Friday, September 29, 2006

Buncit

62% wanita Malaysia alami obesiti abdomen

KUALA LUMPUR 28 Sept. - Sebanyak 62 peratus wanita dan 48 peratus lelaki di negara ini mengalami perut buncit atau obesiti abdomen kesan daripada gaya hidup dan pemakanan yang tidak sihat.

Pengarah Perubatan, Institut Jantung Negara (IJN), Datuk Seri Dr. Robaayah Zambahari berkata, kajian yang dijalankan oleh Bentuk Bangsa Malaysia (MySoN) menunjukkan mereka diancam pelbagai penyakit berbahaya.

Beliau berkata, penyakit berkenaan termasuk berkaitan kardiovaskular, ketegangan melampau dan faktor utama serangan sakit jantung.

Katanya, perbandingan dengan kajian yang dibuat pengkaji luar negara juga menunjukkan peratusan yang dicatat di negara ini lebih tinggi berbanding beberapa buah negara lain dan angka ini amat membimbangkan.

‘‘Peratusan di Singapura adalah sebanyak 41 hingga 54 peratus wanita dan 21 hingga 26 peratus lelaki mengalami obesiti abdomen.

‘‘Di Amerika Syarikat pula sebanyak 52 peratus wanita dan 36 lelaki mengalami masalah ini serta 42 peratus wanita dan 21 peratus lelaki mengalami masalah yang serupa di Korea Selatan,’’ katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.

Kajian secara rawak oleh MySoN dilakukan selama dua hari iaitu pada 22 dan 23 Jun tahun lalu melibatkan 1,893 responden berumur antara 18 hingga 80 tahun.

Kesemua responden datang ke klinik-klinik swasta dan kerajaan serta melibatkan 90 orang pengamal perubatan daripada seluruh negara.

Daripada jumlah itu 47.5 peratus responden adalah lelaki dan 52.5 peratus responden pula wanita.

Dari segi etnik pula sebanyak 50 peratus Melayu, 29 peratus Cina, 18 peratus India dan tiga peratus lain-lain etnik.

Di negara ini, ukur lilit pinggang mereka yang dikategori tidak mengalami obesiti ialah kurang 35.4 inci bagi lelaki dan 31.5 bagi wanita.

Dr. Robayaah berkata, kaum India berada di kedudukan paling tinggi buncit iaitu sebanyak 63.4 peratus, Melayu 53.5 peratus, Cina 50.8 peratus dan lain-lain kaum 45.2 peratus.

‘‘Selain mengambil ukur lilit pinggang kajian juga mengambil kira faktor lain seperti tinggi, berat dan data demografi melibatkan gender, umur dan pendidikan tertinggi yang diterima.

‘‘Berdasarkan perbezaan Kajian Kekerapan Kesihatan Nasional ke-2 yang menggunakan pengukuran BMI pada tahun 1996 dapat dilihat masalah ini meningkat sebanyak 124 peratus dalam masa 10 tahun apabila jumlahnya bertambah dari 24.1 peratus kepada 54 peratus pada tahun lepas,’’ jelasnya.

UM 29.09.2006

Monday, September 25, 2006

Rokok = RM 90 juta sebulan

Rakyat Malaysia belanja RM90 juta sebulan beli rokok

Oleh Suhana Abdul Mutalib

SHAH ALAM 24 Sept.Rakyat Malaysia membelanjakan kira-kira RM3 juta sehari atau RM90 juta sebulan untuk membeli rokok.

Menyedari fenomena membimbangkan itu, kerajaan Selangor dan Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) menganjurkan kempen khusus sempena bulan Ramadan ini untuk menggalakkan orang ramai terutama umat Islam berhenti merokok.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Islam Selangor, Datuk Abdul Rahman Palil berkata, jika dalam tempoh berpuasa perokok boleh mendisiplinkan diri tidak merokok, tidak mustahil untuk mereka terus meninggalkan tabiat yang bukan sahaja mengancam kesihatan tetapi juga pembaziran.

