Tuesday, August 30, 2005

Selamat Menyambut Hari Kemerdekaan Ke-48




Sejarah Jalur Gemilang

Pada tahun 1949 sebuah jawatankuasa telah ditubuhkan untuk menimbang dan membuat perakuan berhubung rekacipta bendera Persekutuan Tanah Melayu. Satu pertandingan peringkat kebangsaan telah dianjurkan oleh Majlis Perundangan Persekutuan. Sebanyak 373 penyertaan telah diterima di mana tiga rekaan bendera telah terpilih ke peringkat akhir.

  • Majlis Perundangan Persekutuan menjemput orang ramai memberikan pendapat tentang ketiga-tiga rekaan tersebut. Undian pendapat umum itu telah dikelolakan oleh akhbar The Malay Mail. Keputusan akhir telah disiarkan pada 29 Nov 1949.
  • Rekaan yang terpilih menggambarkan sebelas jalur biru dan putih dengan bulan dan bintang berwarna kuning di sebelah kiri. Rekaan ini adalah ciptaan seorang arkitek kerajaan dari Johor iaitu En Mohamad bin Hamzah.
  • Beberapa pindaan telah dibuat kepada rekaan tersebut dan rekaan akhir telah diperkenankan Mesyuarat Majlis Raja-Raja pada 22 dan 23 Februari 1950. Pada 19 April 1950, Majlis Perundangan Persekutuan telah meluluskan usul yang dibentangkan oleh Pemangku Ketua Setiausaha Negara seperti berikut:

"That in the opinion of this Council the Flag of the Federation of Malaya should be as follows: Eleven horizontal stripes alternately red and white in colour, the uppermost stripe being red, having a blue quarter with a crescent and eleven pointed star in yellow superimposed, the standard size of the flag to be six feet by three feet."

(Bahawa mengikut pendapat Majlis Perundangan Persekutuan, bendera bagi Persekutuan Tanah Melayu hendaklah mengikut rupa seperti berikut: Sebelas jalur melintang berwarna merah dan putih berselang-seli, dengan jalur merah di atas sekali, sukuan berwarna biru dengan bulan sabit bersama bintang pecah sebelas berwarna kuning di atasnya, dengan ukuran bendera standard enam kaki kali tiga kaki.)

  • Rekaan bendera tersebut telah mendapat kelulusan King George VI pada 19 Mei 1950.
  • Bendera Persekutuan Tanah Melayu telah dikibarkan buat kali pertama dalam satu majlis menaikkan bendera tersebut yang dianjurkan oleh Pesuruhjaya Tinggi British pada 26 Mei 1950 di perkarangan Istana Sultan Selangor dengan dihadiri oleh DYMM Raja-Raja Melayu dan Pegawai-pegawai King George VI.
  • Kemasukan Sabah, Sarawak dan Singapura ke dalam Persekutuan Tanah Melayu telah melahirkan sebuah negara baru iaitu Malaysia. Dengan ini satu pindaan diperlukan ke atas bendera Persekutuan Tanah Melayu.
  • Majlis Raja-Raja telah memperkenankan rekaan Bendera Malaysia berdasarkan rekaan asal Bendera Persekutuan Tanah Melayu, dengan pengubahsuaian pada bilangan jalur dan pecahan bintang bagi menunjukkan 14 buah negeri baru bagi Persekutuan Malaysia.
  • Bendera Malaysia telah dikibarkan dengan rasminya di seluruh negara untuk melambangkan kelahiran Malaysia pada 16 September 1963.
  • Sungguhpun Singapura berpisah daripada Malaysia pada 9 Ogos 1965, namun jalur-jalur dan bintang pecah 14 terus dikekalkan hingga sekarang. Empatbelas jalur dan empatbelas pecahan bintang melambangkan maksud yang baru iaitu persekutuan tigabelas buah Kerajaan Negeri di dalam Kerajaan Persekutuan.
  • Pada malam 31 Ogos 1997 sempena Hari Kemerdekaan Malaysia yang ke40, Perdana Menteri Malaysia Dato' Seri Dr Mahathir Mohamad telah mengisytiharkan Jalur Gemilang sebagai nama rasmi bendera Malaysia.


Keterangan Kreatif

  • Empatbelas jalur merah dan putih yang sama lebarnya melambangkan keanggotaan yang sama 13 buah negeri iaitu Johor, Kedah, Kelantan, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Pulau Pinang, Perak, Perlis, Sabah, Sarawak, Selangor dan Terengganu, dalam Kerajaan Persekutuan.
  • Warna merah melambangkan kegagahan dan keberanian dalam menghadapi cabaran.
  • Warna putih melambangkan keluhuran budi.
  • Sukuan berwarna biru tua melambangkan perpaduan dan rukun damai rakyat yang berbilang kaum.
  • Bulan sabit melambangkan Islam sebagai agama rasmi negara.
  • Bintang pecah 14 melambangkan perpaduan 13 buah negeri dan Kerajaan Persekutuan.
  • Warna kuning pada anak bulan dan bintang ialah warna diraja iaitu mewakili kedaulatan Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu.

