Monday, May 30, 2005

Pelajar lelaki lebih cemerlang jika dipisahkan: Kajian

Tertarik dengan berita di dalam Berita Harian pada 30 Mei 2005. Petikan seperti di bawah:

Pelajar lelaki lebih cemerlang jika dipisahkan: Kajian


LONDON: Budaya “macho” yang menjadikan pelajar lelaki malas belajar boleh diatasi jika budak lelaki dan perempuan dipisahkan serta menjalani pembelajaran di sekolah sama jantina, dakwa penyelidikan ditaja Kerajaan Britain yang disiarkan semalam.

Pelajar perempuan biasanya lebih berjaya daripada lelaki dalam ujian sekolah di Britain dan Jabatan Pendidikan menjalankan satu projek kajian selama empat tahun membabitkan 50 sekolah untuk mencari jalan mengurangkan jurang berkenaan.

Penyelidik dari Universiti Cambridge mendapati kelas sama jantina membabitkan mata pelajaran yang sama boleh membantu kejayaan pelajar lelaki, selain memberi manfaat kepada pelajar perempuan.

“Lebih ramai pelajar wanita dan lelaki lebih selesa belajar di kelas sama jantina. Mereka akan lebih berinteraksi dan menunjukkan minat untuk belajar tanpa sebarang gangguan. Mereka juga akan mencapai keputusan yang lebih baik,” kata kajian itu.

Kajian itu berkata, ada bukti menunjukkan pelajar lelaki bertindak memelihara imej `macho’ mereka dan bersikap demikian yang menghalang mereka serta pelajar lain dalam kelas serupa daripada mencapai kejayaan .

Masalah `macho’ bagaimanapun boleh juga menjadi satu masalah dalam sekolah sama jantina, kata penyelidikan terbabit.

Namun secara keseluruhan, kajian itu berkata: “Bukti menyokong hujah bahawa perkembangan pelajar dalam mata pelajaran tertentu boleh dibantu dengan berada dalam kelas sama jantina. Ini berdasarkan tindak balas pelajar dan analisis mengenai pencapaian akademik mereka.”

Tahun lalu, bekas Menteri Persekolahan, David Miliband menyokong idea sekolah sama jantina di Britain bagaimanapun kerajaan tidak merancang sebarang program ke arah itu setakat ini. – AFP


Apa pandangan anda? Kalau di Madrasah, memang diasingkan lelaki dan Perempuan.

Saturday, May 28, 2005

Angka 11

Apa ada pada angka? Sebab angka orang jadi gila. Gila Angka...Gila tikam ekor. Ni nak cerita angka 11. Baca Berita Harian kolum Sembang Sabtu.

TARIKH lahir biasanya dianggap angka paling istimewa, tetapi bagi Pengerusi Felda, Tan Sri Dr Mohd Yusof Nor, selain angka 5 iaitu tarikh lahirnya, beliau turut memiliki satu lagi angka lain yang sinonim dengannya iaitu 11.

“Nombor 11 amat bermakna bagi saya, kereta saya menggunakan nombor 11, saya menjadi ketua bahagian 11 tahun, berada di kementerian, jadi timbalan menteri dan menteri selama 11 tahun. Banyak angka 11 dalam hidup saya dan nombor rumah saya pun 11. Semua itu secara kebetulan,” katanya ketika menjelaskan kenapa angka berkenaan begitu istimewa dalam hidupnya.

Secara tak disengajakan....ehmmm....nombor rumah aku pun 11. Aku bekerja pun di tingkat 11 sekarang. Dulu kat jabatan lama pejabat aku pun kat tingkat 11. Boss besau punya rumah pun nombor 11, kalau tak silap. Nombor kereta bukan nombor 11 sebab kalau nak masuk tender untuk dapat nombor 11 mahal deh. So ambik random nombor jer...dulu pernah gak pakai nombor 34....murahh...sebab cina takut nombor 4. Apa lagi yang ada kaitan dengan angka 11 yea...Err..err....sambil garu kepala... :)

Thursday, May 19, 2005

Isu Al-Quran Dihina. Dimana kita?