“Saya terkejut apabila angka itu didedahkan oleh Pengarah HTAR, Dr. Yahya Babai, cuba bayangkan RM3 juta sehari, kalau didarab sebulan dah jadi RM90 juta, kalau setahun?” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Katanya, memandangkan pada siang hari umat Islam berpuasa, jadi beliau amat berharap kempen ini akan berjaya dilaksanakan seterusnya mengelakkan perbelanjaan merokok di kalangan masyarakat di negara ini.

Sementara itu, Abdul Rahman berkata, pihaknya juga telah mengeluarkan surat pekeliling kepada semua masjid di seluruh negeri agar menjadikan masjid sebagai kawasan larangan merokok.

Katanya, arahan itu diadakan bertujuan untuk mewujudkan persekitaran yang lebih sihat terutamanya di tempat suci seperti masjid yang mejadi tumpuan orang ramai untuk beribadah.

‘‘Jika pemeriksaan ke masjid-masjid mendapati ada disediakan tempat abu rokok, tindakan disiplin akan diambil, kita mahu masjid bebas sepenuhnya dari kawasan merokok,” katanya.

UM 25.09.2006

Thursday, September 21, 2006

Sayonara Thak"SIN"!

Thaksin hadapi tuduhan jenayah

Sondhi ketua Majlis Pembaharuan Pentadbiran

BANGKOK: Panglima Tentera Darat, Jeneral Sondhi Boonyaratglin yang mengetuai rampasan kuasa di Thailand memberi amaran, Thaksin Shinawatra akan didakwa atas tuduhan jenayah jika bekas Perdana Menteri itu pulang ke Bangkok.

Thaksin pula, yang menghadiri Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York, berlepas dengan pesawat sewa khas Russia ke London semalam untuk menyertai keluarganya dan dilaporkan menimbang untuk hidup dalam buangan di Britain.

Dalam pada itu, Raja Thailand, Raja Bhumibol Adulyadej semalam menyokong pelantikan Sondhi sebagai ketua Majlis Pembaharuan Pentadbiran baru.

“Bagi mewujudkan keamanan negara, raja melantik Jeneral Sondhi sebagai ketua majlis yang akan membawa pembaharuan pentadbiran,” menurut pengumuman yang disiarkan televisyen kerajaan semalam.

“Semua rakyat perlu menjaga keamanan dan kakitangan awam harus mengikut arahan Jeneral Sondhi.”

Sondhi, dalam taklimat pertamanya sehari selepas menggulingkan kerajaan berkata sebagai warga Thailand, Thaksin berhak pulang ke Bangkok.

Bagaimanapun, pemimpin Islam pertama dilantik mengetuai angkatan tentera darat Thailand itu menegaskan, Perdana Menteri yang digulingkan didakwa melakukan pelbagai salah laku dan rasuah, mungkin menghadapi tuduhan jenayah.

“Sebarang pendakwaan akan dilakukan menurut undang-undang dan bergantung kepada bukti,” kata Sondhi, muncul buat pertama kali dalam siaran televisyen negara itu pagi semalam bagi mengesahkan rampasan kuasa yang diketuainya.

Beliau yang diapit panglima tentera laut dan udara menjelaskan, rampasan kuasa itu dilancarkan ekoran pentadbiran Thaksin yang lemah dan membahayakan negara. Thaksin juga didakwa memecah belah negara, menghina raja dan mengendalikan kerajaan yang rasuah.

Ditanya sama ada harta bekas Perdana Menteri itu akan dirampas, Sondhi yang sebelum ini dipilih Thaksin untuk mengetuai tentera darat, berkata mereka yang bersalah perlu dipertanggungjawabkan.

Sondhi yang juga rapat dengan istana berkata, beliau akan menjadi perdana menteri selama dua minggu sehingga seorang pemimpin baru yang bebas dan cintakan demokrasi dipilih.

“Saya yang memutuskan untuk melakukan rampasan kuasa. Tiada yang menyokong saya,” katanya merujuk kepada Raja Bhumibol Adulyadej ketika rakyat mengesyaki raja berperlembagaan Thailand itu terbabit dalam gerakan menggulingkan Thaksin.

