Friday, September 23, 2005

Rita Mai, Selepas Katrina Pi.............


1 juta tinggalkan Texas

GALVESTON, Texas 22 Sept. - Taufan Rita yang bergerak ke kawasan perairan Texas melintasi Teluk Mexico - malapetaka kedua dalam sebulan di wilayah Amerika Syarikat - memaksa lebih sejuta penduduk di pesisir pantai Texas melarikan diri ke utara negeri tersebut.

Pergerakan taufan Rita ke Texas mencapai tahap rekod ribut paling kuat, diramalkan mampu menyebabkan kerosakan paling dahsyat dalam tempoh 100 tahun.

Ia mencapai Kategori Lima dengan kelajuan pergerakan angin 285 kilometer sejam sejak melintasi Teluk Mexico dan dijangka tiba di kawasan pantai menjelang petang esok ataupun awal Sabtu ini.

Pada pukul 8 pagi ini (pukul 8 malam Khamis waktu Malaysia) pusat taufan Rita berada 790 kilometer di tenggara Galveston dan 1,040 kilometer dari tenggara Corpus Christi.

Selepas mengalami pengalaman pahit daripada taufan Katrina yang melanda negeri Louisiana dan Mississippi akhir bulan lalu, pihak berkuasa bandar-bandar di sepanjang pesisir Texas mengarahkan semua penduduk segera berpindah.

Turut dipindahkan ialah penduduk di bandar Pulau Galveston, Corpus Christi dan Houston yang terletak di kawasan rendah.

Galveston pernah dilanda taufan kuat pada 8 September 1900. Ketika itu kejadian berkenaan mengakibatkan 6,000 orang terkorban dan sebahagian besar bandar itu musnah.

Hanya tiga taufan Kategori Lima pernah melanda AS, antaranya ialah taufan Andrew yang melanda Florida Selatan pada 1992.

Gabenor Texas, Rick Perry yang mengarahkan penduduk di kawasan pantai sepanjang 483 kilometer berpindah, berkata, ramalan komputer digunakan bagi menentukan keadaan kawasan yang ditenggelami air semasa taufan.

Menurutnya, 5,000 anggota Pengawal Kebangsaan Texas diarah bersedia dan 1,000 kakitangan Jabatan Keselamatan Awam membantu sepanjang laluan perpindahan.

Pusat penempatan sementara untuk 250,000 penduduk yang dipindahkan dibuka di Huntsville, College Station, San Antonio dan Dallas.

Datuk Bandar Corpus Christi, Henry Garret pula berkata, urusan memindah penduduk berjalan lancar selepas mendapat pengajaran daripada taufan Katrina.

``Satu perkara yang kami sedar perlu dilakukan di Corpus Christi adalah pelan pemindahan. Kami rasakan perpindahan perlu dilakukan beberapa hari lebih awal daripada apa yang dirancangkan,'' katanya. - Agensi

Petikan: Utusan Malaysia 23 September 2005

Tuesday, September 20, 2005

Seloka Luahan Isi Hati Halil

LANGKAWI: Ketua Pengarah Kastam Diraja Malaysia (KDRM), Tan Sri Abdul Halil Abdul Mutalib, yang diheret dalam kontroversi RM5 juta untuk meraikan persaraan beliau, semalam meluahkan isi hatinya dengan berseloka pada majlis perasmian mesyuarat Pengarah Kastam Malaysia ke-51 di sini.




Antara lain, seloka itu berbunyi:

Siapa sangka,
Ketika bahtera hampir tiba ke pelabuhan,
Tiba-tiba ribut melanda tanpa belas kasihan,
Seolah-oleh menenggelamkan keringat mereka tanpa dikesan,
Tetapi percayalah,
Selagi hayat dikandung badan,
Maruah mereka akan tetap saya pertahan,
Walaupun tidak ramai yang berani untuk sama-sama tampil ke hadapan,
Mungkin kerana mereka mengira untung sendiri pada masa depan,
Mungkin bila jatuhnya Halil bolehlah mereka menapak pantas ke hadapan.

A ship in a harbour is safe, but that is not what ships were built for.
(Kapal di pelabuhan selamat, tetapi itu bukan tujuan kapal dibina)

Saya menerima amanah kerajaan untuk mengemudi bahtera Kastam tanpa saya minta,

Saya menjunjung perintah negara tanpa sebarang kata,
Oleh itu, sekali suluh saya suluhkan,
Walaupun sengsara saya pejamkan,
Sekali berkayuh saya kayuhkan,
Walaupun bara saya genggamkan,
Asalkan harapan negara dapat ditunaikan.