Baca Harakah daily...bukan maknanya saya orang PAS. Sebab saya tak mempercayai sistem Demokrasi. Cuma nak dapat pandangan dari pemimpin PAS.

Al-Quran ke mangkuk tandas, Hadhari apa?-Oleh Nik Abdul Aziz Nik Mat
Tuesday, May 17 @ 18:56:23 MYT


MAKA, berkatalah Perdana Menteri Islam Hadhari setelah mendengar kejadian tentang tuduhan warden penjara di Guatanamo memasukkan Al-Quran ke dalam mangkuk tandas dan dipam. Walaupun ia sedih, “tapi apa yang kita hendak lakukan.” (Mingguan Malaysia 15 Mei 2005).

Melihatkan komen Perdana Menteri daripada Umno ini, jelaslah yang pemimpin kita ‘kering dakwat’ dalam serba serbi. Kering pemikiran. Kering iman. Kering suara. Kering kepekaan, malah hilang langsung deria rasa biarpun Al-Quran sendiri dihina sebegitu rupa di penjara Guantanamo Bay, Cuba.

Sepatutnya selaku negara pelopor dalam Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM) dan OIC, tunjukkanlah sikit mutu kepemimpinan kita yang kononnya sudah mencecah taraf dunia itu. Kata, Islam Hadhari kini sudah tersangat popular hinggakan ramai pemimpin dunia mahu belajar dengan kita!

Setelah mendengar pendirian Perdana Menteri yang langsung tidak sensitif (setakat ini) dalam isu ini, maka tahulah rakyat bahawa Islam dari klon hadhari ini cuma “Islam jenis cakap saja.”.

Mari kita bandingkan dengan sikap pemimpin-pemimpin negara umat Islam yang lain yang tidak pun hadhari. Mereka mengeluarkan kenyataan rasmi, membuat bantahan aman dan mendesak keras agar kerajaan AS melakukan siasatan rapi dan mengemukakan penjelasan sebenar.

Kemudian, kita dapat saksikan pula bagaimana tergesa-gesanya Setiausaha Negara Amerika, Condoleezza Rice terpaksa membuat kenyataan yang mereka tidak pernah sekali-kali bertindak menghina Al-Quran disamping akan menjalankan siasatan rapi serta merta bagi menyatakan kejadian yang sebenar.

Soal AS yang suka berdolak dalik adalah satu hal; tetapi sikap pemimpin Islam walau dari klon mana sekali pun perlu jelas. Saya kadang kala menjadi cukup tidak faham. “Cemerlang? Gemilang? Terbilang?.”

Cemerlanglah itu agaknya apabila “a senior police officer allegedly made an asset declaration amounting to RM34 million and no action seen to be taken”. (NST muka depan 17 Mei 2005).

Gemilanglah itu agaknya apabila adik Ahmad Hafizal dijel dan didenda kerana gagal menjalani PLKN sedangkan beliau pada masa yang sama sedang tekun meraih rezeki untuk membantu emaknya (seorang balu) dengan dua tiga adik-adiknya yang tidak cukup makan.

Terbilanglah itu agaknya apabila Ratu Dangdut tergamak dibenarkan menggerudi ‘papan iman’ remaja kita di Stadium Merdeka atas undangan pemimpin Umno/BN.

Kenyataan yang berbunyi “tidak ada apa yang boleh dilakukan” sesungguhnya cukup naïf dan sangat menampakkan ketandusan. Bukankah kita ada Wakil Tetap di PBB. Kita Pengerusi OIC. Kita orang kuat NAM. Kita ada Wisma Putra dan kita tahu di mana letaknya Pejabat Kedutaan Amerika di Malaysia.

Langkah-langkah Civil yang membayangkan sikap tamadun beraurakan hadhari boleh diatur dengan waras dalam rangka bantahan beradab ke atas amalan biadap yang non-hadhari di Guantanamo itu.

Bertindaklah dengan tegas berasaskan protokol mengikut saluran-saluran diplomatik antarabangsa yang dipiawaikan. Ini bukan masalah. Entahlah. Kita nampaknya semakin sehari semakin kalut. Dalam tahun ini sahaja kita saksikan kes JAWI vs Jeslina Hashim.

