Friday, November 10, 2006

‘Sang Saka Bangsa’

‘Sang Saka Bangsa’ nama bendera UMNO

Oleh FAIROL REDZA ISMAEL ALABAS

KUALA LUMPUR 9 Nov. - Bendera UMNO yang mencecah usia 60 tahun bakal dikenali dengan nama ‘Sang Saka Bangsa’.

Penolong Setiausaha Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Abdul Rahman Datuk Dahlan berkata, cadangan untuk menamakan bendera UMNO itu akan dikemukakan pada Perhimpunan Agung UMNO minggu depan.

Katanya, ‘Sang’ merupakan satu gelaran yang bersopan manakala ‘Saka’ bermaksud peninggalan sesuatu keturunan Melayu yang berkaitan dengan semangat dan ‘Bangsa’ membawa erti orang Melayu yang menjadi bangsa berdaulat.

‘‘Proses penamaan bendera ini telah mendapat komen yang positif daripada ramai orang, antaranya ialah Presiden Majlis Veteran UMNO, Datuk Tajudin Ali; Veteran UMNO Melaka, Tan Sri Aziz Stapa dan juga Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka, Datuk Dr. Firdaus Abdullah.

‘‘Pemuda UMNO amat berharap agar cadangan tersebut akan dipersetujui dalam perhimpunan itu nanti,’’ katanya.

Beliau ditemui pemberita pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Pemuda UMNO, di sini hari ini.

Pada masa yang sama, Abdul Rahman membacakan kenyataan yang dikeluarkan oleh Aziz Stapa, sebagai memberi respons terhadap cadangan Pemuda mengenai pemberian nama bagi bendera parti tersebut.

‘‘Saya selaku seorang veteran UMNO dengan ini amat bersetuju dengan usul yang akan dibawa oleh Pergerakan Pemuda UMNO untuk menamakan bendera UMNO sebagai ‘Sang Saka Bangsa’.

‘‘Walaupun perkataan ‘Sang Saka’ terdapat pada nama bendera Indonesia iaitu ‘Sang Saka Merah Putih’, saya ingin memaklumkan kepada semua bahawa perkataan itu telah dipinjam daripada bahasa Melayu asli kita,’’ katanya dalam kenyataan itu.

UM 10.11.2006

Wednesday, November 08, 2006

Palace of Justice

Melayukan Palace of Justice – Awang Sariyan

KUALA LUMPUR 7 Nov. – Seorang pejuang bahasa Melayu menyarankan agar nama Palace of Justice bagi kompleks mahkamah di Putrajaya diberi nama Melayu.

‘‘Alangkah janggalnya di tengah-tengah sekian banyak wisma yang diberi nama dalam bahasa Melayu tiba-tiba wujud Palace of Justice, sedangkan makna justice itu tidak sekuat makna ‘keadilan’ dalam bahasa Melayu,’’ kata Presiden Persatuan Linguistik Malaysia, Prof Dr. Awang Sariyan.

Beliau gembira kerana di kalangan pemimpin ada orang yang prihatin seperti Menteri Kesenian, Kebudayaan dan Warisan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim kerana dengan usaha beliau, nama-nama ‘pelik’ dalam Bahasa Inggeris di Putrajaya dapat ditukar ke Bahasa Melayu.

Semasa membentangkan kertas kerjanya pada Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu ke-7 di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di sini hari ini, Awang berkata, Perbadanan Putrajaya perlu memberi citra pusat pentadbiran negara dengan nama yang bercirikan kebangsaan.

Perbadanan Putrajaya baru-baru ini mengumumkan ia akan menukar istilah parcel bagi menunjukkan kelompok bangunan di pusat pentadbiran tersebut tetapi akan terus mengekal kan perkataan presint kerana istilah itu terdapat dalam kamus. – Bernama

UM 8.11.2006

Monday, November 06, 2006

Salam Lebaran

Thursday, November 02, 2006

Ketupat Segera

Ketupat segera dalam plastik boleh akibat kanser

PULAU PINANG 1 Nov. – Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) mendedahkan bahawa ketupat segera yang dimasak di dalam plastik yang popular sebagai hidangan Hari Raya Aidilfitri boleh mengakibatkan kemandulan dan kanser.

CAP mendakwa, beg plastik yang memiliki bahan polietilena berketumpatan tinggi (HDPE) digunakan untuk ketupat segera itu direbus selama sejam merembeskan bahan kimia beracun lain iaitu organik mudah terpeluap (VOC) yang membawa kesan buruk kepada kesihatan dan alam sekitar.

Presiden CAP, S. M. Mohamed Idris berkata, kajian oleh Institut Sains dan Teknologi Bahan Princeton di Amerika Syarikat pada Ogos lalu mendapati VOC daripada paip HDPE merembes ke dalam alam sekitar dan mencemarkan sumber air.

“Bagi ketupat dalam plastik, jumlah yang dirembeskan lebih banyak kerana ia dibiarkan terendam dalam air mendidih selama sejam dan secara langsung VOC telah terserap masuk ke dalam nasi.

“Sehubungan itu, CAP mendesak Kementerian Kesihatan mengharamkan penggunaan HDPE sebagai pembungkus makanan kerana Peraturan Makanan 1985 membenarkan penggunaan bahan itu,” katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita di ibu pejabat CAP di sini hari ini. Hadir sama ialah pegawai penyelidik pertubuhan itu, Hatijah Hashim.

Ketupat segera kini menjadi pilihan sebahagian besar rakyat negara ini kerana ia mudah disediakan dan tidak memerlukan masa yang panjang untuk memasak berbanding ketupat tradisional.

Terdapat beberapa jenama bahan makanan itu di pasaran dan permintaannya bertambah setiap kali menjelang musim perayaan seperti Hari Raya Aidilfitri.

Mohamed Idris menjelaskan, VOC sebenarnya adalah bahan beracun yang dikenal pasti sebagai sebatian yang mengganggu hormon, penyebab kanser dan bahan kimia endoktrin yang berupaya merendahkan jumlah sperma hingga ke tahap kemandulan.

Katanya, kehadiran VOC juga dikaitkan dengan peningkatan risiko asma di kalangan kanak- kanak dan pesakit kanser payu dara.

Jelasnya, pendedahan kepada kepekatan yang rendah sekali pun bahagian persejuta (bps), VOC diketahui meninggalkan kesan buruk kepada kesihatan awam dan alam sekitar.

“Penggunaan bahan-bahan HDPE ketika ini tidak terbatas kepada ketupat segera sahaja tetapi digunakan oleh penjaja untuk mengisi makanan dan minuman panas secara meluas,” ujarnya.

UM 2.11.2006