Thursday, December 29, 2005

Akademi Fantasia Haram?

Saudi haram SMS undi program realiti

RIYADH: Pengendali telefon bimbit Arab Saudi, Mobily menamatkan khidmat sistem pesanan ringkas (SMS) untuk pengguna mengundi bagi memilih pemenang pertandingan televisyen Arab, `Star Academy’ selepas fatwa mengharamkan program itu.

Pada Mei lalu, ulama Saudi mengutuk program televisyen popular itu yang disiarkan oleh stesen Lubnan LBC, yang dianggap sebagai jenayah terhadap Islam selepas seorang pemuda Saudi disambut secara besar-besaran apabila memenangi pertandingan itu di Beirut.

“Keputusan itu diambil malam kelmarin disebabkan fatwa yang dikeluarkan itu serta program itu dianggap tidak cocok.

“Program itu menyiarkan lelaki dan wanita duduk serumah dan ada kalanya separuh bogel serta dalam keadaan tidak sesuai,” kata jurucakap syarikat telefon itu, Humoud Alghodaini, semalam.

Program itu memasuki musim ketika minggu lalu dengan disertai dua lelaki Saudi berusia 21 tahun yang bersaing dengan 17 lagi peserta dari seluruh dunia Arab. Mereka akan berkongsi sebuah rumah dalam usaha memenangi kontrak rakaman.

Arab Saudi mempunyai peraturan Syarak yang ketat serta Islam melarang lelaki dan wanita bukan muhrim bercampur gaul lebih-lebih lagi duduk serumah.

Saudi Telecommunications Co. (STC), menjadi syarikat perkhidmatan telefon bimbit utama pada Januari lalu menyatakan akan menghalang pengguna perkhidmatannya mengundi untuk program itu menerusi SMS. – Reuters

STC mempunyai kira-kira 10 juta pelanggan berbanding dua juga pelanggan yang berdaftar dengan Mobily yang dimiliki oleh syarikat telekomunikasi Emiriah Arab Bersatu (UAE), Etisalat.

“Pasti kita mengalami kerugian tetapi kita tidak tahu berapa banyak kerugian itu. Kita perlu menghentikan khidmat itu jika mahu mengelak daripada sebarang tindakan dan menjejaskan imej syarikat,” kata Alghodaini.

Pada April lalu, rakyat Saudi, Hisham Abdulrahman memenangi pertandingan itu. Beliau mencetuskan histeria pop di negara itu dan ribuan peminatnya sentiasa mengerumuninya serta mencium pipi setiap kali beliau muncul di tempat awam. – Reuters

Petikan: Berita Harian 29 Disember 2005

Wednesday, December 28, 2005

Emas Cotek

Emas cotek kekal ayu, awet muda

Oleh Roselan Abdul Malek

EMAS cotek adalah sejenis tumbuhan renek menumpang. Tumbuhan ini boleh ditemui hidup di atas pokok lain terutama di celah dahan yang terdapat bahan reput daripada daun.

Namun begitu ada juga yang hidup di atas tanah terutama di kawasan berpasir seperti di tepi pantai dan tanah gambut.

Terdapat dua jenis ia dinamakan emas cotek jantan dan emas cotek betina. Jantina pokok ini dibezakan oleh ukuran daunnya. Daun yang lebih besar dan berbentuk bulat menunjukkan pokok betina manakala daun yang lebih kecil dan tirus adalah pokok jantan.

Daun emas cotek berwarna hijau di permukaan dan berwarna emas di bahagian belakang.

Di bahagian belakang setiap daun terdapat bintik hitam (cotek) di antara dua urat yang bercantum. Tumbuhan ini boleh dibiakkan melalui keratan batang atau semaian biji.

Kegunaan dan khasiat emas cotek

1. Air rebusan daunnya yang telah dikeringkan diminum untuk menyembuhkan, membetulkan kerosakan urat saraf dan mengekalkan keayuan serta awet muda.

2. Air rebusan daun dan batangnya yang telah dikeringkan diminum untuk mengembalikan rahim ke kedudukan asal serta mengecutkan rahim untuk perempuan baru lepas bersalin.

3. Air rebusan keseluruhan tumbuhan ini dipercayai boleh merawat sakit paru-paru berair, kencing manis, buasir, darah tinggi, lemah jantung, cirit birit dan meningkatkan keinginan seks lelaki dan wanita.

