Monday, August 28, 2006

Nada Dering........!!!

Ulama Saudi larang nada dering azan, ayat al-Quran

RIYADH: Ulama Arab Saudi melarang laungan azan dan bacaan ayat suci al-Quran dijadikan sebagai nada dering telefon bimbit kerana ia dianggap menjejaskan kesucian Islam.

Sheikh Saleh Al-Shamrani berkata, perbuatan itu bersifat makruh apalagi jika deringan itu berlaku ketika pemiliknya berada dalam tandas atau pada premis hiburan seperti disko.

Ayat suci al-Quran amat tinggi nilainya dan tidak tepat direndahkan tahapnya sebagai nada dering telefon bimbit. Paling rendah hukumnya adalah makruh,� katanya kepada akhbar Arab Al-Sharqul Awsat, kelmarin.

Beliau yang juga pensyarah Akademi Ilmiah Universiti Islam Raja Mohamed Saud, membuat ulasan itu berikutan semakin ramai umat Islam menjadikan laungan azan dan bacaan ayat suci al-Quran menggantikan irama muzik moden sebagai nada dering.

Sheikh Saleh berkata, larangan menggunakan ayat suci al-Quran dan azan dibuat atas ilat atau alasan ia sememangnya tidak boleh digunakan berdasarkan banyak sebab, termasuk tempat.

Ia seperti deringan ketika pemilik berada di tempat kotor seperti tandas atau tempat tidak sesuai seperti disko atau majlis apabila ketika itu orang ramai sedang ketawa,� tegasnya.

Seorang lagi ulama, Suad Afif mahu satu garis panduan diwujudkan khusus mengenai penggunaan ayat suci al-Quran dan azan.

Kita tidak mahu di tengah kegilaan ramai mendapatkan nada dering diminati, aspek kemurnian agama Islam itu pula tercemar. Kita juga tidak mahu keindahan dan kemurnian ayat suci dan azan itu diperlekeh baik secara sengaja atau tidak,� katanya.

Sementara itu, Mufti Perak, Datuk Seri Harussani Zakaria, berkata nada dering ayat suci al-Quran dan laungan azan, dari satu aspek mengingatkan umat Islam mengenai ibadat, seperti kewajipan menunaikan solat.

Memanglah ia baik untuk umat Islam tetapi dari satu segi, jika nada dering itu didengar dalam tandas, tidak baik. Walaupun kita tidak nampak tulisan ayat al-Quran, ia tidak baik untuk didengar dalam tandas.

Ayat suci al-Quran tidak boleh dibawa ke tempat kotor dan najis. Walaupun nada dering, ia kalau didengar di tempat seperti itu merendahkan kesucian al-Quran,� katanya.

Beliau menasihatkan umat Islam supaya berhati-hati dalam memilih nada dering telefon bimbit bagi mengelakkan melakukan dosa.

BH 28.08.2006

Wednesday, August 16, 2006

Kuasa Air vs Minyak

Saintis Melayu bangunkan SUV, pikap kuasa air
Oleh Khirul Bahri Basaruddin, Abdul Razak Raaff, Mohd Zin Ali dan Johan Afandi

JOHOR BAHRU: Saintis Melayu berjaya membangunkan kenderaan utiliti sport (SUV) dan pikap LMG menggunakan air sebagai bahan bakar tambahan bagi membantu menjimatkan penggunaan petrol sehingga 50 peratus.


Pikap dari model Trekker dan SUV Tourer LMG itu, yang dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, semalam mempunyai tangki minyak dan air yang digunakan sebagai bahan bakar.

Menerusi teknologi baru itu, air akan melalui proses pembahagian kepada hidrogen dan oksigen.

Kedua-dua gas itu kemudian akan bercampur dengan petrol atau diesel untuk membolehkan berlaku pembakaran dan memberi kuasa kepada kenderaan berkenaan.

Abdullah, selepas melancarkan kenderaan LMG keluaran LM Star Autoworld Sdn Bhd itu, berkata beliau bangga dengan kemampuan saintis tempatan membangun dan mereka bentuk semula kenderaan dari China itu, menggunakan teknologi hidroxene.

Pada pandangan saya, peristiwa ini akan memberikan implikasi jangka panjang yang penting kepada industri domestik bagi menaikkan paras aktiviti nilai tambah,katanya.

Turut hadir ialah Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif LM Star, Abdul Uzza Shikh Mohamed serta Dr Halim Ali yang membangunkan teknologi hidroxene. LM Star yang berpangkalan di sini, 100 peratus dimiliki Bumiputera.

Perdana Menteri yang sebelum ini sudah memandu uji sebuah SUV Tourer tujuh tempat duduk, menyarankan pemasang dan pengeluar tempatan lain mencontohi pendekatan LM Star yang menggunakan teknologi baru dalam keluaran kereta mereka.

Katanya, pengeluar memerlukan idea baru mencari bahan api alternatif kerana harga minyak yang tinggi serta kebimbangan mengenai pencemaran alam sekitar akibat penggantungan berterusan ke atas bahan bakar fosil.

�Perkembangan ini menyokong usaha kerajaan untuk mengurangkan penggantungan ke atas sumber tenaga yang kian kurang dalam tempoh jangka panjang. Kerajaan sudah menggariskan keperluan untuk menggalakkan penggunaan dan pembangunan sumber tenaga yang mampan serta boleh diperbaharui.

�Oleh itu, menjadi hasrat saya untuk melihat pelaksanaan usaha lain untuk membangunkan kenderaan yang menggunakan sumber tenaga alternatif dalam jangka panjang, katanya.

Abdullah juga menyambut baik hubungan LM Star dengan Dadi Auto dari China pengeluar kereta yang mengkhusus dalam pengeluaran kenderaan ketenteraan, kerana negara itu sudah lama menjadi rakan dagangan yang penting.