Kita ada kes tuntutan Sister’s In Islam dengan 50 NGO dan anak Perdana Menteri serta anak bekas Perdana Menteri termasuk beberapa Menteri sendiri yang menyokong penubuhan IFC, walaupun kemudiannya ditangguhkan (ingat, tidak dibatalkan).

Kemudiannya, datang pula si Inul dengan “mesin gerudi”nya. Disusuli pun dengan isu diesel yang kekurangan. Rupa-rupanya, bukan setakat diesel tetapi dengan petrol-petrolnya sekali diangkat naik antara 10 sen – 20 sen seliter.

Kemudian, mulalah memberi amaran itu dan ini. 1,000 Pegawai Penguatkuasalah yang memantau kenaikan harga. 14,000 wanitalah (wanita mana ni?) yang nak turut dijadikan sukarela.

Kemudian, kempen beli barang murah di Giant, Tesco, Carrefour dan Mydinlah. Kononnya mahu membendung pesta naik harga. Sebenarnya, perkataan pesta yang digunakan sendiri oleh akhbar-akhbar perdana kita sangat mengesahkan telah berlakunya kenaikan harga barang yang ‘gila-gila’.

Kapitalis yang berpesta. Rakyat yang merana dan pihak berkuasa yang seakan-akan tengok saja. Cukup rajin mengeluarkan kenyataan tetapi akan berakhir dengan pendirian-pendirian tawar yang mungkin sekali lagi berbunyi, “apa yang boleh kita lakukan”? Cuba kita bayangkan jika ayat yang sama diulang apabila kita melawat orang sakit.

Jika dalam insiden orang menghumban Kitab Suci kita ke mangkuk tandas pun kita boleh ambil sikap “apa boleh buat ,” maka demikianlah hakikat adanya kita dalam situasi kepemimpinan semasa di waktu ini.

Memang sahlah yang kita perlukan reformasi mega di segenap peringkat dan keadaan. Itu belum lagi kita semak berita-berita mutakhir terkini. Mari kita beranalisis dengan membuat pembedahan isu berasaskan kes:

i) “Sebahagian penganggur Melayu sukar dapat kerja.” - Berita Harian 17 Mei 2005
(Komen : Janji Umno, jika menang di Kelantan dalam pilihan raya yang lalu, katanya, kerja boleh dilambakkan dengan banyaknya).

ii) “Pertunjukan fesyen baju jarang tanpa coli, hidangan arak jam 8.30 malam dibuat di sebuah pusat membeli belah di ibu kota.” - Berita Harian 17 Mei 2005
(Komen : Mana kempen budi bahasa jika supermarket pun boleh anjur pertunjukan yang anti-moral pada bila-bila masa. Mustahil, permit tidak diperlukan. Siapa pula yang meluluskannya?)

iii) Tegas Perdana Menteri, “usah cepat naik harga barang.” - Berita Minggu 8 Mei 2005
(Komen : Maknanya, boleh naiklah tapi perlahan-lahan?)

iv) Dato’ Shapie Apdal pula berkata, “don’t pass cost to consumers.” - NST 8 Mei 2005
(Komen : Habis, jika tidak dipindahkan kepada pengguna, kepada siapa lagi. Minyak dah naik begitu cepat, takkan tak berlaku inflasi. Ini hukum klasik ekonomi seantero alam. Mustahil tak faham!).

v) “Bekas Ketua Pemuda Umno dan isterinya dari negeri Perak ditahan atas tuduhan rasuah RM6.2 juta.” - Utusan Malaysia 14 Mei 2005
(Komen : Jika sudah pemimpin Umno rasuah, habislah. Itu belum lagi didedah 18 kes berprofil tinggi. Jangan lupa, Rakyat menanti).

Semasa Tun Dr Mahathir ditemubual, beliau mendedahkan satu kekurangan iaitu beliau tidak pandai berenang. Pemimpin Umno yang ada sekarang pula pandai buat apa dan tidak pandai buat apa, tak tahulah. Serba salah rakyat dibuatnya. Dipotong hidung, rosak muka. Diconteng muka rosak maruah. Ya Allah!