FAKTA
# Nama Lain: Serapat Angin, Telinga Beruk, Ara Terbang.
# Nama Saintifik: Ficus deltoidea
# Famili: Moraceae

Friday, December 23, 2005

Mahdzir Khalid MB Kedah

Oleh Mohd Fuad Razali, Ridzuan Yop dan Johari Ibrahim

PM serah surat pelantikan untuk dapatkan perkenan Sultan hari ini

SUBANG: Datuk Mahdzir Khalid , 45, diumumkan sebagai Menteri Besar Kedah kesembilan menggantikan Datuk Seri Syed Razak Syed Zain yang meletakkan jawatannya, semalam, atas sebab kesihatan.

Pelantikan Mahdzir sudah pun dipersetujui Sultan Kedah, Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah dan akan berkuat kuasa selepas mendapat perkenan rasmi baginda.

Mengumumkan perkara itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, beliau akan menyerahkan surat pelantikan itu kepada Sultan Kedah hari ini bagi mendapat perkenan rasmi baginda.

“(Sebelum ini) Saya telah berkesempatan untuk menyembah pandangan mengenai pengganti Syed Razak kepada Sultan Kedah dan saya menamakan Mahdzir yang kini pemangku Menteri Besar Kedah.

“Sewaktu saya membayangkan hasrat saya untuk melantik Mahdzir, Sultan Kedah menyatakan persetujuan baginda dan esok pagi (pagi ini) saya akan sampaikan secara rasmi surat pelantikan itu kepada baginda,” katanya pada sidang media setibanya di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di sini selepas melawat kawasan banjir di Kelantan, semalam.

Abdullah juga merakamkan ucapan setinggi penghargaan dan terima kasih ke atas segala khidmat dan jasa yang diberikan Syed Razak kepada kerajaan negeri dan Persekutuan.

Ditanya sama ada Syed Razak ada memaklumkan kepada beliau mengenai hasratnya untuk melepaskan jawatan Menteri Besar, Abdullah berkata:

“Syed Razak ada membayangkan mengenai perkara itu bagi memberi laluan kepada penggantinya. Beliau ingin melihat Kedah terus maju dan ditadbir dengan sebaik-baiknya oleh penggantinya.

“Saya juga dimaklumkan keputusan peletakan jawatan itu diambil oleh Syed Razak kerana kesihatan yang terganggu menyebabkan beliau tidak boleh memberi sepenuh kekuatan dan tenaga untuk melaksanakan tugas berat lagi mencabar sebagai Menteri Besar.”

Mengenai beberapa jawatan lain yang disandang Syed Razak termasuk Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah, Abdullah berkata, perkara itu akan diserahkan kepada Mahdzir dan sehingga ini Syed Razak masih ahli parti dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kubang Rotan.

Sementara itu, Syed Razak, yang sedang bercuti panjang sejak 17 Julai lalu selepas diserang penyakit paresis, ketika dihubungi untuk meminta penjelasan berhubung peletakan jawatannya, cuma berkata: “Saya dah berhenti, hendak cakap apa lagi."

Peletakan jawatan Syed Razak diumumkan Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah, Datuk Syed Unan Mashri Syed Abdullah, dalam sidang media di Wisma Darulaman, Alor Star pada jam 4 petang, kira-kira sejam selepas bekas Menteri Besar itu menghadap Sultan Kedah.

Syed Razak, 61, dilihat menaiki Pajero diiringi beberapa pegawainya memasuki Istana Anak Bukit, kira-kira jam 2.45 petang bagi memaklumkan hasratnya meletakkan jawatan.

Beliau yang meninggalkan istana 50 minit kemudian, bagaimanapun gagal ditemui wartawan kerana terus pulang ke kediaman peribadinya di Lorong Cempaka 2, Taman Sophia.

Wartawan akhbar ini yang mengunjungi rumahnya juga gagal menemui Syed Razak dan seorang pegawainya memberitahu bekas Menteri Besar itu sibuk berkemas untuk ke Kuala Lumpur.

"Insya-Allah, beliau akan bertemu anda selepas pulang nanti," katanya sambil meminta wartawan beredar dan tidak menunggu di depan rumah bekas Menteri Besar itu.

Syed Unan Mashri pada sidang medianya menjelaskan Syed Razak tidak mahu mengumumkan sendiri peletakan jawatannya kerana berpendapat lebih baik pentadbiran negeri berbuat demikian.

Mengenai sebab Syed Razak meletakkan jawatan, beliau berkata: “Mungkin selepas bercuti panjang, beliau memikirkan perlu berbuat demikian bagi memastikan kesinambungan program pembangunan negeri."

