Tuesday, February 28, 2006

Harga Minyak

Harga minyak sepanjang zaman.. (dalam masa 15 tahun - sejak 1990)

sebelum 90 - RM 0.89
tahun
1990 - RM 1.10 (kenaikan RM 0.21)

01/10/2000 - RM 1.20 (kenaikan RM 0.10)

20/10/2001 - RM 1.30 (kenaikan RM 0.10)

01/05/2002 - RM 1.32 (kenaikan RM 0.02)

31/10/2002 - RM 1.33 (kenaikan RM 0.01)
01/03/2003 - RM 1.35 (kenaikan RM 0.02)
01/05/2004 - RM 1.37 (kenaikan RM 0.02)

01/10/2004 - RM 1.42 (kenaikan RM 0.05)

05/05/2005 - RM 1.52 (kenaikan RM 0.10)

31/07/2005 - RM 1.62 (kenaikan RM 0.10)
28/02/2006 - RM 1.92 (kenaikan RM 0.30)

Nota :
(ayat2 standard)

1. Kenaikan minyak masih rendah berbanding mana2 pun negara ASEAN.

2. Kerajaan akan pastikan kenaikan tidak membebankan

3. Kerajaan tidak mampu lagi menampung subsidi.



Minyak naik 30 sen -- Harga baru petrol, diesel dan LPG berkuat kuasa mulai hari ini

KUALA LUMPUR 27 Feb. - Kerajaan hari ini mengumumkan kenaikan harga runcit minyak petrol dan diesel sebanyak 30 sen seliter serta harga runcit gas petroleum cecair (LPG) sebanyak 30 sen sekilogram (kg), berkuat kuasa esok.

Dengan keputusan tersebut, harga runcit baru petrol premium RON97 di Semenanjung Malaysia naik kepada RM1.92 seliter, petrol RON92 RM1.88 seliter, diesel RM1.581 seliter dan LPG RM1.75 sekilogram.

Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan malam ini memberitahu, kenaikan harga bahan bakar itu dilakukan bagi menangani kesan kenaikan harga minyak mentah di pasaran dunia selain membendung peningkatan subsidi yang ditanggung kerajaan.

``Kerajaan memberi jaminan bahawa harga runcit barangan petroleum tidak akan dinaikkan lagi pada tahun ini,'' kata kenyataan itu.

Kenaikan yang diumumkan itu merupakan yang tertinggi setakat ini.

Kali terakhir kerajaan menaikkan harga runcit barangan petroleum ini ialah pada 31 Julai 2005 dengan peningkatan sebanyak 10 sen seliter bagi petrol, 20 sen seliter untuk diesel dan lima sen sekilogram untuk LPG.

Menurut kenyataan tersebut, kerajaan masih menanggung subsidi sebanyak RM7.41 bilion pada tahun lalu walaupun menaikkan harga produk petroleum itu manakala pengecualian cukai pula berjumlah RM7.85 bilion.

Bagi tempoh antara Januari hingga Februari 2006, kerajaan menanggung beban subsidi dan pengecualian cukai sebanyak RM1.19 bilion dan RM1.44 bilion, kata kenyataan itu lagi.

Tambah kenyataan itu, tanpa subsidi dan pengecualian cukai, harga runcit bagi RON97 di Semenanjung ialah RM2.46 seliter diikuti RON92 sebanyak RM2.37 seliter, diesel sebanyak RM1.98 seliter dan LPG RM3.21 sekilogram.

Menurut kenyataan itu, walaupun kerajaan menaikkan harga petrol, diesel dan LPG namun harga bahan bakar itu masih lagi rendah berbanding negara-negara ASEAN lain kecuali Brunei.

Tambah kenyataan berkenaan, kerajaan turut memperkenalkan sistem pemberian subsidi kepada 84 peratus kenderaan yang menggunakan diesel dalam sektor pengangkutan darat.

Mereka terdiri daripada pengusaha pengangkutan awam dan perkhidmatan barangan pengguna melalui fleetcard, kata kenyataan itu.

``Melalui penggunaan fleetcard ini, mereka boleh membeli diesel yang diberi subsidi di stesen minyak dengan harga 15 sen lebih rendah daripada harga yang ditetapkan,'' jelas kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, penjimatan kewangan yang dibuat melalui harga produk petroleum pada kali ini akan digunakan bagi membiayai projek-projek pembangunan dan meningkatkan sistem pengangkutan awam demi kepentingan penduduk negara ini.

UM 28.02.2006

Monday, February 27, 2006

Shah Alam Banjir Besar

DITENGGELAMI AIR... Beginilah keadaan di beberapa kawasan termasuk sekitar Stadium Shah Alam, Selangor yang dilanda banjir kilat ekoran hujan lebat awal pagi semalam.

Shah Alam banjir besar -- *Paling buruk dalam tempoh 10 tahun *1,240 hpenduduk dipindah

Oleh: FAUZIAH AROF dan ZAINI RABAN

SHAH ALAM 26 Feb. - Ribuan penduduk Shah Alam hari ini panik dan kelam kabut apabila beberapa kawasan di bandar raya terancang itu dilanda banjir yang dianggap paling buruk dalam tempoh 10 tahun.

Banjir berkenaan yang bermula kira-kira pukul 5 pagi itu menenggelamkan lebih 4,000 rumah dan menyebabkan beberapa laluan lebuh raya terpaksa ditutup untuk semua jenis kenderaan.

Seramai 1,240 penduduk dari 260 keluarga telah dipindahkan ke tempat selamat.

Kawasan yang paling teruk ialah Kampung Kebun Bunga di Batu Tiga apabila lebih 50 buah rumah di perkampungan tersebut ditenggelami air setinggi enam meter.

Selain itu, kawasan taman perumahan Taman Tun Dr. Ismail (TTDI) Jaya juga terjejas teruk apabila semua rumah di kawasan itu ditenggelami air setinggi kira-kira 1.6 meter.

Banjir berkenaan turut melanda kawasan Seksyen 13 Shah Alam yang menempatkan kawasan perumahan, pasar raya Giant, Makro serta menenggelami kawasan tempat letak kereta Stadium Shah Alam dan kawasan padang bola sepaknya.