Maksud "Jalur Gemilang"
  • Jalur - menggambarkan Bendera Malaysia yang mempunyai 14 jalur. Jalur pada Bendera Malaysia menggambarkan satu laluan yang lurus, hala tuju yang sama dan arah yang sama yang dianuti oleh rakyat negara ini dari Perlis hingga ke Sabah dalam menuju kegemilangan bangsa dan negara.
  • Gemilang - bermaksud bercahaya, terang benderang dan cemerlang. Oleh yang demikian, Jalur Gemilang memberi pengertian bahawa jalur atau bendera itu melambangkan kecemerlangan negara Malaysia dan rakyat Malaysia dalam mengharungi apa bidang kehidupan sekalipun sama ada di dalam atau di luar negara.
  • Jalur Gemilang Kesungguhan, kegigihan dan kesanggupan rakyat untuk menaikkan imej negara, sesungguhnya sentiasa mendapat petunjuk dan pedoman yang terang lagi jelas.
  • Jalur atau Bendera melambangkan citra atau imej negara dan rakyat yang patriotik, gigih, gagah dan berani menghadapi cabaran serta sanggup berkorban demi agama, bangsa dan negara.
:: Sumber - Jabatan Informasi, Malaysia, Jun 1997

Diserang Gas Pemedih Mata

Presiden PAS, Dato' Seri Abdul Hadi Awang keluar dari Masjid At Taqwa Batu 6, Kuala Terengganu selepas masjid itu digempur dengan gas pemedih mata Jumaat lalu. Di malam itu, lebih 20 gas pemedih mata dan satu lori air berasid ditembak polis ke arah orang ramai termasuk ke dalam masjid. Turut merasai gas pemedih mata itu adalah Ketua Dewan Ulama, Dato' Harun Taib yang turut berada dalam masjid itu.

Petikan Harakahdaily

Friday, August 19, 2005

Al-Fatihah Untuk Bapa Saudara Ku "Wak Ari"

Al-Fatihah.....

Pagi ini dalam perjalanan pergi kerja.

Bersempena hari Jumaat, 13 Rajab 1426...penghulu segala hari dan di dalam bulan yang mulia iaitu bulan Rajab.

Adik perempuanku call menyatakan bahawa "Wak Ari" telah meninggal dunia pagi tadi. Aku ambik 'half day', selepas solat jumaat, Insya ALLAH aku akan balik ke Johor.

Semoga rohnya ditempatkan di kalangan orang-orang yang soleh, siddiqin, syuhada...amiin.

Wednesday, August 17, 2005

Padah Tonton Gambar Lucah

WASHINGTON: Penyelidikan saintifik akhirnya menemui bukti kukuh bahawa tabiat suka melihat imej lucah sebenarnya mendatangkan masalah besar kepada penglihatan.

Majalah New Scientist melaporkan, hasil penyelidikan itu dimasukkan dalam kempen keselamatan jalan raya yang mendesak papan iklan tepi jalan dengan gambar seksi diharamkan dengan harapan ia dapat mengelakkan kemalangan.

Kajian baru oleh pakar psikologi Amerika Syarikat (AS) mendapati golongan yang ditunjukkan dengan imej lucah selalunya gagal memproses imej yang dilihat dengan segera selepas itu.

Penyelidik juga berkata sebahagian jenis personaliti jelas terjejas berbanding yang lain disebabkan fenomena dikenali sebagai ‘buta akibat rangsangan emosi.’

Dr David Zald daripada Universiti Vanderbilt di Nashville, Tennessee dan Marvin Chun serta pasukannya daripada Universiti Yale di Connecticut, menunjukkan beratus-ratus imej kepada peserta sukarela dan meminta mereka memilih imej tertentu dengan pantas.

Kebanyakan imej yang dipilih ialah bercirikan landskap dan arkitek tetapi pakar psikologi memasukkan beberapa imej berunsur emosi, menggambarkan keadaan ganas atau seks.

Semakin hampir imej berunsurkan emosi timbul sebelum imej sasaran, semakin kerap peserta kajian gagal mengesan imej sasaran.

“Kami mendapati orang ramai gagal mengesan imej visual yang muncul satu perlima sesaat selepas imej emosi sedangkan mereka mampu mengesan imej itu dengan masalah kecil selepas imej neutral.

“Kami rasa ini gangguan penting untuk memproses imej dan jika jenis tertentu rangsangan menangkap perhatian, ia dapat memuncak dan menyebabkan maklumat penting tidak dapat diperoleh,” katanya.

Zald berkata, ia terjadi dengan tidak sengaja.

“Rangsangan menangkap perhatian dan sebaik mengesan rangsangan tertentu menyebablan tiada rangsangan lain dapat melaluinya buat beberapa puluh saat,” katanya. – Agensi

Petikan: Berita Harian 17 Ogos 2005

Tuesday, August 16, 2005

Fenomena Mawi World!

Walaupun AF3 telah berakhir tetapi bahangnya masih terasa. Bak kata M. Nasir, "Masihkah ada hidup selepas Akademi Fantasia?".

Keputusan Akhir AF3:
1. Mawi - 58%
2. Felix - 30%
3. Amylea - 8%
4. Marsha - 4%

AFVOKAL : Mawi
AFBAIK : Mawi

Pengarah Program Astro, Zainir Aminullah berkata, konsert akhir AF3 menerima jumlah undian khidmat pesanan ringkas (SMS) 1.7 juta manakala jumlah keseluruhan undian AF3, 10.7 juta.

Katanya, dari segi perbandingan undian antara AF2 dan AF3, jumlah keseluruhan undian AF3 ialah 10.7 juta dan AF2 pula 15 juta.

“Secara keseluruhan, AF2 mendapat 20 juta SMS termasuk menerusi saluran @15 dan peraduan yang dianjurkan."


Siapa Mawi?