Syed Razak diserang paresis pada 8 April lalu dan bercuti selama tiga bulan mulai 17 Julai lalu untuk menjalani rawatan sebelum menyambung cuti tiga bulan lagi mulai 17 Oktober hingga 16 Januari ini.

Sejak itu, Mahdzir yang juga Adun Pedu dan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Pembangunan Luar Bandar dan Pembangunan Koperasi dilantik memangku jawatan berkenaan.

Dalam tempoh berkenaan, Mahdzir turut dilantik sebagai Pemangku Pengerusi Perhubungan Umno Kedah.

Petikan: Berita Harian 23 Disember 2005

Thursday, December 22, 2005

Boikot Israel :P

Berikut ialah gambar yang diambil oleh jurugambar Wan Zahari pada jam 3:30 ptg 15 Disember 2005 di Bangunan PWTC, Kuala Lumpur. Gambarnya ialah bendera Israel berkibar diatas bangunan PWTC bersama beberapa bendera negara asing.

Wednesday, December 21, 2005

M. Moorthy @ Mohammad Bin Abdullah?

Kecoh tuntut mayat pendaki Everest

Oleh Umavathi Ramayah dan Md. Zan Saari

KUALA LUMPUR 20 Dis. - Berita kematian pendaki Gunung Everest, Koperal M. Moorthy, 36, pagi ini, telah menimbulkan kekecohan apabila mayatnya menjadi rebutan antara keluarga dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi).

Ini kerana, Jawi mendakwa Moorthy telah memeluk agama Islam sejak 8 Mac lalu dengan menggunakan nama Mohammad Bin Abdullah.

Pada masa sama, keluarganya tetap mengatakan Moorthy masih beragama asal iaitu Hindu.

Moorthy meninggal dunia akibat penyakit cervical sick selepas terjatuh ketika latihan somersault di Kem Sungai Udang, Melaka pada 14 Ogos 1998.

Beliau kemudian lumpuh dan terpaksa menggunakan kerusi roda.

Moorthy kemudian terjatuh dari kerusi roda sebulan yang lalu, menyebabkan dia koma.

Ekoran kematiannya kira-kira pukul 11 pagi ini di Hospital Kuala Lumpur (HKL), berlaku kekecohan dalam urusan menuntut mayat.

Untuk menyelesaikan masalah tersebut, Jawi dan keluarga Moorthy bersetuju supaya perkara itu dibawa ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, esok.

Sebelum itu, suasana menjadi kecoh apabila lebih banyak pihak cuba menuntut mayat Moorthy untuk dikebumikan.

Ini termasuk tujuh pegawai Jawi yang mahu supaya mayat Moorthy dikebumikan mengikut hukum dan peraturan Islam.

Kekecohan itu turut menyebabkan pihak keluarga Moorthy, terutama ibunya, Saraswathy Rajoo, 62, tidak dapat menerima kenyataan tersebut.

``Saya memberi nama Moorthy kepadanya,'' jerit Saraswathy.

Sementara itu, peguam keluarga Moorthy, A. Sivanesan dari Firma Tetuan Sivanesan & Co. ketika ditemui di HKL berkata, pihaknya mendapat maklumat dan dokumen rasmi mengenai pengislaman Moorthy dari Jawi, menunjukkan anggota tentera itu memeluk Islam pada 8 Mac tahun ini dengan kerelaan sendiri.

Menurutnya, perkara tersebut telah dirahsiakan daripada pihak keluarga termasuklah isterinya, Kaliamal Sinasamy, 30, sehingga 1 Disember lalu.

``Apabila Moorthy dimasukkan ke HKL pada 11 November lalu, Jawi telah memaklumkan kepada Kaliamal mengenai pengislaman suaminya itu.

``Menurut Jawi, jika berlaku kematian, jenazah suaminya akan diuruskan mengikut cara Islam, `' katanya.

Difahamkan, Kaliamal bagaimanapun tidak memberitahu pengislaman suaminya kepada sesiapa.

Ketika ditemui, Kaliamal mengesahkan ada menerima panggilan telefon dari Jawi tetapi enggan mengulas lanjut.

Sivanesan menambah, kes tersebut akan difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur esok.

``Keputusan mungkin akan hanya diketahui dalam masa 48 jam.

``Seorang jurucakap Jawi yang hanya dikenali sebagai Azniza, juga tidak membantah mengenai perkara tersebut (dibawa ke mahkamah),'' kata Sivanesan.

