Jimi Samat hari ini.

``Biro Pengaduan Pemuda UMNO Lipis telah menerima aduan daripada ibu bapa mangsa berhubung perkara ini.

``Kita memandang serius masalah ini dan berharap pihak-pihak yang terlibat dapat bersama-sama membantu menangani masalah ini,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini.

Beliau kesal kerana pergaduhan itu berlaku tidak sampai seminggu selepas Sultan Ahmad Shah yang diiringi Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob dan Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Tun Husein melawat sekolah tersebut pada 21 Jun lalu.

Dalam lawatan itu, Sultan Ahmad Shah menemui pelajar dan guru sekolah berkenaan serta mengadakan sesi dialog berhubung insiden yang menimpa pelajar tingkatan satu sekolah itu, Muhammad Afiq Qusyairi Baharuddin yang cedera parah selepas dibelasah pelajar senior.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Padang Tengku, Abdul Rahman Mohamad mengakui banyak kejadian buli berlaku di sekolah berkenaan yang dimaklumkan kepadanya.

``Kes Muhammad Afiq sebenarnya bukanlah kes terpencil, banyak lagi kes sedemikian di sekolah itu. Ia pernah berlaku sebelum insiden yang menimpa Afiq dan selepas itu pun masih berlaku.

``Justeru saya berharap pelajar atau ibu bapa terbabit tampil membuat laporan berhubung kejadian yang menimpa anak mereka,'' katanya.

Beliau mahu ibu bapa pelajar yang menjadi mangsa tidak menyembunyikan perkara sebenar yang menimpa anak-anak mereka sebaliknya berani untuk mendedah kejadian itu.

``Sebelum kes Afiq, seorang pelajar sekolah itu, Badri Zainal Ali, 14, menghadapi risiko pekak akibat ditempeleng oleh pelajar tingkatan lima sekolah berkenaan.

``Kes ini tidak dilaporkan dan mangsa yang telah berpindah sekolah masih perlu menjalani rawatan dan pemeriksaan sehingga hari ini,'' katanya.

Kejadian yang menimpa Badri hanya dapat dikesan selepas lebih dua minggu insiden membuli Muhammad Afiq didedahkan media.

Badri yang telah berpindah ke Sekolah Menengah Kebangsaan Kerambit, Kuala Lipis selepas kejadian itu Januari lepas, kini masih menjalani pemeriksaan telinga di Hospital Daerah Lipis.

Beliau yang telah dua kali menjalani pemeriksaan itu dan sekali di Hospital Mentakab, kini dirujuk ke Hospital Temerloh.

Sementara itu, keluarga kepada pelajar yang menjadi mangsa buli diminta membuat aduan kepada Biro Pengaduan Awam Pemuda UMNO Lipis di talian 09-3122084.

Petikan berita: Utusan Malaysia 23 Jun 2005

Monday, June 13, 2005

Biasiswa vs Pinjaman

Terbaca akhabar Utusan Mingguan 12/6/2005 tajuk "Lagi pelajar cemerlang SPM gagal dapat biasiswa JPA".

Dalam hati berkata....Mengapa nak salahkan JPA? Kalau nak belajar jangan lah nak tunggu dapat biasiswa baru nak belajar....Boleh ambik pinjaman PTPTN ke...MARA ke....Bak kata pepatah orang Melayu, "Nak 1000 daya, Tak ndak 1000 dalih". Sampai bila kita asyik nak mengharapkan Biasiswa? Biasiswa ni sesuai untuk mereka yang dari keluarga yang susah. Dari keluarga yang senang....buat ler pinjaman....kereta/rumah/komputer boleh ambik pinjaman..takkan nak belajar , tak boleh ambik pinjaman....?????

Petikan seperti di bawah;

Lagi pelajar cemerlang SPM gagal dapat biasiswa JPA

Oleh: DIYANA ROSE KAMALLUDEEN

KUALA LUMPUR 11 Jun - Seorang lagi pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2004 gagal memperoleh biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

Abdul Azim Abdul Rahim, 18, bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Subang Utama, Subang Jaya, yang memperoleh 12A1 dalam SPM 2004, mengetahui permohonannya ditolak setelah dia membuat semakan menerusi laman web JPA, Isnin lalu.

Berbanding lima lagi pelajar cemerlang yang sebelum ini juga gagal mendapat biasiswa itu, tetapi ditawarkan semula semalam, nasib Abdul Azim masih kelabu.

``Perkara ini sangat mengecewakan, terutama apabila kita dipandang sebagai pelajar contoh, tetapi gagal mendapat peluang untuk meneruskan pelajaran dalam bidang yang diminati,'' katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengadu masalahnya itu kepada Pengerusi Biro Pendidikan Pergerakan Pemuda UMNO, Ahmad Ikmal Ismail di sini hari ini.

Kegagalan pelajar cemerlang lain mendapat biasiswa JPA mendapat perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi; Presiden MCA, Datuk Seri Ong Ka Ting dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Jamaluddin Ahmad Damanhuri yang kemudiannya meluluskan permohonan mereka.

Sementara itu, Ahmad Ikmal memberi jaminan akan berusaha menyelesaikan masalah itu secepat mungkin dan menemui JPA, Isnin ini bagi membolehkan Abdul Azim melanjutkan pelajarannya ke luar negara.

Jelasnya, perkara itu sudah dimaklumkan kepada Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

``Pemuda merayu kepada JPA dan Kementerian Pelajaran supaya memberikan peluang seperti yang telah dijanjikan kepada pelajar-pelajar cemerlang.

Katanya, beliau akan turut mengemukakan cadangan kepada JPA supaya mengadakan kerjasama dengan Kementerian Pelajaran untuk memberi keutamaan biasiswa kepada pelajar cemerlang.

Dalam pada itu, Jamaluddin yang dihubungi hari ini memberi jaminan JPA akan memberi perhatian dan meneliti rayuan Abdul Azim untuk mendapatkan biasiswa itu.


Petikan: Utusan Mingguan 12 Jun 2005

nota: aku dulu pun untuk belajar ambik pinjaman....walaupun mak bapak aku hanya seorang peneroka felda.

Wednesday, June 01, 2005

Berita Yang Memalukan Sekolah Agama.

Baca Berita Harian Online hari ni. Kisah Pelajar Tingkatan Satu sekolah agama mungkin lumpuh akibat dibelasah pelajar senior. Mengapa berlaku di sekolah agama? Dimana silapnya? Adakah sebab sistem pendidikan yang silap?

Pada tahun 1990, saya pernah mengajar selama lebih kurang 9 bulan sebagai Guru Sandaran di Sekolah Agama Maran. Pernah saya beritahu pelajar agama bahawa dari sekolah agama ini akan keluarlah ulama', khadi, ustaz-ustaz.....jadi mereka kena tunjukkan akhlak islam kepada masyarakat.

Pernah terdengar cerita orang, kalau dalam satu keluarga jika terdapat anak yang pintar maka akan dihantar lah anak itu ke sekolah sains atau teknik. Tetapi jika terdapat anak yang kurang pintar atau nakal maka anak tersebut akan dihantar ke sekolah agama. Dengan harapan supaya anak yang nakal tersebut akan jadi baik...jadi ustaz.... Itu harapan ibubapa. Memang dari pengalaman saya, mungkin ada benarnya cerita ini.

Apa pandangan tuan?