Nama Penuh : Asmawi bin Ani
Tarikh Lahir : 25 Ogos 1981
Zodiak : Virgo
Tinggi/Berat : 173cm/56kg
Bangsa : Melayu
Agama : Islam
Hobi : Bermain sepak takraw
Makanan/Minuman kegemaran : Nasi Goreng Kampung/Teh O'
Penyanyi Kegemaran : Yassin, Nash, Wahida
Pelakon Kegemaran : M.Rajoli, Jalaluddin Hassan, Ida Nerina, Umie Aida
Lagu Kegemaran : Seruan
Ringkasan diri : Kalau anda nak tahu, Mawi seorang yang suka bercerita, ketawa, suka membuat lawak dan juga seorang yang periang. Bila ditanya apakah perkara yang suka di ceritakan oleh Mawi? Mawi sebenarnya minat bercerita dan berbincang tentang perkara-perkara misteri dan mistik. Hhmm..patutlah Mawi suka membaca majalah Mastika yang penuh dengan cerita misteri dan mistik kerana Mawi sememangnya amat berminat dengan perkara mistik. Antara saat paling gembira bagi Mawi ialah ketika Mawi menjadi Johan Peringkat Negeri dalam berzanji dan juga ketika Mawi dianugerahkan sebagai Pelajar Cemerlang Sekolah Agama.

Friday, August 12, 2005

Kejayaan Orang Melayu!


Petikan kata-kata Y. Bhg Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary


Latarbelakang

  • Umur - 53 tahun
  • Pendidikan - SPM
  • Mula berniaga - 19 tahun (jual beli lembu dan kerbau)
  • Kekayaan -RM1,425 juta
  • Ke 7 terkaya di Malaysia
  • Ke 32 terkaya di Asia Tenggara (Forbes)
  • Antara syarikat miliknya - MMC, Pelabuhan Tg. Pelepas, BERNAS, Gardenia, DRB-HICOM dan Bank Muammalat
  • Kereta - Proton Perdana
  • Sumbangan sosial -Yayasan Al-Bukhary,
institusi pengajian untuk 3,000 pelajar, Muzium Kesenian Islam, Kompleks Al-Bukhary, menaja kelas tuisyen untuk pelajar Melayu, pengindahan Masjid Negara, sumbangan RM1 juta untuk Tabung Tsunami dan menaja setiap tahun penghantaran rakyat Malaysia yang tak mampu untuk tunaikan haji.
  • Bagaimana sumbangan sosialnya bermula -

Bila mana ibunya menyuruh memberikan sebahagian elaun (RM750.00) pertamanya sebagai pengarah syarikat beras kepada jiran yang susah. Sebahagian lagi (RM750.00) ibunya simpan. Selain itu, ibunya juga menyuruh beliau menghantar lampu kerosen ke surau-surau untuk menerangi kegiatan sepanjang malam bulan Ramadhan. Dari situ bermulalah pembentukan peribadi dan pemikiran Syed Mokhtar yang kita kenali hari ini.

1. Ada sebab kenapa saya bekerja seperti tiada hari esok. Agenda sosial dan kerja-kerja kemasyarakatan itulah antara sebabnya. Saya mahu meninggalkan warisan untuk anak bangsa yang kekal berpanjangan

2. (berkenaan know who) Bangsa lain tak mengapa tapi orang Melayu kena berdamping dengan orang politik sedikit-sedikit. Tapi masalahnya kita tidak mahu melalui kesusahan; banyak yang mahu senang dengan mendampingi orang politik semata-mata.

3. Tiada apa-apa rahsia. Saya ini hamba Allah biasa, budak dangau macam saudara semua juga. Tuhan jadikan manusia ini sama sahaja. Proses kematangan saya yang membezakannya. Saya percaya sesiapa pun boleh menjadi apa sahaja asalkan mereka berusaha dengan tekun. Tetapi tentulah ia memakan masa. Tiada jalan singkat.

4. Saya mengenali kekuatan dan kelemahan saya. Apa yang tidak mampu buat saya akan minta orang lain tengok-tengokkan. Saya melalui jalan yang susah tapi itulah jalan yang kekal.

5. Kita perlu menggunakan kepakaran mereka (bangsa Cina) kerana mereka jauh lebih maju dan mahir daripada kita. Apa yang kita kurang faham kita berkongsi dengan tujuan untuk belajar dengan mereka. Apabila sudah faham baru kita boleh menjaga kepentingan kita.

6. Saya sedih melihat sistem sekolah pondok di Kedah. Saya ada cita-cita mahu memodenkan sekolah pondok. Kita kena maju.

7. Saya terlibat dalam perniagaan ini kerana saya tiada pilihan lain.

8. Untuk memajukan perniagaan, memang kena banyak sabar dan kuat berusaha.

9. Tidak ada jalan singkat. Saya belajar tentang perniagaan ini sejak kecil lagi dan saya juga biasa kena tipu.

10. Saya pun suka kemewahan. Saya pun suka tengok dunia, ke Tokyo, New York dan London. Saya pun suka pakai baju elok. Tapi kita hendak bermewah setakat mana, hendak pakai baju banyak mana, hendak tidur dalam berapa rumah satu malam, hendak makan pun sampai larat mana ?

11. Dalam hidup ini kita sebenarnya tidak ada status; ada masa di atas, ada masa di bawah.

12. Ketika Allah memberika kemewahan, kita kena turun ke bawah, tengok mana-mana yang boleh dibantu. Allah beri rezeki melalui kita untuk kita tolong orang lain. Rezeki itu bila-bila masa dia boleh ambil balik. Jika ada orang korporat Melayu yang tidak mahu turun ke bawah mungkin kerana bayangan duit itu lebih kuat daripada yang lain.