Katanya, sudah sampai masanya syarikat tempatan memulakan usaha sama di seberang laut kerana Malaysia secara relatifnya adalah sebuah pasaran kecil berbanding pasaran dunia.

Kerajaan bersedia menyokong dan menggalakkan usaha untuk maju ke hadapan seperti yang kita saksikan hari ini, saya akan mengikuti perkembangan LM Star dan kenderaan barunya dengan penuh minat, katanya.

BH 16.08.2006

Tuesday, August 15, 2006

"I sound like stupid if I speak in Malay"

"I sound like stupid if I speak in Malay"

KUALA LUMPUR 14 Ogos – Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia Ke-19 (FFM19), Sharifah Amani mengejutkan hadirin apabila memperlekehkan bahasa Melayu semasa berucap selepas menerima anugerah itu, malam tadi.

Katanya, dia rasa seperti orang bodoh jika bercakap dalam bahasa Melayu kerana kurang fasih, sebaliknya mahu menggunakan bahasa Inggeris.

‘‘I sound like stupid if I speak in Malay.’’ (Saya rasa seperti orang bodoh kalau saya bercakap dalam bahasa Melayu),’’ katanya ketika diberi peluang membuat ucapan sebaik sahaja menerima anugerah itu kerana lakonannya dalam filem Gubra.

Ucapannya itu menimbulkan rasa tidak senang sebilangan besar penonton khususnya orang Melayu termasuk tetamu kehormat majlis itu iaitu Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim.

Lebih memeranjatkan khalayak pada malam itu ialah apabila Sharifah Amani mengakhiri ucapannya dengan berkata:

If the film (Gubra) mencemar budaya, let’s do it more often ( Jika filem ini (Gubra) mencemar budaya, mari kita hasilkan lebih banyak lagi).’’

UM 15.08.2006

Menghormati lagu kebangsaan

Oleh Samsor Junet (WARTAWAN UTUSAN)

MUNGKIN ramai tidak percaya bahawa lagu Negaraku yang melambangkan semangat patriotik, cita-cita, hasrat dan harapan bangsa sebenarnya sudah berusia lebih 100 tahun.

Mengikut sejarahnya, ia dipilih sebagai lagu kebangsaan setelah diadakan pertandingan bagi mencari lagu yang sesuai menjelang kemerdekaan pada 1957.

Bayangkan sebuah negara yang hendak menyambut kemerdekaan masih tidak memiliki lagu kebangsaan sendiri.

Atas inisiatif Bapa Kemerdekaan, Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, beliau mengadakan pertandingan mencari lagu kebangsaan yang sesuai.

Pertandingan itu dibuka kepada semua.

Hasilnya sebanyak 514 buah lagu dari seluruh dunia telah dikumpul dan dinilai sama ada boleh dijadikan lagu kebangsaan atau tidak.

Namun kesemua lagu yang dinilai itu didapati tidak sesuai dengan cita rasa jawatankuasa pemilihan lagu kebangsaan ketika itu.

Kemudian, Tunku Abdul Rahman menjemput penggubah lagu terkenal dari seluruh dunia untuk mencipta lagu kebangsaan.

Empat penggubah terkenal mengadu nasib iaitu Benjamin Britten, Sir William Walton, Carlo Menotti dan Zubir Said.

Namun lagu-lagu ciptaan mereka tetap gagal menambat hati jawatankuasa pemilihan.

Almarhum Tunku Abdul Rahman kemudian meminta kesemua negeri di Tanah Melayu yang ketika itu sudah mempunyai lagu sendiri supaya menghantar lagu-lagu masing-masing untuk dinilai.

Akhirnya lagu kebesaran negeri Perak iaitu Terang Bulan yang sarat dengan kisahnya yang tersendiri, terpilih sebagai lagu kebangsaan sampai sekarang.

Lagu ini sebenarnya pernah berkumandang di bumi England sempena pertabalan Raja Edward VII pada 1901.

Sejak itu sampai sekarang, hanya sekali iaitu pada 1993 rentak lagu itu diubah kepada march. Kini rentaknya kembali kepada asal.

Menyingkap sejarah yang panjang itu, siapalah kita hendak mempertikaikan asal-usul lagu kebangsaan negara kita sendiri.

Sebenarnya mempertikaikan lagu Negaraku secara terbuka boleh dikatakan menghina lagu Negaraku.

Dulu ada dinyatakan bahawa mereka yang menghina lagu kebangsaan boleh didenda RM100 tetapi tidak pernah dilaksanakan.

Monday, August 14, 2006

Rancang dana persaraan sebelum berumur 30 tahun

Oleh RUSMA IBRAHIM

JIKA anda berusia kurang daripada 30, besar kemungkinan anda belum memikirkan tentang persaraan anda. Dan tiada sebab untuk anda merancang sejauh itu? Persaraan adalah sesuatu yang sangat jauh ke hadapan dan apabila masa itu tiba, anda menyangka anda sudah meraih sejuta ringgit dan hidup dalam kegembiraan? Salah.

Realitinya sangat berbeza seperti berikut:

1. Walaupun persaraan seperti dilihat masih jauh lagi, sebenarnya tidak.

2. Sejuta ringgit memang jumlah wang yang besar, tetapi hanya segelintir daripada kita akan memiliki simpanan sebanyak itu.

3. Selepas bersara, kebanyakan kita akan hidup selama 20 hingga 25 tahun lagi tanpa sebarang pendapatan.

4. Inflasi akan menghakis kuasa membeli simpanan anda.

5. Secara purata, seorang yang bekerja dan mempunyai simpanan persaraan sebanyak RM100,000, akan membelanjakan duit tersebut dalam tempoh 10 tahun saja.

Panik? Jangan. Mengambil berat? Ya.

Rakyat Malaysia harus memikirkan dengan serius tentang simpanan bagi persaraan masing-masing dan mengambil langkah proaktif untuk membuat perancangan mengenainya termasuk mereka berusia kurang daripada 30 tahun atau baru memulakan kerjaya.

