Thursday, January 26, 2006

Gong Xi Fa Cai

Tanda tanya....

Salah satu sepanduk ucapan Gong Xi Fa Cai di Jalan Duta, Kuala Lumpur yang menimbulkan tanda tanya orang ramai.

RAMAI mungkin tertanya-tanya apakah makna isi kandungan sepanduk yang kini dipasang di tiang-tiang lampu jalan-jalan utama di ibu negara ini.

Ini kerana ia turut menampilkan wajah Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan pemimpin parti komponen Barisan Nasional (BN) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Sebenarnya isi kandungannya ialah kata ucapan Selamat Tahun Baru Cina atau yang biasa ditulis dalam ejaan rumi sebagai `Gong Xi Fa Cai'.

Alangkah lebih elok jika ucapan itu turut ditulis dalam bahasa kebangsaan yang dapat difahami oleh semua orang dan telah diguna pakai sejak zaman berzaman.

Wednesday, January 25, 2006

Siti vs Sharifah, Siapa yang menang?

Saya tak kenal pun Siti Nurhaliza’

Oleh Hanisah Selamat

PETALING JAYA: “Kami tidak pernah berperang, jadi tidak timbul soal perdamaian. Malah Kak Pah tak pernah pandang dia sebagai kawan sebab Kak Pah tak mengenalinya,” kata Datuk Sharifah Aini Syed Jaafar ketika ditanya soal hubungannya dengan Siti Nurhaliza Tarudin.

Bagaimanapun, Sharifah Aini mengakui kesal dengan sikap Siti yang menurutnya pernah mengeluarkan kenyataan seakan menuduh beliau penulis e-mel fitnah ketika kes itu masih dalam proses mahkamah.

“Siti pernah menyatakan ‘saya lega orang yang menulis e-mel ini sudah didakwa’. Siti pasti ke Kak Pah yang tulis e-mel itu? Sebenarnya Kak Pah kecewa dengan kenyataan itu. Tidak adil dia menuding saya sedangkan belum tahu siapa bersalah.

“Sebagai orang yang lebih dewasa daripadanya dan sudah lama berada dalam industri seni, saya amat jauh hati. Tambahan pula kenyataannya disiarkan di televisyen dan akhbar. Kenapa cakap begitu sedangkan kes berjalan,” katanya di kediamannya di sini, semalam.

Kelmarin, biduanita negara itu dilepas tanpa dibebaskan oleh Mahkamah Majistret daripada tuduhan menyebarkan e-mel fitnah terhadap Siti mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan.

Sharifah Aini berkata, tidak mungkin dia boleh mesra jika terserempak dengan Siti berikutan kes itu. Namun, beliau tidak akan membantah jika perlu menjayakan persembahan bersama kerana prinsip profesionalisme.

“Jika Siti rasa dia dianiaya, perasaan itu lebih dirasai saya kerana dituduh, diheret dan keluar masuk mahkamah,” katanya.

Sementara itu, kakak ipar merangkap pengurus Siti, Rozi Abdul Razak, berkata masyarakat harus faham ia bukan membabitkan pergaduhan antara penyanyi itu dengan Sharifah Aini kerana ketika membuat laporan polis, mereka tidak tahu angkara siapa.

Katanya, apabila kes itu tiba di mahkamah, orang luar sudah salah tafsir hingga mengatakan kedua-duanya bergaduh sedangkan hakikatnya Siti mahu membersihkan namanya.

“Macam ni la...susah nak cakap sebab orang salah tafsir terhadap keadaan ini. Tapi kalau tak bercakap, rentetan kejadian ramai yang tak faham. Ia bermula dengan e-mel tersebar. Siti menjalankan haknya dengan membuat laporan polis.

“Dia cuma nak bersihkan nama... Saya tak tahu apa tindakannya selepas ini kerana dulu pun Siti berfikir dua minggu untuk membuat laporan,” katanya.

Petikan: Berita Harian 25 Januari 2006

Internet disalah guna :P

20% kakitangan awam Johor salah guna Internet

JOHOR BAHRU 24 Jan. - Sebanyak 20 peratus kakitangan awam yang berkhidmat di jabatan kerajaan di negeri ini didapati menyalahgunakan Internet sehingga menyebabkan sistem komunikasi itu menjadi lembap dan menyukarkan urusan antara kerajaan dengan orang awam.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datin Paduka Norsiah Haron berkata, kakitangan awam terbabit didapati menggunakan Internet bagi tujuan tertentu seperti muat turun gambar, lagu dan juga melayari laman web lucah sehingga sistem tersebut menjadi lembap.

Menurut beliau, masalah itu menyebabkan perkhidmatan yang diberikan kepada orang ramai sering terganggu kerana kelembapan sistem berkenaan.