13. Korporat Cina turun ke bawah membantu. Orang Cina ada pelbagai persatuan. Kita tidak ada; kalau ada pun berpecah. Orang Melayu kita tidak mahu bekerjasama kerana perasaan dengki menguasai diri. Sudahlah tak mahu berusaha, apabila orang lain berusaha mereka marah

14. Rezeki yang ada itu sebenarnya untuk orang lain. Memang dari segi hukum pun begitu. Kita kena keluar zakat dan fitrah. Tetapi zakat fitrah banyak mana sangat. Islam agama yang adil; ia minta sedikit saja. Oleh itu, kalau ada duit yang lebih ia seharusnya dibelanjakan dengan baik.

15. Saya tak kisah kalau saya tak buat semua ini. Saya boleh tak buat apa-apa dan balik ke Alor Star. Tetapi saya rasa hidup ini sia-sia. Orang Kedah kata kalau mati nanti mata tidak tutup rapat kerana tanggungjawab depan mata kita tidak buat. Orang lain ambil kekayaan kita, ambil hak kita dan pergunakan kita, kita masih tidak buat apa-apa !

16. Saya ada emotional attachment kepada agama, bangsa dan ummah. Saya bukan individualistik. Diri saya tidak penting. Pangkat dan gelaran ini kepada saya tidak mustahak.

17. Saya sedih media tonjolkan saya begini. Saya malu kerana orang Cina kaya beratus-ratus kali ganda daripada saya. Tapi saya tahu orang Melayu kalau hendak berjaya kena kerja kuat tidak kira siang malam. Kita ada kekuatan yang tuhan beri melebihi daripada bangsa lain. Tetapi untuk maju kita perlu berusaha.

18. Saya asal daripada tidak ada apa-apa. Apa yang saya tidak tahu saya belajar, minta tolong daripada orang. Saya tidak malu. Saya bukannya mencuri. Saya usaha sendiri. Sikap pemalas dan pemalu ini yang orang Melayu kena atasi. Kita kena berani kerana benar. Apabila kita dapat keuntungan dan rezeki lebih, bolehlah kita menolong orang.

19. Kaya itu bukanlah kepada diri sendiri. Kaya itu adalah kepada kumpulan perniagaan ini, kepada bangsa dan kepada orang ramai. Saya hanya memegangnya untuk sementara sahaja.

20. Saya tiada keinginan untuk menyimpan kekayaan ini untuk anak dan isteri. Duit ini tidak akan kekal. Saya percaya hanya perkara yang baik yang kita lakukakan akan kekal. Bukan duit yang akan melindungi saya nanti tapi apa yang saya lakukan sekarang.

21. Saya perlu terus mencari peluang dan perniagaan lain supaya kita terus dapat bantu orang lain mengembangkan diri masing-masing. Saya bukan buat semua ini untuk diri saya semata-mata.

22. Ada juga yang saya usaha tapi tak dapat dan orang tak tahu. Apa yang saya dapat itu yang jadi masalah kononnya Syed Mokhtar sapu semua. Bangsa lain memegang pelbagai kepentingan dalam ekonomi, siapa pun tak kata apa. Ini masalah orang Melayu. Di kampung orang Melayu berpecah kerana politik, di bandar berpecah kerana ini (wang).

23. Saya percaya kalau rezeki itu Allah beri kepada saya ia bukan untuk saya tetapi untuk orang ramai juga. Orang tidak tahu banyak syarikat yang saya ada ini gagal dan tidak maju kepada saya tetapi orang tidak tahu.

24. Banyak orang percaya bahawa dia mesti ada RM10 juta atau RM20 juta dalam tangan baru hidup boleh selamat. Ini yang menyebabkan mereka hanyut daripada menolong orang lain. Mereka lebih takutkan diri sendiri. Mereka lupa bahawa kekayaan tidak boleh membantu selama-lamanya.

25. Orang kata saya takda duit tapi banyak hutang. Orang berniaga mana yang tak berhutang. Tapi mesti tahu bagaimana hendak meminjam dan membayarnya semula. Ada cara boleh kita buat.

Tapi sebelum berhutang RM100 juta mesti sudah fikir bagaimana hendak membayarnya balik. Mesti ada tanggungjawab. Banyak orang mahu senang tapi tidak ramai yang mahu bertanggungjawab.

26. (perasaan setiap kali mendapat rezeki). Saya ini kata orang Kedah, lebai kodok bukan lebai pondok. Tapi saya tahu hal-hal asas. Kalau mahu saya minta terus dari tuhan. Tuhan beri manusia akal dan fikiran. Kalau hendak pakai baju dan seluar biarlah padan dengan badan.

27. Kesenangan yang saya perolehi ini datang dengan tanggungjawab (bila pinjam bayar balik dan buat amal jariah). Kalau hendak dibandingkan dengan bangsa lain, perniagaan saya ini tidak ada apa. Tetapi walaupun sedikit tetapi yang sedikit itu ada berkatnya.

28. Saya suka kalau nikmat sedikit yang saya dapat itu orang lain boleh berkongsi sama.

29. Saya kadang-kadang kecewa dan sedih melihat anak orang alim yang sesetengahnya lupa diri setelah mendapat kekayaan. Saya pun sama seperti orang lain suka hendak ke luar negara tetapi kita tidak boleh lupa kubur kita dan asal usul kita. Di kampung kita mungkin ada jiran-jiran yang perlukan bantuan.

30. ......kalau tidak mungkin saya sudah ke Haatyai dan jadi nakal. Saya manusia yang banyak buat kesilapan. Tetapi saya insaf, beristighfar dan jalan lagi. Sejak awal saya ada kesedaran mahu mengekalkan hak kita sebagai orang Melayu.