Antara kawasan yang terbabit ialah Kampung Landasan di Kampung Melayu Subang dan landasan komuter Batu Tiga, Jalan Batu Tiga Lama menuju ke Glenmarie.

Beberapa laluan di lebuh raya utama juga terpaksa ditutup untuk semua kenderaan mulai pukul 6 pagi.

Laluan terbabit ialah kawasan Batu Tiga di Lebuh Raya Persekutuan, persimpangan Bukit Jelutong di Lebuh Raya Baru Lembah Klang (NKVE) dan Lebuh Raya Elite berhampiran kilang gula juga di Batu Tiga serta laluan di sekitar pasar raya Giant dan persimpangan utama TTDI Jaya.

Keadaan itu menyebabkan kesesakan lalu lintas yang teruk selain banyak kenderaan tersadai di bahu jalan.

Pada masa yang sama, bekalan elektrik di kawasan sekitar Bukit Jelutong dan Shah Alam turut terputus selama beberapa jam dan hanya kembali pulih secara berperingkat kira-kira pukul 3 petang.

UM 27.02.2006

Friday, February 24, 2006

Macam mana Kalimullah+NST?



Tudung

Kes larang bertudung disiasat
Oleh Hassan Omar

KUALA LUMPUR: Pengurusan sebuah hotel bertaraf lima bintang di sini yang didakwa melarang seorang kakitangannya memakai tudung, disoal siasat dua pegawai Jabatan Tenaga Kerja (JTK) bagi memastikan kesahihan dakwaan berkenaan, semalam.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Dr Fong Chan Onn, menegaskan jika terbukti dakwaan itu benar, pengurusan itu akan dikenakan tindakan tegas kerana ia bertentangan dengan norma kemanusiaan di negara ini.

Beliau berkata, pegawai JTK menjalankan siasatan dengan menemui pengurusan tertinggi hotel berkenaan kira-kira jam 9 pagi semalam dan akan berjumpa wanita itu hari ini.

“Walaupun tidak ada akta untuk mengambil tindakan tegas terhadap majikan yang tidak membenarkan kakitangannya memakai tudung, masih ada tindakan lain boleh kami ambil,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan Anugerah Kecemerlangan Industri Insurans Nyawa anjuran akhbar berbahasa Cina, Oriental Daily News, di sebuah hotel, di sini semalam.

Hadir sama, Timbalan Ketua Pengarang akhbar itu, Ko Keak Hock dan Presiden Persatuan Insurans Nyawa dan Penasihat Kewangan Kebangsaan (Namlifa), Kenny Chong. Ia bertujuan menghargai sumbangan syarikat insurans nyawa dalam membantu masyarakat melalui program kebajikan masing-masing.

Bagaimanapun, Fong yang enggan menjelaskan tindakan yang bakal dikenakan terhadap pengurusan hotel itu jika dakwaan berkenaan berasas, berkata wanita berkenaan boleh mengambil tindakan undang-undang terhadap majikannya.

Ditanya sama ada kementerian ada menerima aduan seumpama itu sebelum ini, Fong berkata, setakat ini beliau tidak menerima laporan mengenainya.

Kelmarin, Pengarah Akaun (Pengarah Jualan) bagi sektor kerajaan dan diplomatik hotel itu, Habsah Jaafar, 46, mendakwa pengurusan hotel berkenaan bertindak demikian dan beliau diberi pilihan untuk menanggalkan tudung ketika bertugas atau berhenti kerja jika enggan mematuhinya.

Sementara itu, Penyelaras Projek Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Noor Nirwandy Mat Noordin, dalam kenyataannya yang dikeluarkan di sini semalam, berkata PPIM sedia mengambil tindakan undang-undang terhadap pengurusan hotel berkenaan jika dakwaan itu benar.

“PPIM memandang serius isu ini dan menggesa pihak terbabit (pengurusan hotel) memahami tuntutan Perlembagaan Malaysia dan tidak menafikan hak masyarakat Islam,” katanya.

“Pelabur dan pengusaha tempatan mesti peka terhadap budaya masyarakat di negara ini. Kegagalan mengadaptasi budaya di negara ini adalah kelemahan yang perlu diberi perhatian,” katanya.

“Soal memakai tudung tidak ada kena-mengena dengan kerja. Majikan hanya boleh mengambil tindakan terhadap pekerja jika mereka melakukan kesalahan yang berkaitan dengan tugas. Ia tidak boleh menjadi asas untuk majikan memberhentikan pekerja,” katanya.

BH 24.02.2006

Wednesday, February 22, 2006

Bayi Luar Nikah

Majoriti bayi Britain dilahir luar nikah

LONDON: Satu kajian terbaru mendakwa majoriti kelahiran bayi di Britain menjelang 2012 adalah anak luar nikah jika trend atau aliran semasa seperti masalah keruntuhan moral semakin meruncing.

Britain turut menjadi negara keempat memiliki kadar kelahiran bayi luar nikah tertinggi di Eropah selepas Sweden, Denmark dan Perancis, lapor akhbar Telegraph semalam.

Kota London, bagaimanapun, mencatat bilangan kelahiran luar nikah yang kecil iaitu satu pertiga berikutan kehadiran ramai masyarakat Islam yang lebih berpegang kepada nilai murni agama yang mengharamkan amalan pasangan tinggal bersama tanpa ikatan rasmi.

“Hampir separuh institusi keluarga membabitkan pasangan lelaki dan wanita yang tidak berkahwin dan sehingga satu pertiga daripadanya adalah ibu atau bapa tunggal,” kata Dr Peter Brierley, bekas ahli statistik kerajaan Britain yang juga pakar aliran keagamaan.

Ramalannya itu berdasarkan pendedahan angka rasmi kelmarin yang menunjukkan kadar kelahiran di luar nikah meningkat tiga kali ganda sejak beberapa dekad lalu.

Laporan Trend Sosial Pejabat Statistik Kebangsaan Britain menunjukkan, angka itu meningkat kepada 42.3 peratus tahun lalu.