Beliau menambah, sementara menunggu kes tersebut selesai, Ketua Jabatan Forensik HKL, Dr. Mohd. Shah Mahmood bersetuju mayat Moorthy disimpan di bilik mayat hospital tersebut.

Dalam pada itu, menurut salah seorang saudara terdekat Moorthy yang enggan namanya disiarkan, perkara tersebut telah dimaklumkan kepada Presiden Persatuan Hindu Sanggam, Datuk A. Vaithilingam untuk meminta bantuan beliau.

Difahamkan, Vaithilingam akan membawa perkara itu ke pengetahuan Presiden MIC, Datuk Seri S.Samy Vellu yang kini berada di Bosnia atas urusan rasmi kerajaan.

Sementara itu, seorang jurucakap Jawi berkata, pihaknya akan menyerahkan kes tersebut untuk keputusan mahkamah.

Katanya, Jawi akan mengemukakan dokumen yang ada sebagai bukti bahawa Moorthy telah memeluk agama Islam.

Dalam pada itu, pegawai atasan Moorthy, Kolonel Effendi Ab. Karim ketika ditemui di bilik mayat HKL berkata, pihaknya juga akan akur dengan keputusan mahkamah.

Menurutnya, kehadiran beliau di HKL bagi membantu urusan pengkebumian mayat Moorthy.

``Kita serahkan kepada mahkamah perkara ini,'' katanya.

Petikan: Utusan Malaysia 20 Disember 2005


Mahkamah perintah Moorthy dikebumi cara Islam

KUALA LUMPUR 22 Dis. - Mahkamah Tinggi Syariah di sini memerintahkan pihak yang menjaga jenazah pendaki Gunung Everest, Koperal M. Moorthy, 36, supaya menyerahkannya kepada Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) untuk dikebumikan segera mengikut agama Islam dan hukum syarak.

Hakim syarie Mahyuddin Ibrahim memerintahkan demikian petang ini ketika membenarkan permohonan ex-parte (sebelah pihak) oleh MAIWP selepas memutuskan bahawa Moorthy atau Mohammad bin Abdullah adalah beragama Islam.

Beliau juga memerintahkan supaya mayat Moorthy hendaklah dikebumikan mengikut kehendak agama Islam dan hukum syarak.

``Polis Diraja Malaysia (PDRM) hendaklah memberi kerjasama bagi melaksanakan perintah ini,'' tegas Mahyuddin dalam alasan penghakiman ringkasnya.

Perintah itu dikeluarkan selepas beliau mendengar permohonan ex-parte MAIWP yang difailkan hari ini bagi mendapatkan perintah bahawa Moorthy adalah seorang Islam menurut Seksyen 91 Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1993.

MAIWP diwakili dua peguam syarie yang dilantik daripada Persatuan Peguam Syarie Malaysia, Fakhrul Azman Abu Hasan dan Zainul Rijal Abu Bakar.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Dakwah MAIWP, Mahathir Mohd. Noor dan Penasihat Undang-Undang, Eidey El-Nimeiry Mokhtar hadir mewakili pemohon.

Mahyuddin berkata, perintah itu dibuat setelah beliau meneliti dan membaca afidavit sokongan Setiausaha MAIWP, Che Mat Che Ali yang diikrarkan pada hari ini dan dokumen-dokumen dikemukakan serta mendengar hujah peguam-peguam syarie.

Dalam kes ini, beliau berpuas hati dan berpendapat bahawa tidak menjadi pertikaian yang mahkamah itu mempunyai bidang kuasa untuk mendengar dan memutuskan permohonan-permohonan dan hujah oleh kedua-dua peguam syarie pemohon.

Fakhrul Azman dalam hujahnya sebelum itu menyatakan bahawa mengikut afidavit Che Mat, 54, Moorthy telah mengucap dua kalimah syahadah mengikut hukum syarak berdasarkan keterangan masuk Agama Islam dari pihak Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bertarikh 8 Mac lalu.

Mengikut afidavit itu, katanya, MAIWP telah menerima permohonan daripada ATM bagi tujuan mendaftarkan kemasukan agama Islam Moorthy pada 14 Mei lalu selaras dengan Seksyen 91 akta tersebut.

Bagi tujuan pendaftaran itu juga, satu cap jari kanan Moorthy telah diambil.

Katanya, Moorthy juga masih dianggap sebagai seorang Islam kerana tidak ada mana-mana mahkamah syariah yang menyatakan bahawa dia telah keluar daripada agama tersebut.