31. Saya kata kepada diri sendiri kalau kerana itu saya terpaksa bersusah sedikit pun tidak mengapa.

32. Kekayaan ini tuhan beri kepada saya untuk saya menolong orang lain pula. Saya percaya kepada keberkatan rezeki. Hari ini kita tolong orang, esok lusa orang akan tolong kita pula dengan cara yang lain.

33. Kalaupun tidak sanggup tunggu 34 tahun seperti saya berilah sedikit masa untuk faham selok belok perniagaan, Insya Allah boleh maju.

34. Kita jangan cepat putus asa. Putus asa boleh tapi kena cepat-cepat kuatkan semula semangat untuk bangkit balik. Jangan jadikan agama hanya satu tempat untuk kita bergantung apabila kita susah. Tanggungjawab ibadah adalah tugas seharian.

35. Lifestyle ? Saya tidak ada lifestyle yang kena masuk kelab sana dan sini. Tapi tak semestinya saya tidak boleh turun ke kelab. Orang Melayu kalau hendak ke depan mesti ada cara hidup yang fleksibel, boleh naik dan turun.

36. Lifestyle ini sebenarnya satu penyakit. Saya biasa pakai Mercedes tapi sekarang saya pakai Proton Perdana untuk sokong kereta nasional. Kereta itu pun cukup untuk bawa saya ke mana-mana.

37. Tiada sebab orang kenapa Melayu tidak boleh maju. Ini saya berani perang dengan sesiapa pun. Orang Melayu boleh maju. Kalau saudara jadi wartawan saudara kena tanam semangat suatu hari nanti mahu ambil alih akhbar ini. Tidak ada sebab kenapa ia tidak boleh berlaku.

38. Kejayaan dan kelemahan orang Melayu bukan disebabkan oleh bangsa kita dan agama kita. Ia berkait dengan sikap dan cara kita berfikir. Gigih, tekun dan tidak mudah putus asa merupakan kunci kejayaan kita. Tapi perkara ini kurang wujud dalam cara orang Melayu berfikir.

39. Tuhan memberi peluang kepada siapa saja yang bekerja kuat. Apa yang ada pada saya ini hanya usaha. Kalau anak dangau macam saya boleh, tidak ada sebab orang lain terutama mereka yang dari pekan tidak boleh.

40. Kita tidak usahlah selalu mengulang-ulang perkara yang boleh memberikan kesan psikologi negatif kepada orang Melayu (kereta dan rumah besar). Kita kena kurangkan bercakap tentang kereta besar dan rumah besar. Sesiapa pun mahu pakai kereta mewah tapi bukan itu matlamatnya.

41. Orang Melayu sebenarnya kena membantu diri sendiri, kena bekerja keras dan fokus.

42. Sikap merendah diri perlu sentiasa ada dalam diri seseorang walau setinggi mana pun kejayaan dicapai.

43. Apa yang saya buat ini (kerja-kerja sosial) semuanya bermula daripada didikan orang tua saya sendiri.

44. Saya sendiri berhutang sambil berniaga dan buat sumbangan amal jariah. Saya tak mahu tunggu hutang habis baru hendak buat semua ini. Saya takut kalau hutang habis saya pun mati dan apa pun tak sempat saya buat.

45. Saya biasa saja. Hidup saya tidak berubah, dari dulu beginilah. Saya terima apa saja nikmat yang diberikan oleh Allah. Tidak ada segelas air, ada setengah gelas pun saya bersyukur.

46. Kalau kerana sedikit bantuan itu mereka lulus peperiksaan dan hidup mereka menjadi lebih baik, saya sudah gembira. Saya tidak boleh buat banyak. Alhamdulillah, lebih baik buat sedikit daripada tidak buat langsung.

47. Saya tiada minat untuk beli kapal layar atau kapal terbang. Saya fikir kalau saya beli sesuatu biarlah orang ramai boleh pakai. Saya suka kalau saya beli sesuatu yang mahal, biarlah orang ramai boleh pakai.

48. Saya gembira dapat membantu. Saya mahu orang lain merasai (kesenangan) apa yang saya pernah rasa. Saya tahu bagaimana perasaanya. Saya kata kepada diri saya, apa yang saya dapat saya mesti beri orang lain merasainya sama. Jangan beri kurang, lebih tak mengapa. Itu yang membuat hati saya seronok.

49. Saya rasa saya ingin menyumbang lebih daripada ini. Saya kata kepada kawan-kawan ini baru warm-up saja; kita belum berjalan lagi. Saya rasa kita terlalu banyak ketinggalan.

Tambahan

Every one has a dream to succeed. In order to succeed, you must have a will and skill. Otherwise you will be ill. At the end of the day, your dream will be killed.

- Robert T. Kiyosaki

Tuesday, August 09, 2005

Sheikh Ahmad Deedat Dies at 87


SOUTH AFRICA, Aug 8 – Famed Muslim preacher and debater Sheikh Ahmed Deedat died Monday, August 8 2005 (2 Rajab 1426), at 87, leaving behind a legacy of propagating Islam and defending it against missionaries.

Founder of the Islamic Propagation Center International (IPCI) in Durban, South Africa, Deedat distributed more than twenty million copies of his books and audio tapes free of charge for the purpose of da`wah.

In South Africa where he lived, hundreds of people have entered Islam Including a large number of missionaries.

He delivered lectures all over the world and successfully engaged Christian Evangelists in public debates.


Thursday, August 04, 2005

AP?


AP tu apa yea? Ada orang kata Ayah Pin. Dalam tercari-cari makna AP dan pihak Polis mencari dimana Ayah Pin...terima e-mail yang mengatakan Ayah Pin dah pergi ke langit ;)

Ada member kata, "Dok main bola dengan geng2 Battle Galactica!!!!"