Ketika ini, sebahagian besar pekerja sektor swasta di Malaysia bergantung sepenuhnya kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk persaraan mereka. KWSP adalah skim tabungan yang mewajibkan ahli menyimpan sekurang-kurangnya 11% daripada pendapatan bulanan mereka dan 12% daripada majikan mereka. Ini bermakna 23% daripada pendapatan seseorang disimpan setiap bulan dalam akaun KWSP masing-masing. Kadar caruman 23% ini hanya kadar yang diwajibkan. Ahli dan majikan atau kedua-duanya boleh menyimpan melebihi kadar tersebut.

Berdasarkan rekod KWSP, purata simpanan seorang ahli KWSP adalah RM100,000 apabila mencapai usia 54 iaitu setahun sebelum bersara. Bagaimanapun, sebahagian besar pesara didapati menghabiskan keseluruhan wang itu dalam tempoh kurang daripada 10 tahun.

Purata jangkaan hayat rakyat Malaysia pada umur 55 tahun ialah : 83 tahun untuk wanita dan 78.6 tahun untuk lelaki. Bayangkan jika seseorang itu bersara pada umur 55 tahun dan menghabiskan simpanan KWSP dalam tempoh 10 tahun. Bagaimana mereka membiayai kehidupan selama 13 hingga 18 tahun lagi?

Selain daripada jumlah simpanan yang ada ketika bersara, faktor-faktor berikut juga perlu diambil kira:

1. Inflasi dan peningkatan kos sara hidup

Jika anda seorang kanak-kanak pada 70-an dan 80-an, anda mungkin pernah mendengar ibu bapa anda mengatakan, “Bila saya mendapat gaji pertama, saya berikan semuanya kepada emak, dan emak berikan saya RM50 untuk dibelanjakan.”

Bagus sekali. Daripada muda lagi telah mula menabung tetapi persekitaran sekarang adalah berbeza. Cara hidup dan keperluannya telah berubah. Dalam lain perkataan, golongan muda hari ini perlu mengeluarkan banyak wang untuk kehidupan harian berbanding ibu bapa mereka.

2. Perubahan norma sosial

Walaupun era memberikan seluruh gaji kepada emak anda mungkin sudah berlalu, pekerja muda hari ini masih memberikan sejumlah kecil gaji mereka kepada ibu bapa mereka sebagai penghargaan.

Bagaimanapun, aliran ini akan berubah bagi generasi akan datang. Hari ini, lebih ramai orang berkahwin dan mempunyai anak pada usia yang lebih tua, sekali gus menyebabkan mereka mempunyai anak kecil untuk dibiayai termasuk bagi perbelanjaan pendidikan anak- anak walaupun mereka sudah mencecah usia persaraan.

3. Kos dan keperluan perubatan

Semakin kita tua, semakin kita memerlukan rawatan perubatan. Kos perubatan pula semakin meningkat dengan mendadak. Kita akan menghadapi kesulitan kewangan untuk membiayai rawatan perubatan terutama golongan yang tidak mempunyai insurans perubatan.

Jika semua faktor ini diambil kira, kemungkinan besar simpanan KWSP kebanyakan ahli tidak mencukupi untuk memenuhi semua keperluan persaraan mereka. Jalan penyelesaiannya ialah berusaha meningkatkan simpanan untuk persaraan mengikut kemampuan masing-masing.

Tetapi bagaimana?

Menabung! Menabung! Menabung! Sebenarnya tiada jalan mudah. Menabung sebahagian pendapatan bulanan anda dengan tujuan persaraan dan tidak membelanjakan simpanan tersebut sebelum anda bersara membolehkan anda memiliki simpanan dalam jumlah yang lebih besar untuk persaraan.

Disiplin diri sangat penting. Anda harus menetapkan sasaran simpanan setiap bulan. Bandingkan pendapatan bulanan dengan perbelanjaan perlu seperti hutang rumah dan kereta, insurans, makanan, pengangkutan dan lain- lain. Kemudian tentukan jumlah yang akan disimpan setiap bulan. Pastikan anda berdisiplin dalam soal simpanan ini. Apabila anda mendapat gaji, keluarkan jumlah yang ditetapkan dan masukkan ke dalam akaun simpanan itu.

Katakan anda tinggal dengan ibu bapa anda dan mempunyai pendapatan bersih kira-kira RM2,500 sebulan. Anda perlu membayar ansuran pinjaman kereta, bayaran skim insurans, membayar bil telefon mudah alih, memberikan sejumlah kecil kepada ibu bapa anda setiap bulan, selain membantu membayar dua atau tiga bil di rumah. Anda mungkin boleh membuat perkiraan seperti ini:

Baki gaji anda pada setiap akhir bulan adalah RM570. Daripada berbelanja wang berkenaan secara tidak berfaedah, mengapa tidak anda menyimpan sebanyak RM200 atau lebih untuk masa depan anda?

Jika anda mempertimbangkan untuk menyimpan RM200 sebulan bagi keseluruhan tempoh kerjaya anda, katakanlah selama 30 tahun, jumlah keseluruhan simpanan anda ialah RM72,000. Jika dicampur faedah ke atas simpanan tersebut, jumlah ini dengan mudah akan berganda kepada RM144,000 apabila anda bersara. Dicampur dengan simpanan KWSP sebanyak RM100,000, anda akan bersara dengan lebih selesa.

Anda juga tidak harus lupa bahawa wang yang disimpan akan bertambah dan apabila ia bertambah, anda perlu bijak untuk menabung dan di mana ia harus dilaburkan. Mempelbagaikan saluran simpanan memerlukan anda membuat keputusan yang bijak. Bertanya dan belajar mengenai manfaat menyimpan wang dalam simpanan tetap dalam institusi kewangan terkemuka atau melabur dalam saham amanah.