Dalam keadaan sebegini, saya meminta orang lain sama turut merenungi Firman Allah yang bermaksud;

“Maka tatkala mereka melupakan apa yang diperingatkan kepada mereka, Kami selamatkan orang-orang yang melarang dari perbuatan jahat dan Kami timpakan kepada orang-orang yang zalim seksaan yang keras disebabkan mereka selalu berbuat fasik.” - (Surah Al-A’raaf: Ayat 165). Wallahu a’lam. - /mj


Wednesday, May 18, 2005

Hadiah Untuk Guru...

Petikan berita yang menyayat hati...bagaimana perasaan ibu melihat anak kesayangannya digilis lori di depan matanya sendiri. Semalam terbaca cerita tersebut di Utusan Online. Malam tadi tenguk berita di TV3 menceritakan peristiwa tersebut. Sedih bile mengenangkan peristiwa tersebut.

Siapa nak disalahkan? Wakil Rakyat? Shapadu? Penghulu? PM? Pemandu Lori? Ibu? Anak?

Kalau nak diceritakan banyak kematian di jalan raya yang ngeri melibatkan Lori. Dalam perjalanan pergi dan balik kerja pernah beberapa kali melihat kemalangan dihadapan mata saya sendiri dimana lori merempoh pejalan kaki. Kawan baik saya sendiri mati satu keluarga, juga kemalangan dengan Lori. Pemandu Lori yang bawa lori dalam keadaan merbahaya tak usah cerita lah..... Saya boleh senaraikan no plat lori tersebut. Tetapi ada jugak yang saya send sms laporan ke sistem DAPAT atau LPKP. Setakat mana diambil tindakan tersebut...entah lah!

Bersama ini petikan akhbar Utusan Malaysia 18.05.2005 berkenaan peristiwa yang menyayat hati tersebut..

Nur Salina lebih manja sebelum maut digilis treler

KLANG 17 Mei - Nur Salina Saparedi, 7, yang maut digilis treler ketika dalam perjalanan ke sekolah bersama kerongsang untuk ustazahnya sempena Hari Guru semalam dikatakan rajin mengemas dan membasuh pinggan sebelum kemalangan ngeri itu.

Ibunya, Arliza Mohd. Sani, 37, berkata, pada masa yang sama anak sulungnya itu kelihatan sungguh manja apabila sering menciumnya dan ahli keluarga yang lain.

Bagaimanapun katanya, semua ahli keluarganya tidak menyangka perubahan kelakuan Nur Salina dalam tempoh dua tiga hari itu akan berakhir dengan begitu tragis.

``Saya juga masih ingat, sebelum ini dia pernah meminta duit RM1 untuk membeli sekuntum bunga di sekolah khas buat saya sempena Hari Ibu yang lalu.

``Tetapi saya tidak mahu dia belikan saya bunga kerana bagi saya memadailah jika dia memberi saya ciuman di pipi sempena Hari Ibu,'' katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya di Jalan Yadi, Kampung Rantau Panjang di sini hari ini.

Dalam kemalangan maut di Lebuh Raya Selat Klang Utara semalam, Nur Salina digilis oleh treler di depan Sekolah Rendah Agama Rantau Panjang di depan mata Arliza sendiri.

Nur Salina yang begitu bersemangat dan riang untuk ke sekolah dengan hadiah kerongsang itu juga tidak mahu melintas jalan bersama ibunya sebaliknya mahu berjalan bersama rakan-rakan yang lain.

Sementara itu, bapa Nur Salina, Saparedi Wahid, 52, berkata, anak perempuannya itu pada mulanya mahu membeli dua kain tudung sebagai hadiah kepada dua gurunya.

Bagaimanapun katanya, kain tudung agak mahal dan dia memujuk Nur Salina supaya membeli kerongsang tudung sahaja.

``Harga satu kerongsang ini hanya RM2 sahaja, satu warna hijau untuk Ustazah Hanizah dan satu lagi warna biru untuk Cikgu Ida Rosyatina, kedua-dua kerongsang ini mempunyai bentuk yang sama.

``Apabila tiba masa untuk saya memulangkan buku teks sekolah nanti saya akan beri kerongsang kepada cikgu-cikgu Nur Salina kerana ini memang sudah niat dia untuk beri hadiah, jadi saya kena tunaikan juga,'' katanya.