Petikan Berita Harian 20 September 2005

Thursday, September 15, 2005

Gempa Bumi Gegarkan Mekah

Gempa bumi 3.7 skala Richter gegar Makkah

MAKKAH: Gempa bumi menggegarkan kawasan Utaybah, kira-kira 25 kilometer dari Masjidil Haram pada jam 2 pagi waktu tempatan Selasa lalu,mengejutkan penduduk kota suci Islam itu.

Tiada kematian atau kerosakan bangunan akibat kejadian itu walaupun penduduk melaporkan anjing menyalak sejurus sebelum gegaran dan bunyibising atau apa yang didengari seperti bunyi letupan.

Gegaran susulan yang dilaporkan berlaku dalam tempoh enam jam selepas gempa bumi awal mencetuskan ketegangan di kota suci ini. Anggapan mengenai gegaran disebabkan kerja pembinaan yang berterusan di bandar raya itu,jelas tidak berasas.

Seorang penduduk Utaybah, Siraj Muhammad Omar, 23, berkata beliau berasa empat gegaran dengan yang pertama dan keempat paling kuat.

Beliau bersama tujuh anggota keluarganya yang ketakutan selepas gegaran pertama bergegas naik ke atas bumbung bangunan.

Muhammad Baid, 22, yang berketurunan Maghribi, berkata dia meninggalkan rumah sebaik berasa gegaran pertama dan kembali semula selepas keadaankembali normal.

Gabenor Makkah, Putera Abdul Majeed, segera membentuk jawatankuasa meneliti punca dan maklumat terperinci mengenai kejadian itu.

Sementara itu, penasihat teknikal geofizikal bagi Persatuan Kaji Bumi Arab Saudi (SGS), Dr Ian Stewart, berkata tiada sebab untuk penduduk berasatakut dengan skala gegaran yang melanda Makkah itu.

Gempa bumi itu yang diawasi di Madinah, kira-kira 300 kilometer dari Makkah, cuma berukuran 3.7 pada skala Richter. “Bangunan yang dibina dengan baik tidak terjejas dengan gegaran itu,” katanya.

Kuasa yang dibebaskan oleh gempa bumi berukuran tiga hingga 3.5 pada skala Richter secara kasar bersamaan dengan letupan 30 hingga 70 tan TNT.

Ia selalunya dirasakan tetapi tidak mendatangkan kerosakan besar. Dianggarkan, gegaran seumpama itu berlaku 50,000 kali atau lebih di seluruh dunia setiap tahun. - Agensi

Petikan: Berita Harian 19 September 2005

Tuesday, September 13, 2005

Katrina Oh Katrina...

Taufan Katrina sebagai tentera yang dihantar Tuhan

Laman web Islam menggelarkan Taufan Katrina sebagai tentera yang dihantar Tuhan

DUBAI: Beberapa pengendali laman web sudah mula menggelar taufan Katrina yang membawa kemusnahan dahsyat di selatan Amerika Syarikat minggu lalu sebagai “tentera Allah.”

“Katrina, tentera dihantar Allah untuk berjuang di sisi kita...Katrina bersama kita memerangi Amerika,” kata satu laman web kendalian orang Islam.

Satu lagi laman web berkata: “Allahu akbar. Tentera Allah Taufan Katrina memusnahkan Amerika. Jangan anggap Allah tidak marah terhadap kezaliman.”

Laman web banyak memuatkan gambar kemusnahan yang dibawa Katrina di Florida, Louisiana, Mississippi dan Alabama minggu lalu, termasuk gambar bangunan roboh, kereta terbalik, jalan ditenggelami air dan juga bendera AS koyak rabak dipukul taufan.

Gambar berkenaan seharusnya menjadi pengajaran,” kata seorang pengendali laman web.

“Walaupun, kuasa besar dunia dan memiliki teknologi tinggi, Amerika tidak berupaya menghadapi kuasa Allah,” tambahnya.

Seorang lagi pengendali laman web yang menghiasi laman webnya dengan gambar pemimpin Al-Qaeda Osama bin Laden dan Abu Musab al-Zarqawi, berkata: ““Amerika senyap sunyi mengenai jumlah kematiannya.”

Akhbar di dunia Islam turut memuatkan komen mengenai bencana itu.

Akhbar Kuwait berbahasa Arab memetik pengarah Pusat penyelidikan Wakaf, Mohammed Yussef al-Mlaifi sebagai berkata:

“Apabila televisyen satelit memaparkan gambar kemusnahan yang dibawa oleh Katrina ia mengingatkan saya sabda Rasulullah “Angin ribut menghancurkan satu kumpulan manusia dan memberi rahmat kepada yang lain.’