Anda juga boleh membeli insurans yang memberikan perlindungan sepanjang hayat, kemalangan, perubatan, endowmen, dan juga pendidikan untuk anak-anak. Jika anda memiliki insurans tersebut, anda tidak perlu mengeluarkan simpanan KWSP bagi membiayai kos perubatan yang tidak dijangka atau membayar yuran pendidikan tinggi anak-anak di kemudian hari. Ini akan memastikan simpanan KWSP untuk persaraan adalah lebih besar nilainya.

Hartanah juga satu bentuk pelaburan yang baik dan harus dipertimbangkan selepas seseorang mempunyai simpanan yang mencukupi. Walaupun KWSP membenarkan ahli mengeluarkan simpanan daripada Akaun II untuk membeli rumah, adalah lebih bijak wang simpanan KWSP anda tidak dikeluarkan jika anda mampu mendapatkan pembiayaan perumahan daripada bank.

Persaraan dan perancangan kewangan memerlukan banyak pertimbangan, perancangan dan disiplin. Menabung ketika memulakan kerjaya pada usia muda akan memudahkan dan mengurang beban pada kemudian hari.

Walaupun menabung wang bukan sesuatu yang mudah terutama dengan pelbagai tarikan daripada pasaran pengguna, ia adalah kaedah yang membolehkan anda bersara dengan lebih selesa. Kepada mereka yang berhadapan dengan masalah untuk menabung, terdapat satu lagi pilihan akhir yang mudah bagi memastikan anda mempunyai simpanan yang mencukupi apabila bersara iaitu bersaralah pada usia 75 tahun!

Friday, August 11, 2006

Dilema beristeri dua

Suami sedang tidur kena bakar, dua isteri bertumbuk di tepi jalan


JEDDAH: Beristeri lebih daripada satu bukan fenomena luar biasa di Arab Saudi. Bagaimanapun, ungkapan ‘lebih baik mati daripada tinggal bersama isteri kedua’ menjelaskan pelbagai masalah dan beban yang ditanggung lelaki Saudi yang beristeri lebih seorang.

Ada perkahwinan berakhir dengan keganasan. Ada wanita sanggup menikam atau membakar suami mereka hidup-hidup ketika suami sedang tidur.

Ramai lelaki di Arab Saudi kini sedar bahawa berkahwin lebih daripada seorang mengundang lebih banyak padah berbanding keseronokan.

Akhbar Al-Nadwa melaporkan, seorang ahli perniagaan, Khaled Al-Duiwaish, terpaksa melakukan pelbagai cara untuk mengatasi masalah dengan kedua-dua isterinya, terutama apabila mereka hamil pada masa yang sama.

Akhbar itu melaporkan Khaled berkahwin lagi apabila isteri pertamanya gagal hamil selepas lapan tahun kahwin.

Isteri pertamanya bersetuju Khaled kahwin seorang lagi. Bagaimanapun, tidak lama selepas itu, isteri pertama Khaled mengandung, begitu juga isteri keduanya.

Sejak itu, kedua-dua isteri mula menunjukkan sikap bertanding satu sama lain sehingga menyebabkan Khaled terpaksa memisahkan mereka.

Pada mulanya saya hanya memisahkan pangsapuri mereka tetapi masih di bangunan yang sama tetapi selepas itu saya terpaksa memisahkan mereka lebih jauh. Bagaimanapun, jarak bukan masalah. Kedua-dua mereka mahukan perhatian saya dalam satu masa dan itu menjadi masalah besar,” katanya.

Seorang lagi warga Arab yang berpoligami, Al Duwaish berkata, pada suatu hari beliau membeli sebentuk cincin berlian untuk isteri pertamanya sebagai hadiah.

“Saya kemudian menelefon isteri kedua dan memberitahu bahawa isteri pertama saya amat gembira. Bagaimanapun, berita itu menimbulkan kemarahannya dan dia menuduh saya tidak sayangkannya kerana tidak membeli cincin untuknya. Dia berteriak meminta saya juga membelikannya cincin dan meminta cincin berlian lebih besar.

“Kemudian dia menelefon isteri pertama saya dan memberitahu bahawa cincin yang saya belikan untuknya lebih besar dan mahal. Dia juga mengejek isteri pertama dan berkata saya hanya membeli cincin murah untuknya. Selepas itu saya dan isteri pertama bergaduh besar,” katanya.

Seorang guru, Abu Fadel berkata, beliau berkahwin seorang lagi bukan kerana cinta tetapi bertujuan untuk mendisiplinkan isteri pertamanya.

Malang sekali niat Abu Fadel tidak kesampaian. Katanya: “Mereka menjadikan rumah seperti medan perang. Mereka bergaduh setiap hari. Suatu hari saya membawa kedua-duanya ke pantai untuk berdamai tetapi mereka bergaduh juga. Mula-mula mereka berperang mulut selepas itu mereka bertumbuk di tepi jalan.

"Akhirnya, saya membiarkan saja mereka bergelut di tepi jalan dan meninggalkan mereka. Saya masuk ke rumah dan menutup pintu," katanya. – Agensi

BH 11.08.2006

Rahsia umur panjang

BOSTON: Kepercayaan agama dan kerohanian adalah perkara yang kerap dinyatakan oleh mereka yang berusia 100 tahun ketika menceritakan rahsia panjang umur, menurut kajian yang ditaja oleh UnitedHealth Group.


Dalam kajian ke atas 100 orang yang berusia antara 100 dan 104, 24 peratus menyatakan kepercayaan berbanding genetik dan penjagaan kesihatan yang baik menjadi punca mereka panjang umur.

Faktor lain yang diberikan termasuk kerja keras, makanan yang sihat serta gaya hidup bersih.

Sebanyak 61 peratus mereka yang dikaji menyatakan tiada apa yang perlu mereka lakukan lagi dalam hidup mereka manakala 78 peratus berkata mereka tidak lagi perlu berusaha keras.