Lewat malam kelmarin, tentera melancarkan rampasan kuasa ke atas kerajaan Thaksin selepas kereta kebal mengepung pejabat pemimpin itu, merampas stesen televisyen dan mengisytiharkan sebuah badan pentadbiran yang setia kepada Raja Bhumibol.

Pada taklimat semalam, Sondhi berkata, pilihan raya umum akan diadakan pada Oktober 2007 selain menegaskan bahawa dasar luar dan perjanjian antarabangsa tidak akan diubah.

Akhbar The Nation pula melaporkan kumpulan tentera dan polis pro-Thaksin menyatakan kesediaan untuk bekerjasama dengan Majlis Pembaharuan Pentadbiran pimpinan Sondhi dan tidak akan melancarkan tentangan.

Tentera di bawah pimpinan Sondhi juga sudah menguasai lokasi penting di Bangkok, dilengkapi senjata berat dan ramai lagi tentera dikerah ke ibu negara itu.

Sementara itu, seorang ahli Parlimen, Thawee Kraikupti yang juga ahli Parti Thai Rak Thai pimpinan Thaksin, ditahan tentera kerana membantah rampasan kuasa itu di Tugu Demokrasi di tengah Bangkok.

The Nation melaporkan, Thaksin dikatakan mungkin hidup dalam buangan di London selepas isterinya, Khunying Pojaman Shinawatra sempat melarikan diri ke Singapura untuk mendapatkan penerbangan ke Britain.

Agensi berita Reuters melaporkan, Thaksin menyewa sebuah pesawat Russia untuk membawa beliau dan rombongannya keluar dari New York menuju London.

Pemberita Thailand yang membuat liputan Thaksin di PBB berkata, timbalan perdana menteri Surakiart Sathirathai yang juga calon jawatan setiausaha agung PBB, mungkin menyertai Thaksin di London.

Thaksin mempunyai hartanah di London dan anak perempuannya, Pinthongta masih menuntut di sana.

Nasib anak lelaki tunggal Thaksin, Panthongtae bagaimanapun belum diketahui dan tidak dapat dipastikan sama ada beliau mengikut ibunya ke Singapura. Seorang lagi anak perempuan Thaksin, Pathongtae menuntut di Universiti Chulalongkorn.

“Thaksin melarikan diri ke London bagi mengelak tindakan tentera Thailand berikutan rampasan kuasa berkenaan. Thaksin sendiri sudah hilang pengaruh politik di negara itu,” kata sumber yang dipetik The Nation. – Agensi

BH 21.09.2006


PROFIL
Sondhi Boonyaratglin

# Dilahirkan pada 1946 di Bangkok dalam keluarga elit

# Moyangnya adalah pemimpin agama Islam pertama Thailand dua abad lalu

# Ibunya bertugas di istana

# Tamat pengajian di Akademi Tentera Diraja Chulachomklao pada 1969

# Melanjutkan pengajian ketenteraan di Amerika Syarikat.

# Menganggotai Kor Infantri Tentera Diraja sebelum dipilih mengetuai beberapa unit termasuk pasukan elit Pusat Perintah Khas Peperangan

# Dilantik Panglima Tentera Darat tahun lalu, sekali gus Muslim pertama memegang jawatan itu.

Wednesday, September 20, 2006

'single fighter'

Dua calon angkasawan tak dibenar kahwin

KUALA LUMPUR: Dua bakal angkasawan negara, Dr Sheikh Muszaphar Shukor dan Kapten Dr Faiz Khaleed, tidak dibenarkan berkahwin sehingga 2008 bagi memastikan mereka menumpukan perhatian sepenuhnya terhadap program itu.


Syarat itu terkandung dalam kontrak yang akan ditandatangani Dr Sheikh Muszaphar, 34, dan Dr Faiz, 26, sebelum ke Russia bagi menjalani latihan selama setahun pada 26 September ini.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr Jamaludin Jarjis, berkata syarat dalam kontrak yang kini dalam peringkat akhir itu, juga menghendaki Dr Sheikh Muszaphar dan Dr Faiz komited terhadap latihan sebelum berlepas ke Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS).