Angka itu jauh lebih tinggi berbanding 32 peratus pada 1994 manakala awal 1970-an, adalah kurang 10 peratus.

Malah, kelahiran anak luar nikah itu mencecah lebih 50 peratus di beberapa wilayah termasuk Wales.

Antara faktor utamanya adalah disebabkan peningkatan bilangan pasangan yang tinggal bersama tanpa ikatan yang sah. Selain itu, masalah ibu atau bapa tunggal turut meningkat.

Masalah itu mencetuskan kebimbangan ramai aktivis atau kumpulan properkahwinan yang menyifatkan ia boleh menjejaskan struktur sosial yang amat penting.

“Laporan itu turut menunjukkan anak-anak yang dibesarkan pasangan suami isteri lebih cemerlang berbanding anak ibu atau bapa tunggal.

“Jika kita mencecah tahap yang mana separuh anak-anak ini lahir di luar ikatan perkahwinan, ini bermakna kita mengubah asas masyarakat yang berfungsi sejak berdekad lamanya,” kata Brierley yang juga Pengarah Eksekutif Christian Research, sebuah pertubuhan sukarela yang menilai statistik gereja. – Agensi

BH 22.02.2006

Tuesday, February 21, 2006

Hubungan seks

Hubungan seks boleh atasi pening kepala

LONDON: Hubungan seksual bukan hanya memberi kebaikan dari segi batiniah tetapi faedahnya sama seperti makan buah-buahan atau sayur, kata pakar, di sini semalam.

Aktiviti seks sebenarnya menghasilkan satu bahan kimia yang dapat membantu seseorang menghentikan rasa pening kepala.

Pakar seks, Tracey Cox memberitahu tabloid The Sun: says: “Seseorang itu berasa selesa pada bahagian otaknya ketika melakukan seks kerana anggota tubuh bekerja keras mencipta perubahan fisiologi diperlukan untuk mencapai kepuasan sewajarnya

Pakar psikologi seks, Dr Carol Ellison bersetuju dan berkata: “Apabila seseorang itu mencapai kepuasan seks, ia umpama badan dan minda anda kembali segar seperti menghidupkan semula komputer. Seks memberi faedah dari segala segi.” – Agensi

BH 21.02.2006

Monday, February 20, 2006

Besi Buruk

Kapal selam Belanda akhirnya jadi besi buruk

KUALA LUMPUR 19 Feb. - Tijgerhaai dan Zwaardis, dua buah kapal selam Belanda yang mulanya diura-ura akan dijual kepada Malaysia akhirnya akan dimusnah menjadi `besi buruk'.

Kapal selam diesel-elektrik 20 torpedo itu merupakan monumen yang lima tahun tersadai di Lumut mengingatkan persaingan sengit syarikat antarabangsa yang cuba melobi Malaysia untuk membeli kapal selam mereka.

Menurut Ketua Jabatan Kapal Selam dari PSC Naval Dockyard Muhammad Razalina, kapal itu sudah tidak boleh bergerak lagi kecuali jika dilakukan baik pulih secara besar-besaran terhadap enjin.

``Tender memotong kapal selam terbabit akan dikeluarkan oleh kerajaan Belanda tidak lama lagi, kita akan dapat tender itu memandangkan kapal selam terbabit memang berada di Lumut,'' katanya ketika dihubungi.

Pemilik kapal selam itu, Rotterdamsche Droogdok Maatschappij (RDM) menanggung banyak hutang kepada PSC termasuk perkhidmatan menjaga dan sewa dermaga selama lima tahun, katanya.

Hutang itu bagaimanapun dijelaskan oleh kerajaan Belanda dalam jumlah yang `cukup banyak', katanya.

Sejarah Tijgerhaai dan Zwaardis bermula lima tahun lalu selepas RDM mengambil PSC sebagai rakan kongsi untuk menjual kapal selam itu kepada Malaysia sebagai kapal latihan.

Taktik itu pernah dibuat oleh German Naval Group (GNG) yang bekerjasama dengan PSC untuk memperoleh tender pembinaan 27 kapal peronda baru, GNG berjaya dan mengalahkan pesaingnya dari Australia.

Ramai pihak yakin RDM akan berjaya mendapatkan kontrak itu memandangkan kapal selam tersebut sudah berada di Malaysia.

Antara yang bersaing untuk mendapatkan tawaran projek kapal selam Malaysia itu ialah Kockums (model kapal selamnya turut dipakai oleh Singapura), DCN International, RDM dan sebuah lagi syarikat dari Jerman yang menawarkan kapal selam kelas Type 209.

DCN International kemudiannya terpilih untuk membina dua buah jenis kapal selam Scorpene, satu-satunya kapal selam diesel-elektrik yang mampu menembak peluru berpandu dari dalam laut dan membekalkan Malaysia sebuah kapal selam kelas Agosta untuk tujuan latihan.

RDM tertewas, Tijgerhaai dan Zwaardis akhirnya tersadai dan bil tempoh kapal selam itu berlabuh dan dijagai oleh kakitangan PSC di Lumut mencecah jutaan dolar Amerika.

Menurut laporan media Belanda, kerajaan Belanda bimbang jika kapal selam itu akan disita oleh pihak berkuasa Malaysia kerana RDM menanggung hutang yang banyak kepada PSC dari segi perkhidmatan baik pulih dan sewa dermaga selama lima tahun sejak kapal selam itu tiba di Lumut.

Mereka juga bimbang teknologi seperti radar, sonar dan teknologi tiub torpedo kapal itu akan terlepas ke tangan pihak asing.

Akhirnya, kerajaan Belanda terpaksa campur tangan dan mengeluarkan duitnya sendiri untuk membayar hutang-hutang RDM dan juga kos pemusnahan kapal selam itu yang dijangka akan dibuat di Lumut pada tahun ini. - Bernama

Petikan: Utusan Malaysia 20 Februari 2006

Thursday, February 16, 2006

Pendekatan belajar berasaskan analisis perbandingan

Pendekatan belajar berasaskan perbandingan antara dua bahasa bermaksud belajar bahasa asing dengan membuat analisis perbandingan antara bahasa ibunda dengan bahasa asing daripada aspek-aspek linguistik. Pendekatan analisis perbandingan adalah pendekatan yang membandingkan antara dua bahasa berdasarkan prinsip-prinsip ilmiah yang meliputi empat aspek iaitu aspek semantik, aspek sintaksis, aspek morfologi dan aspek fonologi.