Kira-kira 13 peratus menyatakan, mereka berharap dapat peluang lebih banyak melancong manakala 9 peratus menyatakan mereka mengharapkan kerja yang lebih ringan ketika muda dan enam peratus berkata mereka kini mahu lebih banyak masa bersama keluarga. – Reuters


BH 11.08.2006

Kos di KL paling murah

Oleh Azli Ayob

Kaji selidik hasil pemantauan harga 122 barang, khidmat asas


KOS sara hidup di Kuala Lumpur adalah paling rendah di kalangan 71 bandar raya utama dunia, sementara Oslo di Norway pula paling mahal.

Keputusan itu hasil kaji selidik bertajuk ‘Harga dan Pendapatan’ yang dijalankan oleh firma kewangan global, UBS.

Ia dibuat berdasarkan kepada harga sekumpulan 122 barangan dan perkhidmatan asas yang sama.

UBS dalam kenyataannya bagi mengumumkan hasil kaji selidik itu, berkata bandar raya lain yang mempunyai kos sara hidup rendah adalah Mumbai di kedudukan ke-70, Buenos Aires (69) dan New Delhi (68).

London pula berada di kedudukan kedua sebagai bandaraya paling mahal, Copenhagen (ketiga), Zurich (keempat) dan Tokyo (kelima).

Di kalangan negara Asean yang diliputi dalam kaji selidik itu, Singapura berada pada kedudukan ke-32, Bangkok (ke-54), Jakarta (ke-57) dan Manila (ke-67).

Mengikut kaji selidik itu, walaupun Kuala Lumpur adalah bandaraya dengan kos sara hidup paling rendah, tetapi dari segi kadar upah ia berada di kedudukan ke-53, lebih tinggi berbanding negara serantau kecuali Singapura yang berada di kedudukan ke-38.

Dari segi kadar upah, Bangkok berada pada kedudukan ke-66, Jakarta (ke-68) dan Manila (ke-69).

Kadar upah paling tinggi pula ialah di Copenhagen diikuti Oslo, Zurich dan Geneva.

Tokyo yang menjadi bandar raya dengan kos sara hidup paling tinggi di Asia mempunyai kadar upah tertinggi di rantau ini, iaitu di kedudukan ke-18.

Kenyataan UBS itu menegaskan, dalam menentukan nilai upah sebenar upah, ia perlu dikaitkan dengan kuasa membeli, iaitu apa yang dapat dibeli dengan upah yang diterima.

Bagi tujuan itu, firma kewangan itu menentukannya dengan menggunakan ukuran berapakah tempoh seseorang individu perlu bekerja bagi membeli sebiji burger Big Mac, McDonald’s berdasarkan harga di bandaraya masing-masing.

Daripada aspek itu, Kuala Lumpur berada di kedudukan ke-39, iaitu tertinggi di kalangan negara Asean, yang mana bagi membeli sebiji Big Mac, individu di bandaraya ini perlu bekerja selama 33 minit.

Bandaraya yang berada di kedudukan paling atas ialah Zurich (15 minit) sementara Jakarta di tangga paling bawah, iaitu 86 minit.

Kuasa membeli tertinggi di kalangan bandaraya Asia dinikmati pekerja di Tokyo yang berada di kedudukan ke-24, Taipei (ke-33) dan Seoul (ke-37).

Di kalangan negara Asean pula, Singapura berada di kedudukan ke-40, Bangkok (ke-67), Manila (ke-69) dan Jakarta (ke-70)

Mengikut kaji selidik UBS yang dijalankan setiap tiga tahun itu, Asia menjadi satu-satunya rantau di dunia yang mempunyai jurang perbezaan paling besar antara bandaraya dengan kos sara hidup paling mahal dan yang paling rendah.

Ia berdasarkan kedudukan Tokyo yang berada di tangga kelima sebagai bandaraya termahal dunia berbanding Delhi, Mumbai dan Kuala Lumpur yang berada di tangga terbawah dalam senarai berkenaan.

Pekerja di Tokyo juga menerima kadar upah tertinggi dibandingkan pekerja di bandaraya lain di Asia meskipun dalam kajian tiga tahun lalu, ia berada di tangga ketujuh.

Faktor utama kenaikan itu, kata UBS adalah disebabkan kejatuhan nilai yen berbanding euro dan penurunan harga barangan.

Firma kewangan itu menjelaskan, maklumat yang dikumpulkan dalam kajian itu adalah berdasarkan perangkaan daripada 35,000 individu.

BH 11.08.2006

Gangguan IBLIS!!

Pak Lah tak layan sikap macam iblis
Oleh Ahmad Ghazali Musa, Rosli Abd Jalil dan Sariha Mohd Ali

Jangan salah guna demokrasi untuk sebar fitnah


KUANTAN: Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi (gambar) mengingatkan mereka yang tidak senang dengan dasar atau keputusan kerajaan supaya tidak menyalahgunakan amalan demokrasi dengan membuat kacau dan menabur fitnah.

Perdana Menteri, yang dalam lawatan kerja dua hari ke Pahang bermula semalam menegaskan, beliau tidak akan melayan pihak tertentu yang bersikap seperti ‘iblis’ yang berasakan ia lebih pandai daripada orang lain.

Beliau berkata, amalan seperti tegur menegur dan memberi pandangan bagi memperbaiki pelaksanaan sesuatu program memang mesti diteruskan kerana cara itu dapat mengukuhkan muafakat dan kerjasama antara pemimpin dan rakyat.

“Tetapi jangan sesekali menggunakan pendekatan yang boleh merosakkan perpaduan... yang akan merosakkan muafakat dan kerjasama. Ini tak boleh dan pantang sekali dilakukan.

“Tegur boleh tegur (seperti) dalam amalan kita bermuhasabah secara kumpulan, dalam bermesyuarat, itulah cara terbaik kita. Tetapi kata mengata, tabur fitnah, dengki dan sakit hati, sengaja nak buat kacau, ini tak baik dan tak patut dilakukan sesiapa pun,” katanya.