``Namun kita mempunyai satu pasukan yang dapat mengesan mereka melakukan perbuatan itu berdasarkan ID (pengenalan diri) yang terdapat pada komputer masing-masing.

``Sehubungan itu para pegawai dan kakitangan awam dinasihatkan supaya menggunakan Internet sebaik mungkin terutamanya untuk berurusan dengan orang awam,'' katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perjumpaan Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman dengan pegawai dan anggota perkhidmatan awam Johor di Kompleks Islam di sini hari ini.

Kira-kira 1,500 pegawai dari pelbagai jabatan dan agensi kerajaan hadir pada majlis itu.

Norsiah berkata, perkara itu diberikan perhatian serius oleh pihaknya kerana jika sistem tersebut menjadi lembap maka pelbagai tugas melibatkan teknologi itu tergendala khususnya urusan dengan orang awam.

Beliau menasihati semua ketua jabatan supaya bertindak mengawasi setiap kakitangannya melayari Internet supaya ia tidak disalahgunakan dan mereka yang didapati melakukan kesalahan boleh dikenakan tindakan.

Selain itu beliau juga meminta para pegawai dan kakitangan supaya mengelak membuang masa untuk minum pagi dan petang yang boleh menjejaskan mutu perkhidmatan awam.

Jelas beliau, perkara itu dilihat semakin berkurangan berikutan langkah-langkah penambahbaikan untuk meningkatkan prestasi perkhidmatan awam telah diambil bagi memastikan mutu kerja setiap kakitangan dan pegawai berada pada tahap memuaskan.

Petikan: Utusan Malaysia 25 Januari 2006

Tuesday, January 24, 2006

Nyonya Tahir Murtad?

Nyonya Tahir bukan Islam -- Mahkamah Syariah benarkan si mati disemadi cara Buddha

Oleh TARMIZI ABDUL RAHIM

SEREMBAN 23 Jan. - Mahkamah Tinggi Syariah di sini hari ini memutuskan bahawa Nyonya Tahir, wanita Melayu beragama Islam tetapi didakwa mengamalkan cara hidup orang Cina dan ajaran Buddha sejak lebih 80 tahun lalu, bukan beragama Islam semasa kematiannya.

Hakim Mohd. Shukor Sabudin dalam keputusannya juga membenarkan mayat Nyonya yang disimpan di rumah mayat Hospital Tampin sejak kematiannya Jumaat lalu, diserahkan kepada keluarga wanita itu untuk disemadikan mengikut agama Buddha.

Beliau berkata, keputusan itu dibuat berdasarkan bidang kuasa Mahkamah Syariah untuk mendengar dan membicarakan kes-kes berkaitan dengan kepentingan orang Islam termasuk masalah akidah di negara ini.

Katanya, keputusan itu juga berdasarkan afidavit anak bongsu Nyonya, Chiang Ah Fatt, 40, dan keterangan bersama kakak Ah Fatt, Kwang Ying, 43, di mahkamah hari ini.

``Mahkamah yang berpuas hati dengan keterangan-keterangan tersebut memutuskan bahawa Nyonya yang memegang kad pengenalan bernombor 180425-04-5054 @ 02033418 adalah bukan beragama Islam semasa kematiannya.

``Mahkamah juga membenarkan keluarga dan warisnya menguruskan pengebumian Nyonya. Hospital Tampin juga diarahkan supaya menyerahkan mayat ini kepada keluarganya,'' kata beliau.

Beliau berkata demikian dalam penghakiman lisan selepas mendengar permohonan sebelah pihak (ex-parte) oleh Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JAINS) serta pengarahnya berhubung pengisytiharan agama Nyonya.

Jumaat lalu, plaintif memohon keputusan mahkamah bagi menentukan status agama Nyonya dan permintaan keluarganya bagi dikebumikan mengikut adat Cina dan agama Buddha.

Plaintif-plaintif diwakili oleh peguam syarie, Siti Harlina Shahran manakala peguam syarie, Koo Chin Nam yang dibantu oleh Kevin Koo S. K. bertindak sebagai peguam pemerhati bagi keluarga Nyonya.

Sementara itu, peguam syarie, Muhamad Burok yang juga Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia bertindak sebagai peguam pemerhati bagi pihak persatuan itu.

Terdahulu, Hakim Mohd. Shukor memetik tulisan ulama Islam, Sheikh Abu Sujak dari Kitab Kifayatul Akhyar yang bermaksud: ``Barang siapa yang keluar daripada Islam, ia diminta bertaubat tiga kali. Jika bertaubat, dan jika tidak dia dibunuh, dan tidak boleh dimandikan, tidak boleh disembahyangkan dan tidak boleh dikuburkan di perkuburan orang Islam.''