Zainul pula berhujah bahawa selagi tiada bukti menunjukkan Moorthy cuba keluar daripada daftar orang Islam, mahkamah syariah mempunyai bidang kuasa untuk mendengar permohonan itu dan bukannya mahkamah sivil.

Moorthy meninggal dunia akibat penyakit cervical sick selepas terjatuh ketika latihan somersault di Kem Sungai Udang, Melaka pada 14 Ogos 1998.

Ekoran kejadian di kem tersebut, dia lumpuh dan terpaksa menggunakan kerusi roda.

Moorthy kemudian terjatuh dari kerusi roda sebulan lalu, menyebabkan dia koma sehinggalah menemui ajal.

Sementara itu, Hakim Mahkamah Tinggi Sivil, Datuk Abdul Malik Ishak menetapkan saman pemula balu Moorthy, S. Kaliammal, 30, disebut di Mahkamah Tinggi (Bahagian Rayuan dan Kuasa-Kuasa Khas) pada 29 Disember ini.

Saman itu akan disebut di hadapan Hakim Datuk Md. Raus Sharif yang kini sedang bercuti.

Kaliammal antara lain memohon perintah injunksi melarang (JAWI) daripada mengambil atau menuntut mayat Moorthy dengan apa jua cara sekalipun daripada Pengarah Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Sementara itu, suasana di hadapan bilik mayat HKL sesak dengan ahli keluarga Moorthy dan wartawan yang ingin mengetahui perkembangan terkini kes tersebut.

Pada kira-kira pukul 11 pagi, sekumpulan anggota polis kelihatan berada di hadapan bilik mayat berkenaan untuk mengelak sebarang kejadian tidak diingini berlaku.

Beberapa pegawai JAWI turut kelihatan berlegar di hadapan bilik mayat tersebut.

Bagaimanapun mereka enggan memberi sebarang komen.

Petikan: Utusan Malaysia 23 Disember 2005




Tuesday, December 20, 2005

Banjir

TERBURUK SEJAK 30 TAHUN: Kawasan sekitar Jitra, Kedah ditenggelami banjir menyebabkan sembilan jalan di negeri itu ditutup kepada semua jenis kenderaan.

Thursday, December 15, 2005

Di Sebalik Sebatang Pen...

WEN JIABAO (kiri) meminjamkan pen beliau kepada Junichiro Koizumi pada majlis menandatangani Deklarasi Kuala Lumpur sempena Sidang Kemuncak Asia Timur di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada 14 Disember 2005.

Wednesday, December 14, 2005

Bahagia....Orang Kurus @ Gemuk?

Orang cerewet makan tak bahagia

LONDON: Memiliki tubuh kurus sekian lama dipercayai sebagai kunci utama ke arah tarikan seksual, kejayaan dan kegembiraan tetapi kajian baru menunjukkan golongan itu sebenarnya tidak bahagia dan lebih berkemungkinan untuk membunuh diri berbanding mereka yang mempunyai berat badan berlebihan.

Lebih 16 tahun kajian yang meneliti kehidupan lebih sejuta orang dilakukan dan saintis mendapati ketika indeks jisim tubuh (BMI) seseorang meningkat, risiko menghidap kemurungan tubuh turut menurun.

Hasil kajian jelas memberi tamparan hebat kepada perniagaan menguruskan badan dan memberi kredit kepada teori yang mengatakan orang gemuk lebih seronok dengan kehidupan mereka.

Penyelidikan yang dilakukan oleh Universiti Bristol menunjukkan 3,000 individu yang membunuh diri mempunyai tahap BMI yang jauh lebih rendah berbanding mereka yang tidak bertindak demikian.

Profesor David Gunnell dari universiti berkenaan berkata: “Kami agak terperanjat kerana terdapat pandangan menyatakan orang gemuk lebih mudah tertekan”. – Agensi

Teh ada Umpph!

Teh kurangkan risiko barah

WASHINGTON: Wanita yang meminum teh dua cawan atau lebih teh sehari dalam tempoh tertentu mungkin dapat mengurangkan risiko menghidap barah rahim berbanding wanita yang tidak pernah atau jarang meminum teh, menurut kajian.

“Kami mendapati 46 peratus barah rahim dapat dikurangkan bagi wanita yang meminum dua cawan atau lebih teh dalam sehari berbanding mereka yang tidak meminum teh,” kata Pakar Institut Perubatan Alam Sekitar Stockholm, Susanna Larsson dan Alicja Wolk.

Kajian mereka disiarkan dalam majalah Arkib Perubatan Dalaman edisi Disember.