Wednesday, August 03, 2005

Tarif Elektrik Akan Naik...

Selepas rakyat menangung beban disebabkan kenaikan harga minyak, selepas ini akan menanggung lagi beban kenaikan tarif elektrik. Bak kata pepatah Melayu, "Sudah Jatuh Di Timpa Tangga".

Tarif elektrik akan naik -- Kadar baru tidak bebankan pengguna berpendapatan rendah

Oleh FAUZI JAAFAR

KUALA LUMPUR 2 Ogos - Kerajaan akan mengumumkan struktur baru kadar tarif elektrik dalam tempoh terdekat ekoran kenaikan harga minyak dunia.

Bagaimanapun, kerajaan memberi jaminan kadar baru itu tidak akan membebankan pengguna berpendapatan rendah dan pengguna berhemat.

Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi, Datuk Seri Dr. Lim Keng Yaik memberitahu, kadar tarif elektrik negara tidak disemak semula sejak 10 tahun lalu.

Tarif elektrik yang rendah sekarang, katanya, menyebabkan ada orang kaya memasang pendingin hawa di stor rumahnya, tempat menyimpan wain dan cerut.

``(Kadar tarif baru itu akan diumumkan) secepat mungkin, tidak mungkin pada tahun hadapan kerana ia terlalu lama,'' kata beliau kepada pemberita selepas merasmikan Program Perkembangan Kompetensi dan Keselamatan (CDP) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini hari ini.

Keng Yaik menjelaskan Tenaga Nasional Bhd. (TNB) telah pun menyerahkan cadangan struktur baru kadar tarif elektrik dan kerajaan sedang menelitinya.

Pada 31 Julai lalu, kerajaan mengarahkan semua pejabat kerajaan menjimatkan penggunaan alat pendingin hawa.

``Kabinet memutuskan supaya semua pejabat berhawa dingin diarahkan supaya meningkatkan suhunya sedikit supaya jimat tenaga, sebagai sebahagian daripada proses menjimatkan kos,'' kata Menteri Sumber Manusia, Datuk Fong Chan Onn.

TNB menghantar cadangan tarif elektrik yang baru pada bulan Mei tahun lalu, selepas kejadian gangguan bekalan elektrik yang terburuk.

Kira-kira 65 peratus daripada janaan kuasa elektrik TNB diperoleh daripada gas.

Dalam pada itu Keng Yaik berkata: ``Apa juga penstrukturan tarif bukan (bermakna) tarif naik. Nanti Fomca (persatuan pengguna) tanya. Kita (kerajaan) mesti lihat pada orang miskin dan berpendapatan sederhana yang hanya menggunakan cukup-cukup bekalan elektrik.

``Tetapi pada mereka yang salah guna sehingga tiada hari esok, mereka mesti bayar lebih.''

Kata beliau, penyemakan semula itu juga supaya masyarakat lebih menghargai penggunaan tenaga elektrik.

Sehubungan itu Keng Yaik meminta orang ramai terutama pihak industri seperti pengusaha hotel dan pasar raya menjimatkan penggunaan tenaga elektrik.

``Mereka (hotel dan pasar raya) ada alat untuk menjimatkan elektrik, tetapi tidak menggunakannya sebab harga elektrik yang rendah hingga boleh membazir,'' katanya.

Bekalan petroleum kata beliau, bukan selama-lamanya boleh diperoleh dalam negara dan jika tidak dijimatkan Malaysia mungkin terpaksa mengimport petroleum pada 2009 untuk membekalkan tenaga elektrik.

Menurut Keng Yaik, sebanyak 65 peratus janakuasa elektrik di negara ini menggunakan gas yang dibeli untuk menghasilkan bekalan elektrik bagi memenuhi keperluan negara.

Malaysia katanya, mendapatkan bekalan gas daripada Petronas dengan harga subsidi sebanyak RM6 bilion, jauh lebih rendah daripada harga pasaran.

Tambah beliau, penggunaan tenaga elektrik di negara ini sangat berlebihan sehingga disebabkan terlalu sejuk kesan daripada pendingin hawa, seseorang yang memasuki bangunan perlu memakai kot atau baju sejuk.

Beliau sekali lagi mengingatkan masyarakat supaya menggunakan bekalan elektrik hanya untuk keperluan yang penting sahaja dan tidak membazir.

``Kita ini seperti bakar duit, sedangkan duit perlu digunakan untuk benda-benda pembangunan lain seperti mengatasi masalah kemiskinan luar bandar, setinggan dan sebagainya,'' katanya.

Petikan: Utusan Malaysia 3 Ogos 2005

KL dilanda "Jerebu"

Jerebu beberapa hari lagi
Oleh Ahmad Naim Tahir dan Shamshul Azree Samshir

PUTRAJAYA: Jerebu yang agak teruk di beberapa kawasan termasuk Lembah Klang sejak petang semalam, dijangka berterusan beberapa hari lagi berikutan kebakaran hutan secara meluas di Indonesia, terutama Sumatera.

Antara kawasan terjejas teruk ialah pusat pentadbiran negara di sini yang mula dilanda jerebu kira-kira jam 2 petang, menyebabkan jarak penglihatan dianggarkan satu kilometer, selain debu dan sisa pembakaran yang boleh disedut serta dihidu pada jarak rendah.

Malah, kebanyakan bangunan pejabat kerajaan termasuk Bangunan Pejabat Perdana Menteri bagaikan lesap ditelan jerebu. Keadaan diburukkan lagi dengan kebakaran tanah gambut seluas lebih 1.2 hektar di Cyber Park sejak dua hari lalu.

Jerebu turut melanda Shah Alam, Ipoh, Seremban, Melaka, Kuching dan Muar.