Pada prosiding pagi ini, Siti Harlina memaklumkan kepada mahkamah bahawa Ah Fatt mengemukakan afidavit bagi meminta supaya mayat ibunya itu disemadikan mengikut adat Cina dan agama Buddha.

Antara lain kandungan afidavit itu ialah keputusan laporan penyiasatan Pejabat Agama Islam Alor Gajah, Melaka pada 7 Mei 1986 mengenai laporan bersekedudukan antara Nyonya dan suaminya, Chiang Meng.

Dokumen penyiasatan itu ditulis oleh Pemeriksa Hal Ehwal Agama 1 Daerah Alor Gajah, Melaka, Ab. Azit Abdullah melalui kadi daerah yang dialamatkan kepada Pengarah Jabatan Agama Islam Melaka.

Sementara itu, Kwai Ying berkata, ibunya membuat wasiat dalam akuan bersumpah bahawa dia tidak akan kembali kepada agama Islam dan meminta disemadikan mengikut agama Buddha.

Dalam pada itu, Pegawai Agama Alor Gajah Melaka, Kamarul Saman Yaacub, 42, yang turut dipanggil memberi keterangan, mengesahkan laporan yang dibuat oleh Ab. Azit itu.

Beliau turut mengemukakan salinan asal dokumen itu kepada mahkamah.

Nyonya, 89, meninggal dunia kerana sakit tua kira-kira pukul 4 petang, Jumaat lalu di rumahnya di Taman Indah, Tampin dekat sini.

Status agama Nyonya disedari oleh anggota polis di Balai Polis Tampin apabila anak dan cucunya datang membuat laporan kematian.

Ini kerana dalam salinan kad pengenalan Nyonya jelas menunjukkan dia Melayu dan beragama Islam sedangkan anaknya menggunakan nama Cina dan beragama Buddha.

Petikan: Utusan Melayu 24 Januari 2006

Monday, January 23, 2006

Miss Muslim

Tatarstan nobat Ratu Muslim

MOSCOW: Apabila disebut ratu cantik, pasti ramai terbayangkan liuk lentuk gadis berbaju mandi yang seksi, tetapi itu bukanlah ciri utama kemenangan ‘Miss Muslim’ atau Ratu Muslim di Tatarstan - sebuah negara di sebelah timur Eropah.

Sebaliknya, pertandingan ratu cantik itu menekankan kecerdikan, peri laku sopan, bertudung, pengetahuan agama Islam, kebolehan mengaji al-Quran, memasak dan menjahit di kalangan 56 peserta semuda 15 tahun yang menyaksikan Dilar Sadiqova (gambar), 17, muncul pemenang.

“Saya memutuskan menyertai pertandingan ini bagi menyampaikan pesanan wanita Islam juga mampu berdiri, biarpun di landasan pertandingan ratu cantik asalkan ia bermoral dan dihormati.

“Sehubungan itu, mereka yang bukan Islam boleh mendapat gambaran sebenar agama suci Islam ini,” kata pelajar sekolah menengah yang berhasrat menjadi guru, kepada media, selepas kemenangannya, kelmarin.

Lebih menarik, majlis itu diadakan di dewan khas Masjid Besar di Kazan, ibu negara Tatarstan dengan kesemua penontonnya adalah wanita.

Cendekiawan Muslim sebelum ini ada menggesa negara Islam menganjurkan pertandingan ‘Miss Morality’ bagi mematahkan minat umat Islam terhadap pertandingan ratu cantik ala Barat

Penganjur berkata, pertandingan itu tidak menetapkan pemakaian baju mandi seperti lazimnya, sebaliknya berpakaian sopan dan bertudung.

Malah, kecerdikan dan pengetahuan mendalam agama Islam adalah syarat utama pertandingan Ratu Cantik Muslim di Tatarstan yang mana 60 peratus daripada empat juta penduduknya, beragama Islam.

Ini termasuk ujian hafalan dan mengaji ayat suci al-Quran selain menjawab soalan mengenai kebudayaan.

Peserta turut menduduki ujian memasak dan menjahit bagi mendapatkan markah tambahan.

Hanya lapan gadis berusia 15 hingga 19 tahun berjaya ke peringkat akhir dalam pertandingan sukar itu.

Ketua juri, Saida Abukofa berkata, pertandingan itu bertujuan menggalakkan lebih ramai gadis Muslim mengikuti ajaran sebenar Islam, termasuk mengenakan tudung. – Agensi

Petikan: Berita Harian 23 Januari 2006

Friday, January 20, 2006

Isu Telefon Bimbit

Isu telefon bimbit di sekolah adalah isu yang remeh temah. Masing-masing mula membuat andaian demi andaian, keburukan dari penggunaan telefon bimbit. Mengapa tidak dilihat dari sudut positif. Kalau nak lihat dari negatif, penggunaan komputer dan internet di sekolah, lebih banyak negatif dari positif. Mengapa ini tidak dilarang sama sekali. Dengan menggunakan alasan "celik IT". Maka murid-murid sekolah boleh mengakses internet seperti porno, ideologi songsang (blackmetal) dsb.