Penyelidikan itu mendapati setiap cawan tambahan teh yang diminum setiap hari bersamaan dengan pengurangan 18 peratus risiko barah rahim. – AFP

Bangalore?

Bangalore tukar nama

KARNATAKA: Sebuah lagi bandar raya di India, Bangalore yang dikenali sebagai Bandar Raya Taman dan kini menjadi pusat teknologi global, bakal menukar nama kepada Bengalooru.

Nama asal Bangalore dikatakan berasal daripada perkataan ‘benda kalooru’ atau kacang rebus, kerana seorang pemerintah abad ke-14 yang keletihan ketika berburu di hutan diberi makan kacang rebus oleh penduduk kampung yang menjadi tapak bandar raya itu sekarang.

Bangalore menempatkan lebih 1,500 syarikat teknologi dan perkhidmatan pejabat yang membentuk satu pertiga daripada industri perkhidmatan pejabat dan perisian India bernilai AS$17 bilion (RM64 bilion). – Agensi

Tuesday, December 13, 2005

Jyllands-Posten Melampau!

Prophet Muhammed. By: Rasmus Sand Høyer


Denmark siar kartun hina Nabi Muhammad

KAHERAH 12 Dis. - Universiti Al-Azhar akan mengemukakan bantahan kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan pertubuhan hak asasi manusia antarabangsa berhubung penyiaran kartun yang menghina Nabi Muhammad S.A.W. dalam akhbar utama Denmark baru-baru ini.

Menurut Al-Azhar, akhbar Jyllands-Posten telah melampaui batas dengan menyiarkan gambar-gambar kartun itu.

``Lukisan itu telah melampaui segala batas kritikan objektif dan sebaliknya menunjukkan penghinaan serta kebencian terhadap kepercayaan agama lebih satu bilion umat Islam di seluruh dunia termasuk beribu-ribu penduduk Islam di Denmark,'' kata menurut Akademi Penyelidikan Islam Al-Azhar dalam satu kenyataan kelmarin.

``Al-Azhar akan membantah penyiaran kartun-kartun anti-Nabi Muhammad itu kepada jawatankuasa berkenaan di PBB dan pertubuhan hak asasi manusia di seluruh dunia,'' menurut kenyataan yang ditandatangani oleh Syeikh Al-Azhar, Mohammad Sayed Tantawi.

Sebanyak 12 lukisan yang menggambarkan Nabi Muhammad dalam situasi berlainan disiarkan dalam Jyllands-Posten pada 30 September lalu.

Dalam salah satu lukisan itu, imej yang dikatakan Nabi Muhammad kelihatan memakai serban berbentuk bom yang dililit di kepala.

Imej yang diharamkan dalam Islam itu telah menimbulkan bantahan keras daripada masyarakat Islam di Denmark, lebih-lebih lagi dengan keengganan akhbar berkenaan untuk memohon maaf atas alasan mempertahankan hak bersuara. - Agensi

Petikan: Utusan Malaysia 13 Disember 2005

Monday, December 12, 2005

Tun Dr. Mahathir Melatah....

Tun Dr Mahathir bidas anggota Umno

KUALA LUMPUR, 11 Dis - Tun Dr Mahathir Mohamad yang menjadi Perdana Menteri selama 22 tahun sedih kerana Umno tidak menyokongnya selepas beliau mendedahkan penyalahgunaan kuasa mengenai isu permit import (AP).

Bekas Presiden Umno itu juga mengkritik anggota Umno yang menurutnya ‘tidak berani tampil’ walaupun tahu ada perkara yang tidak betul sedang berlaku.

Beliau turut membidas Wanita Umno yang ‘tidak bersuara walau sepatah’ mengenai perkara itu hanya kerana ia berkaitan dengan ketua mereka, Datuk Seri Rafidah Aziz yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri.

Katanya, apabila mendapat tahu ada sesuatu yang tidak kena, beliau pada mulanya enggan bercakap mengenainya tetapi mengubah fikiran dengan harapan untuk menarik perhatian pihak lain berhubung penyalahgunaan kuasa yang menggugat industri automotif negara.

Beliau berkata demikian ketika sesi soal jawab selepas memberi ceramah bertajuk Isu Semasa dalam Politik Malaysia, anjuran Institut Kajian Politik dan Ekonomi (IKAPE), di sini semalam.

Ceramah dan sesi soal jawab lebih dua jam yang dihadiri kira-kira 100 orang, kebanyakannya golongan muda terpelajar Malaysia diadakan di galeri lukisan NN Gallery, di Taman Ampang Hilir, dekat sini.