Ketua Pengarah JAS, Datuk Rosnani Ibarahim, berkata pergerakan angin monsun dari arah barat daya Sumatera ke Semenanjung menyebabkan kesan kebakaran dibawa merentasi sempadan.

SUKAR: Pemandangan menjadi kabur akibat jerebu dirakamkan berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

“Ia menyebabkan beberapa kawasan terutama di pantai Barat Semenanjung berasa sedikit kesan kemerosotan kualiti udara dalam tempoh beberapa hari berikutnya,” katanya semalam.

Pemantauan sehingga jam 11 pagi semalam menunjukkan 32 kawasan mencatat status kualiti udara sederhana seperti Lembah Klang, Kangar, Sungai Petani, Ipoh, Taiping, Tanjung Malim, Melaka, Muar dan Kuantan.

Hanya Sri Manjung, Perak mencatat status kualiti udara tidak sihat, manakala jarak penglihatan di kebanyakan kawasan di seluruh negara baik iaitu melebihi 10 kilometer.

Bagaimanapun beberapa kawasan seperti Bayan Lepas, Chuping, Ipoh, Batu Embun dan Petaling Jaya mencatat jarak penglihatan antara lapan hingga sembilan kilometer.

ALOR STAR, Sitiawan, Subang dan Kuching mencatat jarak penglihatan antara 5 kilometer hingga 7 kilometer,” katanya.

Jurucakap Jabatan Penerbangan Awam (DCA) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang ketika dihubungi berkata, KLIA turut dilanda jerebu tetapi operasi penerbangan berjalan seperti biasa.

Di SEREMBAN, kebanyakan kawasan terutama sekitar ibu negeri serta Nilai diselubungi asap kira-kira jam 2 petang menyebabkan jarak penglihatan merosot kepada kira-kira 500 meter.

Tinjauan di Lebuhraya Utara-Selatan berhampiran Senawang mendapati pengguna memandu perlahan berikutan jarak penglihatan terhad.

Fakta Nombor
620 titik panas dikesan menerusi imej satelit sejak kelmarin
587 di utara Sumatera, termasuk Riau
17 di Sarawak
16 di Kalimantan

Petikan: Berita Harian 3 Ogos 2005

Tuesday, August 02, 2005

Raja Fahd mangkat


Putera Mahkota Abdullah pemimpin baru Arab Saudi

RIYADH: Pemerintah Arab Saudi, Raja Fahd Abdul Aziz, yang menerajui negara pengeksport minyak utama dunia dan sekutu kuat Amerika Syarikat di Asia Barat itu, mangkat semalam selepas gering sejak 27 Mei lalu.

Adik tirinya, Putera Mahkota Abdullah yang menjadi pemerintah de facto sejak 10 tahun lalu selepas Fahd diserang angin ahmar pada 1995, ditabalkan raja baru Arab Saudi.

Menteri Pertahanan paling berpengaruh, Sultan bin Abdul Aziz, 77, dipilih menjadi Putera Mahkota negara itu.

Sumber perubatan berkata, Raja Fahd yang dipercayai berusia 84 tahun, meninggal dunia subuh semalam, 23 tahun selepas beliau ditabalkan menjadi Raja Saudi bagi menempuh cabaran krisis minyak, peperangan dan kemunculan pelampau.

Solat jenazah akan diadakan hari ini manakala dunia Arab termasuk Mesir dan Jordan turut mengisytiharkan tempoh berkabung.

“Dengan penuh dukacita dan sedih, kerabat diraja berkabung dengan kemangkatan Raja Fahd.. Dengan ini, kerabat diraja berikrar untuk taat setia kepada Putera Mahkota Abdullah Abdul Aziz sebagai raja negara ini.

“Seterusnya, Raja Abdullah berkenan memilih Menteri Pertahanan, Sultan bin Abdul Aziz untuk menjadi putera mahkota,” kata Menteri Penerangan, Iyad Amin Madani membacakan pengumuman rasmi kemangkatan Fahd.

Dalam apa yang dianggap cubaan menenangkan harga minyak di pasaran dunia ekoran kemangkatan Fahd, seorang pegawai kanan Riyadh berkata, Arab Saudi akan mengekalkan pengeluaran minyak seperti diperlukan bagi menstabilkan harga.

Fahd dimasukkan ke Hospital Pakar Raja Faisal di Riyadh pada akhir Mei lalu untuk ujian perubatan dan dikatakan mengalami masalah pernafasan akibat radang paru-paru.

Baginda menerajui era yang dianggap penuh mencabar dalam sejarah Arab Saudi yang menyaksikan negara itu terselamat dalam dua Perang Teluk tetapi akhirnya terpaksa berdepan dengan kumpulan pelampau didakwa diterajui Osama bin Laden.

Fahd sebelum ini mengusir Osama dari negara itu kerana didakwa cuba menggulingkan kerajaan diraja Saudi.

Persahabatan Dinasti Saud dengan Amerika Syarikat teruji hebat dengan serangan 11 September 2001 ke atas New York dan Washington apabila 15 daripada 19 penyerang didakwa rakyat Saudi.

Bagaimanapun kebijaksanaan Fahd berjaya mengekalkan persahabatan berkenaan.

Raja Abdullah adalah tokoh popular yang dianggap pemimpin sebenar Arab Saudi sejak 10 tahun lalu dan menjadi tulang belakang kepada usaha pembaharuan kerajaan.

Pemimpin berusia 81 tahun itu, mengekalkan tradisi dengan melantik Sultan sebagai pembantunya meskipun ada laporan sebelum ini menyatakan, mereka sering bertelagah.