Satu kajian terhadap pelajar Punjabi di bawah Projek Broadford Punjabi menunjukkan pendekatan pembelajaran berasaskan analisis perbandingan antara dua bahasa dapat membantu pelajar menguasai perbendaharaan kata bahasa asing. Projek yang lebih dikenal sebagai MOTET (The Broadford Punjabi Mother Tongue and English Teaching) ini merupakan program dwi-aliran untuk pelajar Punjabi yang berumur lima tahun dan dijalankan dalam tempoh setahun.

Kesemua pelajar yang terlibat dalam kajian ini tidak mahir berbahasa Inggeris. Seramai 70 pelajar berada dalam kumpulan eksperimen dan 70 pelajar berada dalam kumpulan kawalan. Pelajar dalam kumpulan eksperimen didedahkan kepada bahasa Inggeris dan bahasa Punjabi. Pelajar dalam kumpulan kawalan pula didedahkan kepada bahasa Inggeris sahaja.

Selepas setahun, ujian lisan dijalankan dan didapati pelajar dwi-aliran menunjukkan prestasi yang lebih baik dalam mata pelajaran bahasa Inggeris dan bahasa Punjabi. Ini menunjukkan bahawa analisis perbandingan antara perbendaharaan kata bahasa asing dengan perbendaharaan kata bahasa ibunda dapat membantu pelajar menguasai perbendaharaan kata bahasa Inggeris dengan lebih mudah.

Selain itu, Ahmad Sahlan al-Maghribi iaitu guru pakar bahasa Hebrew telah mendedahkan persamaan antara bahasa Hebrew yang digunakan oleh Israel sekarang dengan bahasa Arab. Beliau mendapati hampir 75% perkataan dalam bahasa Hebrew mempunyai banyak persamaan dari segi sebutan dan makna dengan perkataan bahasa Arab.

Sehubungan itu, beliau menggunakan pendekatan analisis perbandingan ini ketika mengajar bahasa Hebrew iaitu salah satu bahasa pilihan selain bahasa Parsi kepada pelajar tahun tiga Fakulti Sains Kemanusiaan di Universiti Mohammad al-Khamis, Rabat, Maghribi. Setiap perkataan dalam bahasa Hebrew seboleh-bolehnya cuba dihubungkaitkan dengan bahasa Arab.

Pendekatan beliau telah menarik minat ramai pelajar berbangsa Arab Maghribi dan kebanyakan pelajar Malaysia di sana untuk menambahkan bilangan perbendaharaan kata bahasa Hebrew. Hasilnya bilangan pelajar yang mengambil subjek bahasa Hebrew bertambah sekali ganda berbanding bilangan pelajar yang mengambil subjek bahasa Parsi pada tahun berikutnya.

Begitu juga dengan P. Broeder yang menjalankan kajian tentang penguasaan perbendaharaan kata dalam bahasa Belanda terhadap empat orang dewasa. Mereka ialah dua orang berbangsa Arab Maghribi dan dua orang berbangsa Turki yang telah tinggal di Belanda selama tiga tahun. Kajian ini adalah susulan daripada penyelidikan The Ecology of Adult Language Acquisition di bawah program European Science Foundation (ESF) di Strasbourg.

Kajian

Tujuan utama kajian Broeder adalah untuk mengetahui sejauh mana pemilihan perbendaharaan kata dalam bahasa Belanda dapat diterangkan dengan menggunakan bahasa ibunda pelajar. Dalam kajiannya itu, beliau mendapati terdapat suatu proses silang-menyilang antara ciri bahasa utama dengan ciri bahasa asing dalam pemerolehan perbendaharaan kata bahasa asing (language acquisition).

Berdasarkan kajiannya, Broeder mendapati bahawa pelajar telah terlibat dalam pembentukan semula yang sangat dinamik kerana mereka berterusan mencipta dan membaiki hipotesis tentang struktur pembinaan perbendaharaan kata bahasa asing. Hal ini telah menjadikan kajian Broeder ini sebagai satu sumbangan yang bermakna dalam pembelajaran perbendaharaan kata bahasa asing.

Kajian di negara Barat menunjukkan bahawa penggunaan perbendaharaan kata bahasa ibunda dalam pembelajaran bahasa asing dapat menimbulkan minat di kalangan pelajar terhadap bahasa asing. Antaranya kajian yang melibatkan bahasa Inggeris dan bahasa Sepanyol.

Menurut A.R. Sancho, satu kurikulum dwi-aliran bahasa telah diwujudkan untuk membolehkan pelajar menguasai kedua-dua bahasa tersebut. Pelajar ini dibahagikan kepada dua kumpulan. Dua pendekatan pembelajaran telah dijalankan, iaitu pembelajaran menggunakan bahasa Sepanyol sebagai bahasa pengantar dan pembelajaran bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar. Pembelajaran ini bertujuan memperkembangkan pembelajaran perbendaharaan kata bahasa Sepanyol.

Dalam kedua-dua pembelajaran itu, ‘pendekatan peralihan kod’ digunakan agar pelajar dapat memahami perbendaharaan bahasa Sepanyol dengan lebih baik dan pelajar didapati lebih peka tentang banyak perkara, termasuk kesan perasaan dalam kedua-dua budaya penutur bahasa itu. Kajian itu membuktikan pembelajaran perbendaharaan kata bahasa Sepanyol dengan menggunakan pendekatan ini dapat menimbulkan perasaan ingin tahu tentang perbendaharaan kata bahasa Inggeris dengan lebih mendalam di kalangan pelajar.

Seterusnya satu soal selidik diedarkan kepada 100 pelajar Melayu di Fakulti Bahasa, Universiti Kebangsaan Malaysia yang mengikuti kursus bahasa Inggeris (kod VG0022) pada semester kedua sesi 1995/96.