“Saya tidak fikir - dan hanya Allah yang mengetahuinya - ribut ini yang memusnahkan keseluruhan bandaraya di AS - adalah angin ribut rahmat.

“Ia adalah ribut bencana yang dihantar Allah kepada empayar Amerika ini, kata al-Mlaifi, yang dipetik akhbar harian Al-Siyassa.

“Tetapi agak aneh selepas banyak dicapai Amerika dari segi usaha kemanusian, angin ribut ini menghancurkan bandaraya Amerika? Adakah ribut ini sudah bersama-sama pertubuhan pengganas Al-Qaeda?" – AFP

Ramai pengendali laman web menyamakan kemusnahan yang dibawa Katrina dengan kehancuran yang dibawa tentera AS di Afghanistan dan Iraq.

“Amerika memerangi Islam atas alasan perang menentang keganasan, membunuh ramai yang tidak bersalah di Afghanistan dan Iraq dan menyokong entiti Zionis (Israel),” kata satu laman web.

Dalam pada itu ada pengendali lama web kendalian orang Islam menyatakan kesedihannya melihat ramai menjadi mangsa Katrina.

“Tidak syak lagi, pemimpin AS banyak menindas tetapi rakyat AS tidak bersalah.” - AFP

5 September, 2005

Monday, September 12, 2005

Cium Tangan

Cium tangan bertentangan hukum Islam - Raja Abdullah

RIYADH 11 Sept. - Pemerintah Arab Saudi yang baru, Raja Abdullah mengeluarkan arahan supaya rakyatnya tidak mencium tangan baginda apabila bersalam.

Baginda menjelaskan, perbuatan mencium tangan merupakan satu amalan yang bertentangan dengan hukum Islam dan merendahkan martabat seseorang.

``Mencium tangan seseorang adalah satu perbuatan asing dalam nilai-nilai moral kita dan ia tidak boleh diterima.

``Dengan mencium, ia juga bererti anda tunduk kepada individu berkenaan yakni telah melanggar peraturan yang ditetapkan oleh Allah. Manusia tidak tunduk kepada sesiapa melainkan Tuhan,'' titahnya.

Baginda bertitah demikian kepada sekumpulan delegasi dari Al-Baha yang mengunjunginya di Istana Diraja bagi mengucapkan tahniah di atas pelantikannya sebagai Raja Arab Saudi yang baru.

Abdullah menjadi raja negara itu pada 1 Ogos lalu ekoran kemangkatan Raja Fahd.

Sehubungan itu, Abdullah yang terkenal dengan sifat beliau menekankan kesopanan keluarga menegaskan, hanya bapa atau ibu sahaja yang layak menerima ciuman tersebut.

``Saya mengumumkan penolakan menyeluruh dalam hal ini dan saya meminta setiap orang supaya elak daripada mencium tangan sesiapa pun melainkan ibu bapa mereka,'' titah baginda. - Reuters

Petikan: Utusan Malaysia 12 September 2005

Friday, September 02, 2005

Siapa Mohd. Sohkeri Hadapi Aziz?

Kebolehan membaca diperingkat awal adalah satu kebolehan yang istimewa dan boleh dibentuk. Tetapi bijak membaca saja belum cukup untuk menjamin masa depan.

Lebih kurang 25 tahun yang lalu, iaitu 1974, masyarakat melayu telah gempar dengan lahirnya seorang anak melayu yang telah mampu membaca akhbar pada usia tiga tahun. Hampir kesemua media membuat liputan. Hari ini, perkara sebegini bukanlah sesuatu yang mengkagumkan. Dengan adanya pelbagai kemudahan dan teknologi multimedia, ramai anak-anak yang boleh membaca pada usia sebegini.

Tetapi pada 25 tahun yang lalu, diawal 70an pastilah kebolehan seperti ini dikira sebagai menakjubkan. Hinggakan Prof. Diraja Ungku Aziz membawa anak ini balik ke kampungnya untuk diberikan ujian IQ. Pengarah Jins Shamsudin pula menjadikannya pelakun kecil. Begitulah hebatnya anak yang bernama Mohd. Sohkeri Hadapi Aziz ini. Melihat kepada kebolehan dan kehebatan anak maka tidak hairanlah kalau hari ini beliau menjadi doktor atau pensyarah muda. Tanggal 22 November 1997 masyarakat melayu sekali lagi digemparkan. Kali ini oleh peristiwa seorang anak muda yang bekerja sebagai pembuat roti canai telah didakwa kerana memiliki enam paket kecil ganja.