“Mereka akan menjadi duta angkasa negara apabila pulang ke tanah air untuk berkongsi pengalaman dengan rakyat terutama pelajar dalam usaha menyemarakkan lagi minat terhadap kajian sains angkasa,” katanya selepas merasmikan Majlis Pelancaran kerjasama Celcom-Vodafone-‘The Power Of Three’ di sini, semalam.

Pada 4 September lalu, Dr Sheikh Muszaphar yang juga Pegawai Perubatan Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) serta Dr Faiz, doktor gigi Angkatan Tentera Malaysia (ATM), diumumkan sebagai dua calon terakhir angkasawan negara selepas menjalani ujian di Russia.

Pemilihan mereka diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, yang menganggapnya sebagai detik penting dalam sejarah Malaysia, sekali gus membuktikan keupayaan negara mengisi agenda nasional terutama bagi membangunkan bidang sains dan teknologi.

Dr Sheikh Muszaphar dan Dr Faiz akan mengikuti latihan akhir di Star City, Moscow, termasuk tiga bulan mempelajari bahasa Russia, selain kajian sains dalam beberapa bidang seperti bioteknologi dan perubatan.

Seorang daripada mereka akan terpilih menyertai misi angkasa lepas kerajaan Russia selama lapan hari bermula 2 September tahun depan.

Mengenai resolusi berhubung garis panduan kehidupan di angkasa mengikut perspektif Islam yang pertama dirangka golongan akademik, ulama dan saintis Islam awal tahun ini, Dr Jamaludin berkata, perkara itu masih dalam perbincangan bersama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Beliau berkata, garis panduan itu akan diumumkan sebelum angkasawan negara berlepas ke ISS pada 2 September 2007.

Katanya, rakyat Malaysia boleh mula mengikuti perkembangan terkini kedua bakal angkasawan negara itu dalam laman web kementerian yang mula beroperasi bulan depan.

“Selain maklumat terkini keadaan mereka dan latihan yang dilalui, orang ramai juga boleh menyaksikan tayangan video bagaimana bakal angkasawan kita menjalani latihan,” katanya.

FAKTA NOMBOR
Angkasawan negara

RM95j - Kos program angkasawan pertama negara
RM3.7j - Insurans nyawa bakal angkasawan negara

BH 20.09.2006

Diari Warga Kota...

Anak membesar dalam kereta elak jalan sesak

KUALA LUMPUR 19 Sept. – Warga kota kini semakin gawat sehinggakan kereta adalah rumah kedua dan ada antara anak-anak membesar di dalamnya gara-gara keluar terlalu awal pagi bagi mengelak jalan sesak dan tiba di pejabat dan sekolah mengikut waktu.

Utusan Malaysia mendekati golongan itu untuk mengupas secara lebih terperinci dilema warga kota yang mencari rezeki di bandar kosmopolitan ini.

Tragedi yang menimpa pegawai kanan Commerce International Merchant Bankers Berhad (CIMB), Nor Hailini Yahya, 45, semalam menceritakan realiti tekanan kehidupan di ibu kota - ke pejabat awal pagi. Beliau maut apabila keretanya terhumban 25 meter di ruang letak kereta berhampiran pejabat, selepas tertidur seketika - kelaziman biasa datang awal untuk elak kesesakan.

*Kes 1

Kakitangan kerajaan, Hajariah Abu Kasim, 45, berkata, setiap pagi beliau bangun seawal pukul 5.30 pagi untuk ke pejabatnya di Jalan Duta.

Beliau yang tinggal di Sungai Buloh berkata, perkara tersebut dilakukannya sejak 23 tahun lalu dan berterusan sehingga sekarang.

‘‘Boleh saya katakan anak-anak saya juga membesar dalam kereta dan di sekolah kerana mereka belajar di sekolah yang jauh dari rumah dan perlu bangun awal pagi setiap hari untuk ke sekolah bersama saya.

“Memang kasihan apabila memikirkan keadaan mereka yang terpaksa berbuat begitu dan berada di sekolah sehari suntuk. Tetapi itu adalah cara terbaik bagi memastikan mereka sentiasa dekat dengan kita,’’ jelasnya.