Pencapaian pelajar tersebut dalam bahasa Inggeris adalah pada tahap lemah kerana semua mereka hanya memperoleh keputusan P7 (lulus) dan P8 (lulus) dalam mata pelajaran bahasa Inggeris di peringkat SPM. Tujuan kajian ialah mendapatkan reaksi, pendapat dan persepsi pelajar tentang penggunaan bahasa Melayu dalam pembelajaran perbendaharaan kata bahasa Inggeris bagi pelajar yang lemah penguasaan bahasa Inggerisnya. Kajian mendapati 87 orang pelajar (87%) bersetuju bahawa penggunaan bahasa Melayu dapat membantu pemahaman perbendaharaan kata bahasa Inggeris dengan mudah.

C. James telah melakukan kajian tahap kesukaran bagi pelajar yang menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa ibunda ketika belajar lima bahasa Eropah yang lain. Kajian beliau mendapati terdapat perbezaan yang signifikan antara kelima-lima bahasa tersebut.

Dari segi makna leksikal, didapati perbendaharaan kata bahasa Perancis, bahasa Sepanyol dan bahasa Itali paling mudah dipelajari. Perbendaharaan kata bahasa Rusia pula adalah yang sukar dipelajari. Secara keseluruhannya iaitu dari segi makna leksikal, fonologi, nahu, ortograpik dan ejaan didapati bahasa Itali adalah yang paling mudah dan bahasa Rusia adalah yang paling sukar dipelajari.

Dalam jadual berikut dinyatakan tahap kesukaran belajar bagi penuntut yang menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa ibunda. Berdasarkan jadual tersebut bolehlah dikatakan bahawa seorang pelajar yang menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa ibunda lebih mudah untuk mempelajari perbendaharaan kata bahasa Itali, bahasa Sepanyol dan bahasa Perancis berbanding bahasa Rusia.

Seterusnya dalam konteks perbincangan ini, bolehlah kita katakan bahawa pelajar yang menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa ibunda lebih mudah mempelajari perbendaharaan kata bahasa Arab berbanding pelajar yang menggunakan bahasa Itali, bahasa Sepanyol, bahasa Perancis dan bahasa Rusia sebagai bahasa ibunda.

Dalam hal ini, persamaan yang wujud antara perbendaharaan kata bahasa Arab dengan bahasa Melayu adalah suatu kelebihan kepada pelajar yang menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa ibunda.

Wednesday, February 15, 2006

Kabinet

Dua menteri gugur, dua berundur
Oleh Kadir Dikoh dan Shamsul Azree Samshir2 timbalan menteri dinaikkan pangkat penuh, 2 bekas menteri kembali sertai Kabinet
PUTRAJAYA: Dua timbalan menteri dinaikkan pangkat sebagai menteri penuh, dua bekas menteri dilantik semula, manakala dua lagi menteri berundur dalam rombakan Kabinet yang diumumkan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, semalam.

Status semua menteri kanan termasuk Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Rafidah Aziz dan Menteri Kerjaraya, Datuk Seri S Samy Vellu, kekal.

Walaupun Kabinet baru itu menyaksikan lapan kementerian bertukar kepemimpinan, hanya dua menteri digugurkan, manakala dua lagi berundur. Mengisi kekosongan itu ialah dua bekas menteri dan dua timbalan menteri.

Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Zulhasnan Rafique dilantik mengetuai kementerian itu bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad, manakala Timbalan Menteri Penerangan, Datuk Zainudin Maidin menggantikan Datuk Seri Abdul Kadir Sheikh Fadzir.

Abdul Kadir meletakkan jawatannya kira-kira tiga jam sebelum Perdana Menteri mengumumkan rombakan Kabinetnya.

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Adenan Satem yang juga Naib Presiden Kanan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) tidak disenaraikan semula bagi membolehkannya berkhidmat sepenuh masa di Sarawak.

Adenan disebut-sebut bakal menggantikan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud, sama ada sebelum atau selepas pilihan raya negeri itu, tidak lama lagi.

Menteri yang digugurkan pula ialah Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Shafie Mohd Salleh dan Menteri Pelancongan, Datuk Dr Leo Michael Toyad.

Muka lama yang menyertai semula Kabinet ialah bekas Menteri Pertanian, Datuk Seri Effendi Norwawi selaku Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan bekas Menteri di JPM, Datuk Tengku Adnan Tengku Mansor dilantik Menteri Pelancongan menggantikan Michael Toyad.

Effendi yang juga Naib Presiden PBB dan wakil khas kerajaan bertaraf menteri di Kementerian Pengajian Tinggi, mengisi kuota dari Sarawak berikutan pengunduran Adenan.

Senarai anggota Kabinet baru itu yang berkuat kuasa serta merta, diumumkan Abdullah pada sidang akhbar khas pada jam 2.45 petang dan disiarkan secara langsung oleh TV3. Hadir sama timbalannya, Datuk Seri Najib Razak dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Samsudin Osman.

Dalam rombakan Kabinet itu, yang pertama sejak Abdullah menyandang jawatan Perdana Menteri kelima, Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Datuk Seri Azmi Khalid ditukar portfolio sebagai Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, menggantikan Adenan.

Menteri di JPM, Datuk Mustapa Mohamed turut bertukar portfolio, iaitu menggantikan Shafie sebagai Menteri Pengajian Tinggi manakala seorang lagi Menteri di JPM, Datuk Seri Mohd Radzi Sheikh Ahmad sebagai Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri menggantikan Azmi.

Seperti dijangka, Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Kerk Choo Ting yang tewas dalam perebutan jawatan Presiden Gerakan sebelum ini, digugurkan bersama dua lagi timbalan menteri iaitu Datuk Mahadzir Mohd Khir (Pelajaran) dan Datuk Tengku Putera Tengku Awang (Kewangan).

Tempat Kerk digantikan oleh Ketua Pemuda Gerakan, Datuk Mah Siew Keong yang sebelum ini Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri.

Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Datuk Noh Omar pula mengambil alih tempat Mahadzir manakala jawatan Tengku Putera diisi Datuk Dr Awang Adek Hussin yang sebelum ini Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah.

Muka baru yang dimasukkan dalam pentadbiran Abdullah ialah Senator Datuk Abdul Rahman Suliman sebagai Timbalan Menteri di JPM; Ketua Pemuda MCA, Datuk Liow Tiong Lai (Timbalan Menteri Belia dan Sukan); Ahli Parlimen Kemaman, Ahmad Shabery Cheek (Setiausaha Parlimen Kementerian Luar) dan Senator Datuk Dr S Vijayaratnam (Setiausaha Parlimen Kementerian Perusahaan Peladangan dan Komoditi).

Antara setiausaha parlimen dinaikkan pangkat ke jawatan timbalan menteri ialah Datuk Wira Abu Seman Yusop (Wilayah Persekutuan); Datuk Zainal Abidin Osman (Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah); Datuk Mohd Johari Baharum (Keselamatan Dalam Negeri) dan Ng Lip Yong (Perdagangan Antarabangsa dan Industri).

Lapan timbalan menteri turut bertukar portfolio termasuk Timbalan Menteri Pelancongan, Datuk Ahmad Zahid Hamidi ke Kementerian Penerangan dan Chia Kwang Chye ke kementerian sama; Datuk Donald Lim Siang Chai (Pelancongan); Datuk Fu Ah Kiow (Keselamatan Dalam Negeri) dan Datuk Ong Tee Kiat (Pengajian Tinggi).

INFO: Naik Pangkat:
  • Datuk Zulhasnan Rafique - Menteri Wilayah Persekutuan
  • Datuk Zainudin Maidin - Menteri Penerangan
Kembali:
  • Datuk Seri Effendi Norwawi - Menteri di Jabatan Perdana Menteri
  • Datuk Tengku Adnan Tengku Mansor - Menteri Pelancongan
Gugur:
  • Datuk Dr Leo Michael Toyad - Menteri Pelancongan
  • Datuk Seri Dr Shafie Mohd Salleh - Menteri Pengajian Tinggi
Bertukar:
  • Datuk Seri Mohd Radzi Sheikh Ahmad - Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri
  • Datuk Mustapa Mohamed - Menteri Pengajian Tinggi
  • Datuk Seri Azmi Khalid - Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar
Undur:
  • Datuk Seri Abdul Kadir Sheikh Fadzir - Menteri Penerangan
  • Datuk Seri Adenan Satem - Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar
FAKTA NOMBOR:
4 - Setiausaha Parlimen dinaikkan pangkat timbalan menteri
9 - Timbalan menteri bertukar portfolio

Petikan: Berita Harian 15 Februari 2006

Tuesday, February 14, 2006

Valentine Karut!

Hentikan meniru kekarutan Valentine

Oleh MOHD. KAMIL YUSUFF

HARI ini 14 Februari, ramai pasangan kekasih mengambil kesempatan meraikan sambutan Hari Memperingati Kekasih.

Mereka menghadiahkan kekasih hati dengan hadiah-hadiah menarik di samping kad-kad ucapan yang penuh syahdu bagi merakamkan perasaan mereka.

Pelik juga, kenapa tanggal 14 Februari sahaja untuk mengingati kekasih. Kenapa tidak hari-hari lain. Kekasih sepatutnya diingati setiap hari.

Sebenarnya, budaya ini asalnya dipercayai bagi memperingati kematian seorang paderi Kristian, St. Valentine, yang memperjuangkan kasih sayang antara manusia tetapi dihukum bunuh pada tarikh ini kerana mengingkari perintah rajanya.

Hari ini sambutan tersebut menular bukan sahaja di kalangan orang Kristian, malah Islam, khususnya remaja yang sebenarnya langsung tidak tahu menahu asal-usul sambutan tersebut.

Mereka sekadar meniru budaya orang lain tanpa mengetahui sejarahnya, hatta kesannya kepada akidah agama.

Budaya ikut-ikutan ini bukan perkara baru di kalangan orang Melayu. Black Metal, punk, rock dan sebagainya bukan budaya Melayu tetapi pengamalnya yang ramai adalah remaja Melayu.

Golongan

Tidak salah memperingati orang yang dikasihi. Islam sendiri menggalakkan umatnya berkasih sayang tetapi dengan cara yang ditetapkan oleh agama suci itu.

Konsep kasih sayang dalam Islam amat luas, tidak terhad kepada golongan tertentu sahaja. Islam juga tidak menetapkan hari-hari khusus untuk berkasih sayang.

Sebab itu, Islam mengajar umatnya melahirkan kasih sayang kepada Allah dan Rasul-Nya tidak pada hari-hari tertentu sahaja, malah setiap saat.

Dalam Islam, kasih sayang yang afdal ialah kepada Allah, Rasulullah, kedua ibu bapa, suami, isteri dan anak-anak.

Lahirkan kasih sayang kepada orang yang dicintai dengan cara betul berlandaskan ajaran Islam, bukan meniru bulat-bulat budaya asing yang bertentangan dengan budaya Melayu, tata susila Timur dan ajaran Islam sendiri.

Ajaran Islam adalah syumul, lengkap dan sempurna meliputi soal-soal kehidupan harian hingga kepada pentadbiran dan pengurusan sesebuah negara.

Sehubungan itu, tidak ada sebab umat Islam meniru budaya asing khususnya yang bertentangan dengan ajaran islam.

Nabi Muhammad s.a.w berpesan kepada umatnya melalui hadis yang bermaksud, ``Sesiapa yang melakukan perbuatan yang menyerupai sesuatu kaum itu, dia turut termasuk bersama golongan itu.''

Sunday, February 12, 2006

Rambutan Malaysia vs Laici Singapura

Rambutan Malaysia dilabel laici Singapura

Oleh: SAIFULIZAM MOHAMAD

KUALA LUMPUR 11 Feb. - Pelabur Singapura yang mengadakan kerjasama dengan pengusaha Malaysia bertindak mengelirukan negara-negara pengguna dengan mendakwa produk pertanian negara ini sebagai produk mereka.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika mendedahkan perkara ini berkata, antara produk pertanian Malaysia yang didakwa dihasilkan di Singapura ialah ikan hiasan, bunga dan buah-buahan.