Dr Mahathir turut mendedahkan ada seorang konglomerat Bumiputera terpaksa membayar berjuta-juta ringgit untuk mendapatkan AP bagi mengimport model kereta tertentu yang diberikan taraf pengedar tunggal kepada kumpulan lain.

Beliau juga kesal kerana Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) tidak berani membangkitkan perkara itu walaupun ada memberi penjelasan panjang lebar berhubung penyalahgunaan kuasa itu kepada mereka yang datang menemuinya.

“Lain kali saya tidak mahu membuang masa memberi penjelasan kepada orang yang datang berjumpa saya hanya untuk menambah pengetahuan mengenai sesuatu isu,” katanya.

Beliau berkata, ahli Parlimen BN tidak berani mengkritik kerajaan dalam Parlimen mungkin kerana BN berjaya mendapat lebih 90 peratus kerusi pada pilihan raya umum lalu.

“Saya percaya negara memerlukan kerajaan yang kuat tetapi tidak terlalu kuat. Kita memerlukan pembangkang untuk mengingatkan kita mengenai kesalahan yang dilakukan. Jika tidak, kita merasakan semua yang dilakukan betul,” katanya.

Justeru, katanya, sesuatu yang reput tidak boleh dibiarkan terus mereput dan jika ingin memulihkan keadaan, “anda perlu membuang bahagian yang reput itu.”

Dr Mahathir kemudian membandingkan situasi ketika beliau menjadi Ahli Parlimen biasa pada 1960-an apabila “menghadapi risiko” untuk mengkritik Perdana Menteri ketika itu, Tunku Abdul Rahman kerana dasarnya terhadap orang Melayu.

Mengenai kerugian RM158 juta yang dialami Proton Holdings Bhd (Proton), penasihat syarikat kereta nasional itu berkata, ia mengejutkan dan menyifatkannya sebagai ‘misteri’.

Dr Mahathir berkata sukar baginya untuk percaya bahawa kerugian itu disebabkan oleh pembelian syarikat pengeluar motosikal, MV Agusta dari Itali.

“Jika Agusta mempunyai banyak hutang, harga pembeliannya pasti rendah. Kenapa Proton harus membelinya pada harga tinggi walaupun terpaksa menanggung hutang syarikat yang dibelinya...pasti ada beberapa misteri,” katanya.

Dr Mahathir juga menjangkakan lebih banyak berita buruk mengenai Proton akan diumumkan selepas ini bagi menunjukkan pengurusan sebelum ini melakukan kesalahan.

Menyentuh mengenai program penswastaan, Dr Mahathir mengakui kegagalannya berikutan syarikat yang diswastakan itu tidak cekap.

Justeru, beliau berkata, dasar itu disemak semula yang membawa kepada kewujudan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang kini memiliki sebahagian besar saham kerajaan dalam syarikat besar.

“Ia seperti menasionalkan semula syarikat ini. Hanya masa yang menentukan sama ada ia bagus atau sebaliknya. Bagaimanapun kita perlu juga memikirkan seandainya penswastaan benar-benar gagal... isu ini layak dibahaskan,” katanya.

Beliau turut mengakui gagal mengubah cara pemikiran orang Melayu sepanjang menjadi Perdana Menteri.

“Pendidikan saja tidak cukup. Jika anda tidak mempunyai keperibadian yang kuat, tidak berdisiplin, pendidikan itu menjadi tidak berguna. Justeru, sistem pendidikan negara perlu memberi penekanan terhadap semua perkara ini,” katanya.

Petikan: Berita Harian 11 Disember 2005

Friday, December 09, 2005

Adi Putra Abdul Ghani

19 November, 2005 23:39 PM

Kanak-Kanak Enam Tahun Genius Matematik

BAGAN SERAI, 19 Nov (Bernama) -- Adi Putra Abdul Ghani baru berusia enam tahun, tetapi dia mempunyai kepintaran luar biasa dalam matematik hingga berupaya menyelesaikan pelbagai permasalahan matematik malah adakalanya mencipta formula pintasnya sendiri.

Adi Putra yang belajar sendiri di rumah bersama ibu bapanya merupakan pakar dalam menyelesaikan soalan Algebra, Trigonometri dan Indeks dan kepintarannya itu menyebabkan beberapa guru dikatakan gemar merujuk kepadanya tentang formula tertentu menyelesaikan soalan matematik.