Abdullah berucap pada majlis sambutan sempena lawatannya yang dihadiri lebih 5,000 rakyat di dewan tertutup Sukpa di sini. Hadir sama ialah Timbalan Perdana Menteri; Datuk Seri Najib Razak, Menteri Besar; Datuk Seri Adnan Yaakob, Menteri Pengangkutan; Datuk Seri Chan Kong Choy serta Menteri Sains Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr Jamaluddin Jarjis.

Perdana Menteri berkata, beliau tidak akan membenarkan sesuatu berlaku hingga mengancam Umno kerana kekuatan parti penting bagi mengukuhkan kerajaan, terutama dalam keadaan dunia sekarang, seperti serangan Israel ke atas Lubnan dan kenaikan harga minyak yang menyebabkan ekonomi global tidak menentu.

“Walau apa berlaku, kita mesti sedia menghadapinya dengan kekuatan, keupayaan dan keazaman untuk terus memelihara keadaan di sini dengan tidak membuat angkara sesama kita, jangan jadi perosak kekuatan kita, jangan buat ancaman sesama kita, sebaliknya perlu hargai perpaduan yang ada pada parti kita ini.

“Kita ada tugas amat besar di hadapan kita yang memerlukan kekuatan kita, perhatian sepenuhnya untuk jayakan Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) dengan cara kita. Ini janji kita... kita bukan nak membohong rakyat.

“Bukan tabiat saya nak membohong atau bercakap tak sepenuhnya, bukan tabiat saya nak kelirukan rakyat. Apa yang saya mahu hanya jelas, jelas dan jelas saja supaya senang difahami rakyat,” katanya.

Dalam perjumpaan dengan lebih 1,000 kakitangan awam Pahang di Dewan Jubli Perak pula, Abdullah berkata lebih 800 projek yang dirancang dalam RMK-9 sudah mula digerakkan.

“Malangnya ada pihak cuba mengganggu, macam gangguan iblis, yang mengganggu kita sepanjang masa. Kita kena hadapi suasana ini dengan tenang dengan melaksanakan projek RMK-9 secara berkesan dan menggunakan segala kecekapan yang ada.

“Saya tidak akan membuang masa dan menghabiskan tenaga melayan gangguan yang tidak mendatangkan manfaat kerana ia akan hanya merugikan rakyat,” katanya.

Perdana Menteri berkata, beliau dan anggota kerajaan di bawah pimpinannya tidak akan sama sekali tergugat dengan gangguan yang cuba menjatuhkan imej dan reputasi kerajaan.

“Kita tidak akan kecewa dengan tindakan pihak berkenaan, malah akan terus berusaha melaksanakan projek yang sudah dirancang untuk faedah rakyat.

“Tiada niat lain dalam hati saya. Saya sudah bergerak sejauh ini dan akan menggunakan kuasa saya meletakkan kepentingan rakyat daripada segala-galanya,” katanya.

Perdana Menteri turut menegaskan projek yang dilaksanakan di bawah RMK-9 tidak sama sekali dipengaruhi atau dimanipulasi oleh mana-mana individu yang berkepentingan.

BH 11.8.2006

Friday, August 04, 2006

Mahathir vs Abdullah

Mahathir vs Abdullah, jalan perdamaian yang semakin buntu
Oleh Mohd Rashidi Hassan, Pengarang Harakahdaily
Fasa kedua pertembungan bekas Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad dengan penggantinya Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi telahpun bermula. Kota Bharu menjadi saksi kepada pertembungan lebih sengit.