``Saya pernah ke Hong Kong beberapa tahun lalu serta memasuki sebuah kedai menjual buah-buahan dan mendapati kedai itu menjual rambutan segar tetapi malangnya ia dilabel sebagai laici Singapura (Singapore's Lychee).

``Tidak mungkin Singapura menghasilkan rambutan hingga boleh dieksport kerana untuk menjadi pengeksport, jumlah keluarannya hendaklah banyak,'' katanya.

Sehubungan itu, Muhyiddin berkata, kementeriannya akan mengkaji semula syarat-syarat perjanjian sebelum kontrak pertanian dibuat antara petani dan pelabur pada masa akan datang.

Beliau berkata, pihaknya juga akan mengkaji isu itu dalam konteks Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) sama ada ia adalah satu kesalahan atau tidak selari dengan dasar organisasi perdagangan antarabangsa itu.

Muhyiddin berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan pelancaran pra sukan kementerian itu di Kelab Golf Perkhidmatan Awam (KGPA) Bukit Kiara, di sini hari ini.

Pada majlis itu, beliau turut meraikan delegasi kementerian yang akan mengadakan misi pelaburan ke Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Jeddah, Arab Saudi.

Muhyiddin berkata, masalah itu telah lama berlaku dan pihaknya kini sedang melakukan siasatan terperinci supaya isu terbabit dapat diperbetulkan.

Katanya, apa yang dilakukan oleh pelabur Singapura itu memberi kesan dari segi perolehan faedah yang sepatutnya dikongsi secara lebih adil serta pengiktirafan kepada produk pertanian negara di peringkat antarabangsa.

``Mereka yang terlibat ini ialah pelabur yang mempunyai kontrak pertanian dengan petani kita khususnya di Johor.

``Antara maklumat yang diterima ialah mereka tidak membenarkan petani kita membungkus hasil pertanian, sebaliknya pembungkusan perlu dibuat di Singapura. Ia kemudian dilabelkan sebagai produk Singapura sebelum dieksport,'' katanya.

Menurut Muhyiddin, kementeriannya kini dalam usaha mengumpulkan segala maklumat termasuk menemui petani yang mempunyai kontrak pertanian dengan pelabur di republik itu.

Selepas siasatan dan maklumat tepat diperoleh, pihaknya mungkin akan mengadakan rundingan dengan kerajaan Singapura sekiranya perlu.

``Kita bukannya menghalang mereka untuk melabur, malah kita galakkan tetapi mereka perlu memberikan fakta yang benar,'' tambahnya.

Petikan: Utusan Malaysia 12 Februari 2006

Friday, February 10, 2006

Talkin Untuk "Sarawak Tribune"

Penerbit tutup terus Sarawak Tribune
Oleh Kadir Dikoh, Matzidi Dris, Hardi Effendi Yaacob dan Shamshul Azree Samshir

KUCHING: The Sarawak Press Sdn Bhd penerbit Sarawak Tribune yang mencetuskan kontroversi kerana menyiarkan karikatur menghina Nabi Muhammad SAW, akan menutup terus operasi akhbar itu serentak dengan penggantungan permitnya, berkuat kuasa serta merta.

Penasihat Editorialnya, Senator Datuk Idris Buang, berkata keputusan itu dicapai sebulat suara dalam mesyuarat lembaga pengarah syarikat berkenaan di Sibu, pagi semalam.

"Ini kesilapan yang mengecewakan. Kami amat malu dengan kesilapan yang dilakukan ke atas rakyat Malaysia berhubung penyiaran karikatur ini. Kami juga memohon maaf kepada semua rakyat Malaysia atas kesilapan ini.

"Justeru, atas rasa tanggungjawab, tidak akan ada lagi Sarawak Tribune selepas ini," katanya pada sidang media di ibu pejabat kumpulan akhbar berkenaan di sini, malam tadi.

Sepanjang sidang media itu, pengurusan Sarawak Press menempatkan kakitangan keselamatan sebagai langkah berjaga-jaga.

Turut hadir, Pengarah Eksekutifnya, Polit Hamzah.

Sejurus selepas sidang media itu berakhir, Polit menerima surat arahan penggantungan permit penerbitan akhbar berkenaan yang disampaikan Penolong Pegawai Penerbitan (Bahagian Kawalan Penerbitan dan Teks al-Quran) Kementerian Keselamatan Dalam Negeri Cawangan Sarawak, Yusniza Sapiee.

Penggantungan permit akhbar itu sehingga suatu tarikh yang akan ditetapkan, diumumkan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dalam kenyataan di Putrajaya, petang semalam.

Perdana Menteri turut mengumumkan larangan mutlak terhadap semua bentuk pencetakan, pengimportan, penghasilan, pengeluaran, pengelilingan, pengedaran dan pemilikan hasil terbitan yang boleh memudaratkan ketenteraman awam, keselamatan atau yang mungkin menggemparkan fikiran orang ramai dan menggugat kepentingan negara, berkuat kuasa semalam.

Larangan itu, yang dinamakan Perintah Mesin Cetak dan Penerbitan (Kawalan Hasil Penerbitan Tak Diingini) 2006, dibuat mengikut subseksyen 7(1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (Akta 301).

Keputusan itu dibuat sehari selepas mesyuarat Kabinet membincangkan tindakan akhbar tertua di Sarawak itu menyiarkan semula karikatur menghina Nabi Muhammad SAW yang pada asalnya disiarkan beberapa akhbar di Eropah hingga mencetuskan kemarahan umat Islam seluruh dunia.

Artikel bertajut Cartoon not much impact here yang memuatkan karikatur menghina Rasulullah, disiarkan akhbar itu Sabtu lalu.

Abdullah yang juga Menteri Keselamatan Dalam Negeri berkata, tindakan menggantung permit Sarawak Press dibuat mengikut kuasa di bawah subseksyen 6(2) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.