Beliau telah didakwa dibawah Seksyen Akta Dadah Berbahaya 1952 (pindaan 1983). Inilah orangnya yang menjadi tajuk perbualan 25 tahun yang silam. Inilah dia Mohd. Sohkeri yang pernah dibanggakan dulunya. Beliau jauh sekali dari dikatakaan berjaya. Malah apa yang beliau lakukan hari ini langsung tidak menggambarkan kebolehan sewaktu kecil beliau. Rendahkah IQ lelaki ini? Tidak sama sekali. Tidak berkebolehankah lelaki ini? Jauh sama sekali. Yang silapnya kerana ia tidak pernah terdedah kepada ilmu kecemerlangan diri dan pembentukan sikap.

Thursday, September 01, 2005

Najmil Faiz?

Kiriman BADRUSHAH

SALAM sejahtera

Di kala ini, ramai antara kita yang lebih mengenali peserta-peserta pertandingan program realiti. Nyanyian dan persembahan mereka sudah lali dengan kita. Kita boleh mengetahui nama kampung atau warna kegemaran peserta tersebut. Namun apabila kita menyebut nama Najmil Faiz, tak ramai yang mengenali beliau.



Kita lebih mengambil berat dan sanggup mengalirkan air mata mendengar penyanyi dikritik atau diundi keluar daripada mengingati pengorbanan seorang pemuda Melayu berhempas pulas bekerja keras mencuci bangunan dan mengangkat barang demi mencari wang untuk membiayai pelajaran dan survival beliau di negeri orang.

Inilah cerita mengenai seorang pemuda Melayu yang pada 14 Mac 2005 yang lalu, telah membentangkan hasil kajian beliau kepada anggota Parlimen United Kingdom di London dan memenangi anugerah ‘The Best Research of Good Prospect (2005)’. Para pelajar terutamanya diharap menjadikan Najmil sebagai contoh dan idola mereka...

Kejayaan yang dikecapi Najmil Faiz bukanlah dengan jalan yang mudah. Beliau telah mengorbankan usia muda dan keseronokan demi mencapai kejayaan. Pada pendapat beliau, sebagai manusia dan orang Melayu, beliau mesti membuktikan keupayaan beliau biarpun beliau terpaksa merangkak sekalipun.

Agenda untuk bangsanya cukup besar. Pendidikan menjadi satu-satunya aset tidak ternilai untuk kejayaan sesebuah bangsa. Beliau tidak boleh terima orang memandang rendah bangsa Melayu dan menganggap Melayu kurang asam, malas berfikir dan tiada daya saing.

Najmil Faiz Mohammed Aris, 26 tahun, pemuda berasal dari Ipoh, Perak ini mencapai kejayaan setelah 'tersedar' daripada keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dengan pangkat tiga. Selepas itu, beliau pernah bekerja di stesen minyak dan merasakan dirinya selalu dipandang rendah. Beliau pernah berasa malu dan tertekan kerana kegagalan, namun beliau berazam untuk melanjutkan pelajaran ke luar negara seper ti abangnya. Disitulah permulaan dirinya yang baru.

Kemudian beliau bekerja dengan sebuah firma di Kelantan untuk menyambung pelajaran ke peringkat diploma di Kolej Universiti Teknologi Tun Hussein Onn (KUiTTHO), di Batu Pahat dan pada tahun 2000 beliau melanjutkan pengajian ke peringkat sarjana muda kejuruteraan dan seterusnya ke peringkat Ijazah Kedoktoran (PhD) di Universiti Metropolitan di Leeds.

Di sana, beliau terpaksa bertungkus-lumus bekerja sambil belajar sehingga tidur hanya dua tiga jam sehari. Pada waktu rehat tengah hari, sementara menunggu kuliah petang, dia bekerja. Semua jenis kerja keras dilakukan beliau termasuk mencuci bangunan dan mengangkut barang semata-mata bagi menampung kos pengajian dan sara hidup.

Semasa menceritakan pengalamannya di suatu majlis di Kuala Lumpur, beliau berkata bahawa tiada istilah penat dalam diri beliau dan beliau kerap tidak tidur malam mengulangkaji pelajaran. Beliau menambah lagi bahawa bukan mudah untuk beli au sampai ke tahap ini, sehingga untuk belajar bahasa Inggeris pun beliau terpaksa bertungkus lumus. Di dalam majlis tersebut, terlihat kesyahduan wajah kepuasan beliau dan menampakkan keyakinan untuk mencapai kecemerlangan dalam pengajiannya yang berakhir tahun depan.