Loceng dibunyikan, pertembungan ini dijangka lebih sengit dari pusingan pertama. Mahathir sudah tidak mampu berselindung lagi. Dia benar-benar menyerlahkan taringnya. Ibarat kata orang Mahathir seperti harimau lapar yang terlepas dari kandangnya, sedia untuk membaham mangsa.
Selepas meletakkan jawatan, lebih dua tahun Mahathir terbelenggu dalam 'kandang' politik Umno yang diterajuinya lebih 22 tahun. Tempoh itu ternyata amat menyeksakan.
Mahathir terseksa kerana dituduhkan menghabiskan wang negara untuk projek mega. Mahathir terseksa kerana kawan-kawan dan anak buah yang sering mencium tangannya, merintih menunggu berjam-jam untuk berjumpa dengannya (semasa menjadi PM) kini semuanya sudah hilang.
Mahathir semakin terseksa melihat menantu Abdullah, Khairy Jamaludin dan kroni-kroninya begitu rancak mengagihkan kekayaan negara, sebagaimana yang didakwanya. Mahathir juga semakin bimbang bekas timbalan yang dianiaya lapan tahun lalu, Dato' Seri Anwar Ibrahim, diberi ruang untuk kembali ke gelanggang politik.
Semua kebimbangan ini menjadi belengu yang sudah tidak mampu dibendungnya.
Jika di Kelab Century Paradise, Taman Melawati 24 Jun lepas, Mahathir masih menapis setiap serangannya. Mahathir mengelak menyebut nama individu yang dimaksudkan, Mahathir juga menepis soalan bertalu-alu wartawan tentang syarikat mana yang didakwa mendapat laba pemerintahan Abdullah dengan cara yang menyalahi etika.
Tetapi tidak di Kota Bharu, 28 Julai lalu. Ternyata beliau sudah sedia untuk membuka gelanggang pertembungan yang lebih luas dan sengit. Apabila Mahathir berani membuat kenyataan lebih keras,khususnya menyerang lebih keras Abdullah Ahmad Badawi sudah tentu beliau bersedia menghadapi sebarang risiko.
Langkah Mahathir semakin nekad, 'do or die'! Jelas sama ada Mahathir mampu menyekat Abdullah untuk satu penggal sahaja atau beliau terpaksa 'mati meroyan' seorang diri.
Malang nasib MahathirApalah malangnya Mahathir, belumpun sempat membuka mulut disambut dengan semburan gas pemedih mata sebaik tiba di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Pengkalan Chepa Jumaat lepas.
Gas pemedih mata bukan serbuk lada atau 'pepper spray' sebagaimana dilapor oleh media yang sengaja hendak memutarbelitkan fakta. Bak kata orang, kalau sudah biasa menipu, fakta sebegitu jelas pun diselewengkan.
Cecair yang menghasilkan gas pemedih mata disembut tepat ke muka beliau menyebabkan beliau yang sedang berdiri memegang loud hailer terduduk dan alat pembesar suara terlepas dari gengamannya.
Namun ternyata Mahathir yang berusia 81 tahun lebih tegap daripada Dato' Ibrahim Ali (50-an). Mahathir hanya sekadar yang terpaksa dipapah manakala Ibrahim seperti orang 'pening lalat' lima minit selepas itu baru berasa lega.
Di Hotel Renaissance selepas terkena semburan gas pemedih mata, Mahathir mengakui beliau rasa sesak, pedih tekak dan hidung. Itupun hanya mild spray, bayangkan kalau meriam FRU yang menembak cecair mengandungi asid pemedih yang lebih kuat daripada itu? Barangkali dalam usia yang sebegitu, Mahathir sudah boleh dijadikan sejarah.
Mahathir ternyata amat marah. Beliau tidak sangka diperlakukan sedemikian rupa. Katanya, itu adalah tindakan manusia desprate menghalangnya daripada berucap.
Pada waktu itu barangkali Mahathir lupa bahawa sewaktu pemerintahannya berapa banyak rakyat yang suffer dengan semburan asid FRU? Sebelum 1998, pemimpin PAS beberapa kali ditembak cecair pemedih sewaktu berdemonstrasi di hadapan Kedutaan Amerika Syarikat dan Universiti Malaya kerana membantah lawatan team kriket Israel.
Pendukung reformasi turut mengalami nasib yang sama ketika bangkit menentang kezaliman Mahathir terhadap Anwar.
Ada yang pengsan, ada yang terpaksa masuk hospital, ada yang dipukul dengan cotar sehingga berdarah, ada yang dipenjara dan dihukum.
Rakyat tidak pernah lupakan kezaliman Mahathir sewaktu pemerintahannya. Maka reaksi spontan rakyat (yang pernah merasai tembakan gas atau cecair asid) terhadap insiden tersebut adalah 'padan muka hang', 'la baru hang rasa'.
Semasa Mahathir berkuasa semburan pemedih mata dihalakan kepada pembangkang, malangnya selepas tiada kuasa, di zaman parti dan orang-orangnya pernah menyanjunginya memerintah, Mahathir pula disembur pemedih mata, ini lebih menambah kesengsaraan Mahathir.
Namun kematangan politik harus mengatasi segala-galanya, bagi pemimpin PAS walaupun pernah dizalimi sedemikian rupa, sesiapapun sama ada pemimpin atau rakyat, tidak harus diperlakukan sedemikian rupa.
Siapa punya kerjaInsiden di Kota Bharu mencetuskan pelbagai spekulasi. Media meletakkan ianya berpunca daripada perebutan dua kumpulan antara Ibrahim Ali dan Nik Sapeia Nik Yusof.
Malaysiakini dalam news flashnya pula seolah-olahnya membayangnya kelihatan lelaki seperti memakai jaket polis terbabit. Hari ini Polis Kelantan memfailkan laporan terhadap Malaysiakini yang didakwa mencemarkan imej mereka.
Perbalahan dan perebutan siapa yang hendak membawa Mahathir sebaik turun di Kota Bharu memang wujud. Penulis sendiri ketika berbual dengan Tan Sri Abdullah Ahmad (Dollah Kok Lanas), datang Nik Sapeia yang kelihatan serius mendakwa beliau diamanahkan mengambil Mahathir.
Selepas beberapa ketika berlaku perundingan antara Nik Sapeia dan Ibrahim di bilik menunggu airport. Suasana kelihatannya agak tegang dapat dikawal selepas kedua-dua pihak difahamkan sudah bersetuju Mahathir akan terus ke Pajero yang disediakan Ibrahim, untuk berucap dan dibawa keluar menaiki Mercedes Benz disediakan oleh Nik Sapeia.
Semua orang tahu betapa ramainya SB di airport ketika itu. Ramai orang lihat beberapa lelaki berbadan tegap berpakaian jaket (ala pegawai keselamatan) mundar mandir di sekitar airport.
Soal siapa yang sembur biarlah siasatan menentukan. Semburan pemedih mata terhadap Mahathir adalah unsur sabotaj. Ianya dilakukan sama ada orang yang diupah atau orang terlatih yang membawa alat semburan kecil itu dengan motif yang tertentu. Tidak sebab ada orang awam membawa alat penyembur itu merata-mata.
Cuma riak-riak rakyat di Kelantan bimbang ianya ada unsur sabotaj yang didalangi pemimpin Umno negeri.
Pertembungan dalam gelanggang UmnoSebelum program membabitkan Mahathir dijadualkan berlangsung. Politik Kelantan rupanya kecoh.
Dollah Kok Lanas memceritakan beliau mendapat maklumat ada panggilan dari Perth, Australia kira-kira 3 minggu lepas kepada Dato' Annuar Musa menggesa program dibatalkan.
Mubarak sudah terkeluar dari senarai. Mereka yang menjemput Mahathir berbulan-bulan sebelum pertelingkahan wujud, begitu takut dengan tekanan.
Dollah Kok Lanas dan Ibrahim Ali mengambil alih tugas mengendalikan program Mahathir.
Mahathir juga akui begitu banyak desas desus mengatakan beliau tidak jadi hadir dan program dibatalkan.
Di sekitar Kota Bharu, pihak tertentu menaikkan kain pemidang menggambarkan PAS mengalu-alukan kehadiran Mahathir. Usaha mengaitkan PAS dengan Mahathir dibuat oleh golongan yang dikatakan pro Umno.
Mahathir ketika ditanya wartawan menyatakan dengan jelas pertembungan dengan Abdullah hanyalah Umno affair, dalam gelanggang Umno, tidak ada kena mengena dengan PAS serta menolak kemungkinan kerjasama dengan Anwar.
Mahathir juga nampaknya tidak tahan dengan mainan media menghentamnya dengan PAS. Ramai juga yang terikut-ikut mempercayai mainan media sedangkan kerjasama antara kedua-dua pihak tidak pernah wujud.
Pemimpin PAS bijak mencatur. Mereka tidak menyambut Mahathir di airport. Pemimpin PAS
juga tidak hadir di Hotel Renaissance kerana itu anjuran veteran Umno, pemimpin PAS tidak hadir di syarahan Mahathir di Hotel Perdana kerana ianya majlis anjuran Alumni Ahli Parlimen dan Dun Umno.
Pemimpin PAS khususnya Menteri Besar, Tuan Guru Nik Abdul Aziz, timbalannya Dato' Ahmad Yaakub, Speaker, Dato' Wan Abdul Rahim Wan Abdullah dan para anggota Exco hanya menghadiri majlis makan makan anjuran Majlis Tindakan Rakyat Kelantan (MTRK) sahaja.