Katanya, kerongsang untuk Ustazah Hanizah kini disimpan oleh rakan sepejabatnya kerana dia sungguh pilu dan tidak sanggup untuk melihat kerongsang berkenaan.


Membaca peristiwa tersebut, menyebabkan saya menangis ...............

Tuesday, May 17, 2005

Guru Oh Guru...!!!

Terbaca berita dalam Utusan hari ini berkenaan anak-anak Guru yang secara automatik dapat pinjaman buku teks. Anak-anak pekerja kerajaan yang lain bila lagi nak dapat pinjaman buku teks?

Kalau difikirkan lah yea....bila buka sekolah baru bermula...ibubapa sibuk untuk membeli buku teks untuk anak-anak mereka. Tetapi yang musykilnya, mengapa bila bermulanya persekolahan, banyak pulak buku-buku lain yang terpaksa kena beli. Tak abis-abis sekejap anak minta duit...nak beli buku...nak beli buku....katanya. Adakah isi di dalam buku teks tak cukup ilmu untuk diberi kepada anak murid? Perlunya buku-buku lain. atau.....atau....

Bila ditenguk dan diperhatikan dan diselidiki, didapati budak zaman sekarang tak banyak guna buku tulis rupa-rupanya. Banyak guna buku aktiviti...kalau nak buat huruf 'A'....kena ler ikut titik-titik 'A'. Dari kecik dah diajar bagaimana nak tiru (copy kata orang putih), jadi bila dah besar sikit...belajar copy & paste. Mana nak serlahkan daya kreaviti budak-budak sekarang?

Bila lihat buku Tahun 1 dan 2, ambil contoh Bahaya Melayu. Kalau masuk tahun 1 tak reti baca...alamat ler ketinggalan. Tak macam dulu tekankan atau mantapkan penguasaan 3M (Membaca, Menulis & Mengira). Bila asas 3M sudah kuat baru ler senang untuk mereka memahami pelajaran. Berbalik kepada Bahasa Melayu tadi...dah ler budak tu tak reti membaca...diajar nak memahami...diajar nak ringkaskan karangan....hilang 'mood' budak tu. Tak semua budak yang pandai membaca bila masuk tahun 1. Harap perkara ini dikaji. Bukan nak test lepas tu perkenalkan cara lain. Ini bukan main test test. Yang jadi mangsa anak-anak murid.

Lagi satu yea, Kalau dulu masa saya bersekolah, cikgu dengan senang hati membuat kelas tambahan (tusyen kata orang sekarang) tanpa bayaran (percuma). Tetapi sekarang ada segelintir guru yang buat 'part-time' untuk membuat tusyen dengan bayaran. Adakah gaji guru zaman sekarang tidak cukup? Dimanakah silapnya?

Kalau dulu, kalau guru pukul anak murid. Anak murid takut nak kasi tau ibubapa. Sekarang jika anak murid kena pukul, anak murid akan kasi tau ibubapa. Silap hari bulan cikgu pulak kena saman.

Alahai..... nasib... nasib....

Monday, May 16, 2005

Selamat Hari Guru

Sempena Hari Guru pada hari ini, saya mengucapkan "Selamat Menyambut Hari Guru" kepada semua guru-guru di seluruh dunia terutama sekali guru-guru yang telah mengajar saya.

Kepada guru yang telah mengajar saya, Sekolah Kebangsaan Jengka 5 (1975 - 1980), Sekolah Menengah Kebangsaan Jengka 6 (1981 - 1983) dan Sekolah Menengah Kebangsaan Jengka 2 (1984 - 1985) dengan doa semoga jasamu dibalas oleh ALLAH dengan balasan yang baik di Akhirat.

Juga tak lupa kepada pensyarah-pensyarah Sains Komputer di Universiti Pertanian Malaysia (1986 - 1989) dan yang pernah mengajar saya di INTAN (1997).

Juga kepada guru-guru agama yang telah mengajar saya sama ada yang masih hidup atau telah meninggal dunia.

Kepada guru-guru yang telah meninggal dunia, saya sedekahkan,

Al Fatihah...