Tambah Hajariah, bagi memastikan anak-anaknya selesa sepanjang berada di sekolah, beliau akan menyediakan beberapa persalinan pakaian untuk bersukan dan kelas petang.

Katanya, walaupun beliau dan suami mampu untuk menggaji pembantu rumah tetapi mereka enggan berbuat demikian kerana kurang yakin dengan orang luar.

Ujarnya, semua pihak perlu menerima hakikat bahawa kesesakan jalan raya adalah sebahagian daripada watak yang akan terus mewarnai kehidupan di Kuala Lumpur.

*Kes 2

Seorang lagi kakitangan kerajaan, Sabariah Mohamed, 37, memberitahu peningkatan bilangan kereta di ibu kota menjadikan kesesakan jalan raya bertambah teruk.

Beliau bagaimanapun tidak menyalahkan keadaan itu kerana menyedari kereta adalah satu keperluan dan mampu dimiliki setiap orang.

‘‘Walaupun tempat kerja saya tidak jauh dari pejabat, saya akan memastikan kerja rumah saya selesai selewat-lewatnya pukul 6.45 pagi.

‘‘Sekiranya lewat 10 minit, saya harus bersedia menghadapi kesesakan jalan raya di Jalan Kuching,’’ katanya yang tinggal di Selayang.

Ibu kepada tiga anak ini mengakui hanya kesabaran yang menebal sahaja dapat membantu dirinya menghadapi keadaan tersebut.

*Kes 3

Zunaida Mydin, 38, pula, memilih menggunakan motosikal ke tempat kerja.

Menariknya, Zunaida juga menggunakan kereta tetapi hanya untuk menghantar anak-anaknya ke sekolah.

‘‘Selepas hantar anak ke sekolah, saya dan suami akan ke rumah rakan di Sentul untuk mengambil motosikal dan terus ke tempat kerja.

‘‘Dengan cara ini saya rasa akan dapat mengelakkan kesesakan jalan raya dan boleh lebih awal ke sekolah,’’ ujarnya.

Biarpun begitu, dia yang tinggal di Segambut tetap perlu bangun seawal pukul 5.30 pagi kerana mahu menguruskan persekolahan anak-anaknya.

Sekiranya hari hujan, Zunaida tiada pilihan lain dan terpaksa menggunakan kereta yang pastinya berdepan dengan kesesakan jalan raya.

Tambahnya, pembukaan banyak jalan raya baru masih gagal menyelesaikan masalah kesesakan yang telah lama menghantui penduduk Kuala Lumpur.

*Kes 4

Kakitangan swasta, Hamdan Samion, 35, berkata, bangun seawal 6 pagi adalah perkara biasa bagi dirinya sejak mula bekerja.

Ini kerana katanya, dia mahu sampai awal dan mendapatkan tempat letak kereta yang terdekat dengan pejabatnya.

‘‘Selesai hantar anak, saya terus bergegas ke pejabat untuk dapatkan tempat letak kereta paling dekat dengan pejabat.

‘‘Biasanya saya letak kereta di tepi jalan dan selalu kena saman dengan penguatkuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

‘‘Setiap kali mereka (penguatkuasa DBKL) datang, pasti saya akan terima surat saman,’’ katanya.

Biarpun begitu, Hamdan tidak pernah serik kerana tempat letak kereta yang disediakan DBKL tidak mencukupi.

‘‘Walaupun mereka ada buka tempat letak kereta yang baru beberapa bulan lalu, keadaan di sini masih sama,’’ katanya sambil membelek surat saman yang ditinggalkan pada bilah pengelap keretanya.

UM - 20.09.2006

Monday, September 18, 2006

Pokok Pinang berwajah Manusia?

GEMPAR: Wajah berupa manusia jelas kelihatan pada batang pokok pinang di Kampung Paya, Kepala Batas.