Isu-isu besar MahathirMahathir bertegas beliau hanya boleh berdamai jika Abdullah sedia mengetepikan Khairy Jamaludin, Kalimullah Hassan (NST, ECM Libra), Brendan Pereira (NST) serta pegawai di tingkat 4 JPM dan meneruskan pembinaan jambatan bengkok.
Bagi Mahathir mereka adalah agen Singapura. Bagi Mahathir, semua mereka ini adalah penyebab kepada kemarahan rakyat kepada kepimpinan Abdullah Ahmad Badawi.
Banyak juga desas desus bertiup sekarang ini bahawa Khairy akan diminta mengundur diri ke kuar negeri. Kalimullah juga harus pergi. Brendan juga sudah tiada pilihan. Mereka boleh kekal, tapi mereka harus sedar bahawa nama mereka sudah diratib oleh berjuta-juta rakyat Malaysia dengan persepsi yang buruk.
Sudah tentu demand Mahathir amat sukar untuk ditunaikan sepenuhnya oleh Abdullah. Mahathir sudah terbuka mempertikaikan pemberian Avenue Asset milik kerajaan kepada ECM Libra. Kata Mahathir, mana boleh Menteri Kewangan (Abdullah) bagi syarikat tersebut kepada menantunya (Khairy).
Mahathir juga mempertikaikan bagaimana Scomi (milik anak Abdullah, Kamaludin) boleh mendapat banyak projek kerajaan.
Orang-orang Umno percaya cakap Mahathir. Kata mereka seawal pemerintahan Mahathir, anak beranaknya tidak mendapat apa-apa, cuma towards the end pemerintahannya sahaja, anak-anak beliau terlibat banyak dalam perniagaan yang membabitkan kerajaan.
Berlain dengan cara Abdullah, baru tiga tahun, anak menantunya sudah mendapat laba yang begitu besar. Orang-orang Umno pun tidak setuju, mereka terkilan dengan kerakusan anak menantu Abdullah serta kroni.
Tetapi nak buat macam mana kuasa PM terlalu besar. Kalau lawan nanti hilang jawatan, hilang tender, tidak terpilih bertanding dan sebagainya. Sebab bagi mereka kuasa, pangkat dan harta amat penting untuk terus hidup.
Hanya ahli Umno yang benar-benar sedia untuk 'disembelih' sahaja sanggup mengangkat muka menyebelahi Mahathir.
Jelasnya, yang gawat dengan serangan Mahathir adalah orang-orang Umno. Mereka pening dan kucar. Mereka percaya cakap Mahathir tetapi takut dengan kuasa yang ada pada Abdullah.
Jalan damai sudah semakin buntu. Orang-orang Umno sudah pening kepada. Mereka tiada pilihan. Sama ada Mahathir harus berhenti atau Abdullah dihadkan sepenggal sahaja!

Wednesday, August 02, 2006

Wahai Mereka Yang Masih Ada Hati & Perasaan....

Seorang wanita Lubnan, Dibi Ibrahimi, merayu untuk bantuan selepas beliau hidup selama enam hari tanpa bekalan air dan makanan setelah terperangkap akibat serangan tentera Israel.

Kawalan internet




Oleh Anis Nazri


KUALA LUMPUR, 2 Ogos - Hasrat Menteri Penerangan, Dato' Zainuddin Maidin, untuk mengawal blog internet dilihat sebagai langkah menutup ruang rakyat melahirkan pendapat, pandangan dan kritikan terhadap kerajaan.

Pemilik blog Malaysia-Today, Raja Petra Kamarudin, berkata kebelakangan ini, blog dilihat sebagai satu medium yang digemari rakyat Malaysia, hingga dirasakan pihak pemerintah sebagai medium penentang mereka.

"Saya tak nampak perlunya blog ini dikawal. Lagipun, bagaimana nak kawal blog ini? Walaupun ada undang-undang berkaitan media elektronik, tapi pelaksanaannya tidak mudah," tegas beliau ketika dihubungi Harakahdaily.

Beliau membayangkan kemungkinan 'hits' Malaysia-Today yang meningkat kebelakangan ini, menyebabkan Zainuddin tidak boleh duduk diam, lebih-lebih lagi blog berkenaan dilihat memberi ruang yang agak luas kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamed.

Beliau yang berasakan hasrat Zainuddin itu tidak wajar, turut menegaskan bahawa rakyat Malaysia mempunyai hak untuk mengeluarkan pandangan, lebih-lebih lagi media arus perdana tidak akan mengendahkan sebarang penulisan yang dilihat mengkritik kerajaan. - mks.

Harakah 2.08.3006