Berikutan penyiaran artikel ini, Sarawak Press melakukan kesalahan dan melanggar perenggan 6 syarat-syarat permit yang dikeluarkan di bawah subseksyen 6(1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984, katanya.

Idris berkata, pihaknya akur dengan keputusan kerajaan dan Perdana Menteri.

Ditanya sama ada Sarawak Tribune akan digantikan dengan akhbar baru, Idris enggan mengulas untuk mengelak sebarang spekulasi.

"Kami akan terus menggantung penerbitan akhbar ini walaupun selepas kerajaan menarik balik arahan itu. Sebab itulah saya katakan tadi, tidak akan ada lagi Sarawak Tribune selepas ini," katanya.

Beliau bagaimanapun berkata, tindakan itu hanya membabitkan jabatan pengarang Sarawak Tribune, manakala operasi akhbar lain terbitan Kumpulan Sarawak Press, termasuk Utusan Sarawak akan berjalan seperti biasa.

"Pihak pengurusan akan menjelaskan kedudukan syarikat kepada kakitangan terbabit. Ia akan dikendalikan secara profesional dan soal kebajikan kakitangan tidak akan diabaikan," katanya.

Mengenai kedudukan Pengarang Kumpulan Sarawak Tribune, Toman Mamora, yang sebelum ini didesak banyak pihak supaya meletak jawatan, beliau berkata:

Biarlah kita selesaikan dulu hal penggantungan Sarawak Tribune. Hal Toman kita bincang kemudian."

Idris juga berkata, pertemuannya dengan Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud semalam, tidak membincangkan isu Sarawak Tribune.

Petikan: Berita Harian 10 Februari 2006

Thursday, February 09, 2006

Nasib Tulisan Jawi

Melayu harus risau tulisan jawi berkubur

PULAU PINANG 8 Feb. - Masyarakat Melayu di negara ini haruslah mengambil sesuatu langkah bagi menghidupkan semula tulisan Jawi ekoran tulisan itu telah `berkubur' apabila akhbar Utusan Melayu Mingguan - satu-satunya akhbar dalam tulisan jawi - kini telah dihentikan penerbitannya.

Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata, penutupan penerbitan akhbar Utusan Melayu Mingguan seharusnya dipandang sebagai satu kematian kepada warisan bangsa kerana tulisan jawi adalah satu pusaka warisan bangsa yang telah menjadi skrip rasmi dan lidah Melayu selama lebih 600 tahun.

Katanya, masyarakat Melayu tidak seharusnya cuma berpeluk tubuh melihat tulisan jawi menghilang dari ufuk budaya dan persoalan berat ini menuntut penyelesaian daripada orang Melayu sendiri.

Beliau berkata, apabila penerbitan akhbar tulisan jawi dihentikan pada 29 Januari lepas, adalah jelas orang Melayu tidak mempedulikannya sedangkan pada hakikatnya ia bererti kematian kepada sebahagian jasad budaya warisan Melayu itu sendiri.

``Tidak ada orang yang mendengus, tidak ada orang yang mempolemikkan kematian ini dan minat terhadap tulisan jawi telah menurun,'' katanya pada ucaptama bertajuk Unsur-unsur dan Cabaran Perpaduan Ke Arah Membina Negarabangsa Malaysia sempena majlis Perhimpunan Perdana Perpaduan Awam anjuran Majlis Perundingan Muhibah di Universiti Sains Malaysia (USM) di sini hari ini.

Teks ucapannya disampaikan oleh Naib Cancelor USM, Datuk Prof. Dzulkifli Abdul Razak.

Rais berkata, apabila akhbar Utusan Melayu yang mengoborkan politik dan perjuangan Melayu berdekad-dekad lamanya mati kerana tidak dibeli lagi oleh orang Melayu dan dalam masa yang sama populariti bahasa Inggeris berterusan seperti apa yang berlaku sekarang, suatu ketika kelak akhbar-akhbar bahasa Melayu juga akan mengalami nasib yang sama.

Katanya, jika peredaran zaman menjadi alasan sehingga bangsa Melayu tidak lagi berminat dengan tulisan jawi, bukan sahaja budaya Melayu akan terjejas malah perpaduan Melayu juga tidak akan tercapai. - Bernama

Petikan: Utusan Melayu 9 Februari 2006

Tuesday, February 07, 2006

Telefon Bimbit

Telefon bimbit bukan punca tumor otak

SELEPAS empat tahun kajian, saintis Institut Penyelidikan Barah London bersama tiga universiti British merumuskan bahawa menggunakan telefon bimbit tidak akan meningkatkan risiko pembentukan tumor otak.

Profesor Patricia McKinney daripada Universiti Leeds berkata, pada keseluruhannya didapati tiada risiko pembentukan glioma akibat penggunaan telefon bimbit yang mana ini hampir menyamai penemuan daripada kajian lain.

Kajian itu merangkumi skop besar berbanding yang pernah dilakukan sebelum ini memandangkan ia adalah sebahagian daripada kerjasama yang membabitkan 13 negara.

Sepanjang dua dekad, penggunaan telefon bimbit dunia mencatat peningkatan namun tidak ada bukti kukuh untuk mengesahkan kewujudan masalah kesihatan daripada sakit kepala hingga tumor otak akibat teknologi ini.

Lebih 4,000 kes baru berkaitan dengan tumor otak di diagnosis setiap tahun di Britain dan kira-kira 2,000 kes di Amerika Syarikat.

Tahun lalu, saintis Sweden berkata telefon bimbit mungkin akan mendedahkan pengguna kepada risiko kesihatan di kawasan luar bandar memandangkan mereka terdedah kepada isyarat tinggi di kawasan berkenaan.

Namun begitu, penyelidik tidak mendapati sebarang peningkatan ancaman kesihatan bagi penduduk berkenaan.

Sebelum ini, telefon bimbit menggunakan isyarat analog yang memancarkan isyarat berkuasa tinggi berbanding model digital.

Sekiranya terdapat bahaya kesihatan daripada telefon berkenaan, ia sepatutnya membuahkan hasil daripada model awal, namun saintis tidak menemui sebarang bukti terhadapnya.