Dia merupakan anak ketiga daripada lima beradik kepada Abdul Ghani Abdul Wahid, seorang pegawai Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Seri Hana Ilias, guru Bahasa Inggeris.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Tenaga Manusia dan Multimedia Perak, Datuk Dr Zambry Abdul Kadir yang mendengar cerita mengenai Adi Putra, berkunjung ke rumah keluarga itu di Taman Permai Bagan Serai di sini hari Sabtu.

Beliau sempat menguji Adi Putra dengan beberapa soalan susah Matematik dan Algebra tetapi kesemuanya diselesaikan dengan begitu mudah.

Dr Zambry berjanji akan membantu mengembangkan kepintaran yang dimiliki kanak-kanak itu dan akan meminta Kementerian Pelajaran turut memberikan perhatian.

"Saya akan meminta Institut Mensa membuat ujian terhadap tahap IQ kanak-kanak ini bagi mengkaji tahap kecerdasan sebenarnya," katanya.

Bapa kanak-kanak genius ini, Abdul Ghani berkata kepintaran luar biasa Adi Putra dikesan sejak dia berusia lima tahun.

Ketika itu beliau dan isterinya mengajar matematik kepada kanak-kanak lain dan menyedari Adi Putra lebih faham dengan apa yang diajar dan mempratikkannya.

"Adi Putra budak biasa dan dia juga bermain-main dengan rakan-rakannya tetapi akan mengulangkaji pelajaran (bahan-bahan yang diajar ibunya di rumah) dari pukul 12 tengah malam hingga 4 pagi," katanya.

Abdul Ghani berkata beliau sudah menyediakan kemudahan internet untuk anaknya berkomunikasi dengan pelajar, termasuk penuntut universiti tempatan mengenai permasalahan Matematik.

Anaknya bercita-cita menjadi seorang profesor Matematik, katanya.

Ketika ditanya mengenai kebolehan adik beradik Adi Putra yang lain, Abdul Ghani berkata seorang adik Adi Putra boleh membaca sejak umur tiga tahun dan rahsia kecerdasan mereka ialah pendedahan mengenai nombor sejak mereka kecil lagi oleh mereka suami isteri.

-- BERNAMA

Friday, December 02, 2005

JJJ

Plat siri JJJ raih RM3.2 juta

Oleh Mohd. Fairuz Yusof

JOHOR BAHRU 1 Dis. - Plat pendaftaran kenderaan siri JJJ yang dikeluarkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Johor mencatat sejarah apabila mencapai kutipan hasil sebanyak RM3.2 juta.

Ketua Pengarah JPJ, Datuk Emran Kadir berkata, kutipan hasil tersebut merupakan nilai tertinggi diperoleh bagi plat abjad pendaftaran kenderaan yang ditender berbanding di negeri-negeri lain.

Menurut beliau, siri JJJ mendapat sambutan hebat sehinggakan JPJ terpaksa menangguhkan pendaftaran kenderaan bagi abjad itu kerana proses tender yang mengambil masa panjang untuk diselesaikan.

Beliau berkata, berikutan sambutan yang menggalakkan itu, JPJ negeri telah mengeluarkan abjad JJK bagi memastikan urusan pendaftaran kenderaan berjalan lancar.

``Bagi kategori pertama, 10 nombor dan siri JJJ yang ditender meraih kutipan sebanyak RM551,000 dan kebanyakan mereka yang memilih plat tersebut bukan sahaja dari Johor tetapi juga dari negeri-negeri lain.

``Saya pernah menjadi Pengarah JPJ Selangor sejak tahun 1991 dan ini merupakan kutipan paling tinggi dalam sejarah pendaftaran kenderaan bagi abjad itu,'' katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat pengarah-pengarah JPJ negeri di sini hari ini.

Plat JJJ yang dibuka pendaftarannya awal Oktober lalu mendapat sambutan hangat orang ramai kerana ia mempunyai maksud tersendiri.

Difahamkan masyarakat Tionghoa memilih abjad JJJ kerana ia membawa maksud duit.

Emran berkata, beliau sendiri sukar mempercayai tentang sambutan abjad tersebut kerana jumlah kutipan yang dibuat amat tinggi.

``Mungkin orang ramai mempunyai pendapat tersendiri untuk mendapatkan plat itu,'' katanya.

Mengenai jumlah kutipan bagi plat JJJ1, beliau enggan mendedahkannya kerana ia boleh menjejaskan keselamatan pemilik plat itu.

Petikan: Utusan Malaysia 2 Disember 2005