Pada 14 Mac 2005 yang lalu, beliau mencipta sejarah pelajar Malaysia yang pertama diberi penghormatan dan pengiiktirafan untuk membentangkan kajian beliau "Micro Machine Process" kepada anggota Parlimen UK di London dan memenangi anugerah "The Best Research of Good Prospect (2005)". Beliau membentangkan kajian mengenai Proses Mikro dan Kejuruteraan Nano selama 15 minit. Najmil tidak menghampakan apabila anggota Parlimen yang hadir bukan sahaja amat berminat dengan ideanya tetapi juga memberikan galakan kepadanya untuk meneruskan kajian beliau yang membabitkan "Nano" dan "Micro Machine Process".

Najmil yang terpilih sebagai antara pelajar Asia paling cemerlang, berjaya membuka mata industri United Kingdom terhadap kebolehan rakyat menerusi inovasi yang dihasilkan. Menurut Najmil, kajiannya berkaitan teknologi mengurangkan geseran yang mampu mengurangkan kos serta meningkatkan keefisienan dalam industri dan sektor pembuatan. Katanya pengurangan geseran akan membantu meminimumkan kehausan terhadap peralatan yang digunakan dalam sektor perkilangan. Kajian beliau amat diminati pengilang kerana ia dapat menjimatkan kos operasi berbilion ringgit dan masa, meningkatkan kadar hayat mesin dan gear yang digunakan serta meningkatkan keefisienan sektor pengilang di seluruh dunia.

Selain itu, teknologi ini mampu dimanfaatkan oleh sektor perubatan terutamanya dalam pembedahan tulang belakang dan tulang pinggul. Ini dengan meminimumkan geseran pada permukaan dan sendi tulang yang dapat memastikan tulang berfungsi dalam keadaan terbaik.

Hasil daripada pembentangan beliau yang memancarkan kecemerl angan akademik dan mutu kajian yang tinggi itu, Menteri Perindustrian Britain, Brian Edden menawarkan Najmil peluang seumur hidup untuk membentangkan hasil kajian Najmil di House of Common.

Menurut Najmil lagi, sepanjang menuntut dan menjalankan penyelidikan itu, beliau mendapat banyak bimbingan dan nasihat daripada tenaga pengajar di universitinya selain sokongan rakan-rakan. Beliau terpilih untuk membuat pembentangan itu hasil daripada perakuan universitinya.

Beliau berhasrat untuk mengembangkan hasil kajian beliau di Malaysia agar Malaysia dapat bersaing dengan negara lain menjelang 2020.

Beliau dijangka pulang ke tanah air pada Mac tahun depan untuk muncul sebagai salah seorang rakyat Malaysia termuda memiliki PhD, sekali gus memulakan kerjaya barunya sebagai pensyarah di Kolej Universiti Teknologi Tun Hussein Onn (KUiTTHO) di Batu Pahat, Johor. Beliau berazam untuk berkongs i pengetahuan dan teknologi yang dikumpulkannya sejak berada di UK dengan rakyat Malaysia termasuk pelajar-pelajar KUiTTHO apabila kembali ke tanah air sebagai seorang pensyarah. Memegang pepatah Melayu, ``Hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri'', Najmil menolak ganjaran tinggi yang ditawarkan oleh industri di UK.

Najmil Faiz Mohamed Aris adalah contoh intelek muda negara yang mampu mengharumkan nama Malaysia di peringkat antarabangsa. Beliau mungkin tidak boleh menyanyi dengan 'pitching' yang elok mahupun menjanjikan persembahan naynyian yang baik, namun beliau patut menjadi pujaan anak-anak dara dan ibu-ibu sebagai calon suami dan menantu, idola kepada para pelajar dan ibubapa yang mengecapi keselesaan hidup. Sedangkan beliau yang susah boleh berjaya, mengapa tidak kita terutamanya yang membaca artikel ini.

Anehnya ketika Najmil berjuang untuk kecemerlangan diri dan bangsanya, ramai orang muda langsung tidak memikirkan soal agenda bangsa. Mereka lebih kelihatan dilanda keasyikan untuk pencarian bakat nyanyian. Mendorong makin ramai remaja Melayu di bangku sekolah lagi sudah berlumba-lumba mahu menjadi penyanyi, bukannya pakar matematik dan sains. Seolah-olah hiburan menjadi agenda lebih penting.

Najmil Faiz adalah seorang idola yang tidak boleh di-AFSINGKIR-kan daripada hidup kita sebagai rakyat Malaysia. – lanh