Pemerhati politik menyatakan kedua-dua tokoh ini berdepan dengan situasi sukar untuk menentukan barisan pelapis di kalangan berpuluh-puluh anak raja yang mendapat pendidikan Barat serta meminati teknologi, berbanding Fahd, Abdullah dan Sultan yang hanya mendapat pendidikan sekolah agama di istana.

Penganalisis menganggap pemilihan Sultan sebagai tanda pembaharuan yang sedang diusahakan Abdullah tetapi dalam masa sama cuba untuk memastikan kesinambungan dinasti Saud.

Dinasti Saud yang dibentuk sejak kurun ke-18 apabila Raja Padang Pasir, Mohammad bin Saud menyertai kebangkitan kumpulan pembaharuan islam, Mohammad bin Abdul Wahab. – Agensi

Berita Harian - 2 Ogos 2005

Monday, August 01, 2005

Harga Minyak Naik Lagi :(

Alahai terdengarlah keluhan dari rakyat yang menyatakan semenjak Pak Lah jadi PM, harga minyak telah naik lebih dari 3 kali. Macam tak menasabah. Tahniah dan Terima Kasih Pak Lah. Teringat Kain rentang yang digantung di PWTC semasa Perhimpunan UMNO tempohari dan tertulis perkataan "Terima Kasih Pak Lah". Inikah balasan kepada rakyat? Selepas BN menang pilihan raya...harga minyak naik! Selepas selesai Perhimpunan UMNO....harga minyak pun naik...!!!

Saya bukanlah Pakar Ekonomi. Secara bodoh fikiran yea... Jika harga minyak naik, apakah akibatnya;
  • harga makanan akan naik
  • tambang teksi/bas akan naik
  • Kesatuan Pekerja akan mintak untuk naikkan gaji
  • harga roti canai dan teh tarik akan naik
Pendek kata semua harga akan naik.... Adakah ini akan meNAIKkan Ekonomi negara?
Apa-apa pun kita kena ucapkan "Terima Kasih Pak Lah" sekali lagi kerana meNAIKkan harga minyak. Semoga selepas ini akan NAIK dan NAIK harga minyak lagi.

Inilah BALASAN kepada rakyat yang mengucapkan, "Terima Kasih Pak Lah".

Saya tertarik dengan petikan dari akhbar harakah (saya bukan orang PAS):

Subsidi, pemimpin negara juga perlu berkorban
Tuesday, August 02 @ 09:56:54 MYT


Oleh WAN NORDIN WAN YAACOB
KUALA LUMPUR, 2 Ogos (Hrkh) - Kerajaan didakwa sekali lagi menggunakan isu subsidi sebagai alasan meredakan kemarahan rakyat berikutan kenaikan harga minyak yang berkuatkuasa ahad lalu setelah dua kali kenaikan sebelum ini.

Antara alasan yang diberikan untuk meredakan kemarahan rakyat akibat kenaikan harga petrol dan diesel adalah wang yang berjumlah RM9 billion yang telah dibelanjakan kerajaan bagi menampung subsidi petrol dan diesel.

Hari ini kerajaan mengisytiharkan bahawa mereka tidak mampu lagi membelanjakan wang sebanyak itu untuk meringankan bebanan rakyat khususnya golongan yang berpendapatan rendah dan sederhana, kata Pengerusi Lajnah Pengguna dan Alam Sekitar Pemuda PAS Pusat, Mohammad Taufek Abdul Ghani.

Walaupun dalam masa yang sama syarikat Petronas kepunyaan kerajaan, telah mengaut keuntungan melebihi RM56 bilion, katanya.

"Jika inilah alasan yang diberikan kepada rakyat maka kita mahu pemimpin khususnya Perdana Menteri dan semua menteri kabinet juga perlu membebaskan diri mereka dari kebergantungan kepada subsidi yang berbentuk elaun dan segala kemudahan percuma dari kerajaan," katanya.

Beliau mendakwa Perdana Menteri dan menteri-menteri kabinet mengecapi kemudahan subsidi seperti tol, bil eletrik, bil air, kos petrol, kos pembelajaran anak-anak percuma dan pelbagai lagi kemudahan yang mereka perolehi secara percuma.

Malah dakwanya pemimpin boleh membuat tuntutan semula kepada pihak kerajaan.

Gaji bulanan yang mereka perolehi tidak sedikitpun mereka perlu gunakan kerana semuanya telah ditanggung oleh pihak kerajaan, dakwanya.

Ini berbeza dengan rakyat kerana dengan gaji bulanan yang mereka perolehi itulah mereka akan belanjakan untuk segala keperluan hidup, katanya.

Antaranya ialah belanja makan minum , pelbagai bil yang perlu dijelaskan , kos bahan api kenderaan , tol dan sebagainya, katanya.

Segala bebanan dan tanggungjawab ini akan menjadi semakin berat dengan kenaikan harga barang keperluan akibat kenaikan harga petrol dan diesel, katanya.

Keadaan yang sama berlaku di Negeri Sembilan dan Johor hari ini ketika krisis air semakin meruncing, kesusahan akibat ketiadaan bekalan air hanya dirasakan oleh rakyat sahaja, ujar beliau.

Beliau mendakwa catuan air selama 24 jam di Negeri Sembilan hanya dikenakan kepada rakyat dan ianya tidak berlaku ke kediaman rasmi Menteri Besar dan rumah-rumah pemimpin kanan kerajaan.

"'Tradisi Membela Rakyat' yang sering menjadi motto kerajaan Barisan Nasional perlu diubah kepada "Tradisi Menyusahkan Rakyat", tegas Taufek. - wn