Tuesday, September 12, 2006

Fadhilat Poligami

‘Poligami menjadikan saya lebih sihat’

UNAIZAH, Arab Saudi 10 Sept. – Mempunyai seorang isteri merupakan satu amalan biasa dalam masyarakat Islam. Berkahwin dua atau tiga mengundang masalah tetapi berkahwin empat dan hidup bahagia dengan pendapatan sederhana sebanyak RM3,797 (4,000 riyal) bukan sahaja jarang berlaku tetapi sukar dipercayai.

Abu Mahdi dari Unaizah di daerah Qasim, Arab Saudi menjelaskan rahsia kejayaannya berpoligami.

Menurut Abu, ia bukanlah tentang wang, tetapi lebih penting lagi, tentang rasa bersyukur dan berpuas hati dengan apa yang dikurniakan Tuhan.

Pada usia 62 tahun, Abu mempunyai empat isteri dan 25 anak, dengan jumlah keahlian keluarganya seramai 70 orang setelah mengambil kira bilangan cucu-cucunya.

Ditanya bagaimana dia menyara keluarganya yang besar dengan pendapatan yang sederhana, Abu menjawab dengan memetik satu peribahasa Arab: “Buka kaki mengikut lebar tilam anda.”

Abu berkahwin dengan isteri pertama pada usia 26 tahun. “Sebelum berkahwin, bakal isteri saya dan keluarganya berfikir dan berbincang secara mendalam tentang diri saya, asal usul dan keturunan saya,” katanya.

Sepuluh tahun kemudian, Abu berkahwin kali kedua, disusuli perkahwinan ketiga pada usia 41 tahun. Perkahwinannya keempat ialah dengan seorang gadis berusia 20 tahun ketika usianya 59 tahun.

“Sebagai penganut Islam, saya percaya setiap anak dilahirkan dengan takdirnya sendiri,” jelasnya kepada laman web Arab News.

Ditanya sebab berpoligami, Abu berkata, dia mahu ramai zuriat.

“Nabi Muhammad s.a.w. menggalakkan para pengikutnya mempunyai ramai anak,” kata Abu. “Lebih ramai anak dilahirkan, maka lebih ramailah umat Islam,” tambahnya.

Tanggapan

Abu menolak tanggapan amalan berpoligami hanyalah untuk mendapatkan kepuasan seks. “Soal seks tidak pernah timbul dalam perkahwinan saya,” jelas Abu.

“Saya dikurniakan isteri-isteri yang baik dan doktor-doktor berkata poligami telah menjadikan saya lebih sihat,” katanya.

Anak lelaki sulungnya, Mahdi yang berusia 31 tahun berkata, dia dan adik-beradiknya tidak membantah jika bapa mereka berhasrat untuk berkahwin lagi.

Abu berkata, berkahwin lebih daripada seorang mempunyai kelebihannya. “Berkahwin dengan seorang lagi wanita adalah umpama memakai jubah baru,” katanya sambil tersenyum.

Ditanya bagaimana dia mengatasi jurang perbezaan usia antara dirinya dengan isteri-isteri mudanya, Abu menjawab, caranya dengan memahami setiap mereka.

“Adalah amat penting bagi suami dan isterinya untuk mengetahui dan memahami apa yang merunsingkan dan mengganggu fikiran mereka bagi mengelakkan daripada menimbulkan sebarang masalah atau perselisihan faham,” tegasnya.

Menurut Abu, “terdapat dua jenis wanita iaitu wanita yang membuat kehidupan anda sentiasa ceria dan wanita yang menyusahkan hidup anda.”

Dia percaya kejujuran merupakan kunci kebahagian kehidupan berpoligami.

“Saya tidak pernah berbohong setiap kali saya melamar calon isteri baru saya. Saya berterus terang kepada keluarganya bahawa saya sudah berkahwin,” katanya.

Abu membahagikan masanya sama rata dengan tinggal secara bergilir-gilir di rumah keempat-empat isterinya itu. “Seminggu sekali, saya akan mengumpulkan kesemua isteri dan anak-anak saya dalam sebuah rumah,” katanya.

Abu berkata, dia sentiasa berhubung atau menemui kesemua anak lelaki dan perempuannya dari semasa ke semasa dalam usaha menjalinkan hubungan rapat dengan mereka. – Agensi

UM 11.09.2006