Masalah yang utama tak di utamakan, malah di perlekehkan oleh sebahagian.

Apakah masalah yang patut diutamakan di sekolah?
  • Masalah moral remaja sekolah (blackmetal, dadah, dll.).
  • Budaya samseng.
  • Masalah tak reti membaca (3M Lemah).
  • Isu pengajaran Matematik & Sains (matapelajaran yang susah) menggunakan Bahasa Inggeris (murid di luar bandar masih lemah). Matapelajaran yang susah, diajar dengan menggunakan bahasa yang ramai masih lemah menguasainya, maka bertambahlah susahnya. Mengapa tidak ditambah sahaja masa untuk Bahasa Inggeris? Mungkin boleh juga, Bahasa Melayu diajar di dalam Bahasa Inggeris :P.
  • Kes pembinaan sekolah yang tak siap dan tak ikut spesifikasi.

Wednesday, January 18, 2006

Mari makan "KARI KEPALA IKAN" :P

Kari boleh sekat sel kanser

WASHINGTON: Penyelidikan mendapati kari dapat mencegah barah prostat kerana ia mengandungi bahan kimia yang penting untuk melawan barah manakala satu lagi kajian mengatakan pendedahan kepada cahaya matahari juga mengurangkan risiko lelaki kena kanser itu.

Di Pusat Kanser California Utara, pakar Kursus Perubatan Keck Universiti Southern California dan Pusat Kanser Universiti Wake Forest mendapati sinaran matahari menambah vitamin D pada kulit sekali gus membantu mengurangkan risiko kanser prostat.

Menggunakan pengukur ‘reflectometer’, pakar mendapati orang yang terdedah paling lama kepada cahaya matahari kurang separuh berisiko kena barah itu, puratanya 20 jam seminggu atau lebih.

Bagi penyelidik di Universiti Rutgers pula, sayur-sayuran yang dicampur dengan serbuk kari berkesan dalam merawat barah prostat, barah kedua penyebab kematian di kalangan lelaki Amerika Syarikat (AS).

Akhbar Washington Times melaporkan, gabungan itu mengeluarkan kimia penting ‘yang mempunyai potensi sebenar bagi rawatan dan pencegahan barah prostat.

Sayur-sayuran mengandungi kimia ‘phenethyl isothiocyanate’ atau PEITC manakala kari mengandungi ‘curcumin’, bahan kuning dalam rempah.

Kedua-duanya dikelaskan sebagai ‘phytochemicals’ - bahan tidak berzat dalam tumbuhan yang mempunyai kualiti pertahanan, antioksidan atau antipenyakit.

“PEITC dan curcumin, sendirian atau digabungkan, menunjukkan kualiti penting pencegahan barah pada tikus makmal dan gabungan PEITC dan curcumin berkesan dalam merawat barah prostat,” kata Ah-Ng Tony Kong, penulis kajian itu dan juga profesor jabatan farmasi di Rutgers.

Walaupun setengah juta kes baru barah prostat muncul di AS setiap tahun, insiden dan kadar kematian tidak berkurangan di sebalik penyelidikan selama berdekad-dekad mengenai rawatan dan penyembuhan.

Kes lanjutan sel barah prostat ‘hampir tidak memberi tindak balas’ kepada kimoterapi atau rawatan radiasi, kata Kong.

Dia mendapat ilham mengkaji amalan pemakanan sebagai terapi tambahan selepas mendapati penyakit itu jarang berlaku di India.

Tahun lalu, Universiti Texas mendapati kari menghalang pertumbuhan sel barah kulit dan barah payu dara manakala Universiti California di Los Angeles mendapati ia menghentikan penyebaran plak otak menyakitkan di kalangan pesakit Alzheimer’s.

Dia yang sebelum ini menemui bukti meyakinkan berkata, bahawa kedua-dua kimia menghalang pertumbuhan sel barah dalam ujian di makmal.

Kong kemudian menguji teori ke atas tikus yang disuntik dengan sel barah. Tiga kali seminggu selama sebulan, tikus itu kemudiannya disuntik dengan PEITC dan curcumin. Secara berasingan, bahan itu ‘membantutkan pertumbuhan tumor barah’ kata Kong.

“Penggunaan PEITC dan curcumin menunjukkan kekuatan lebih kuat (bagi melawan barah),” katanya. – Agensi

Petikan: Berita Harian 18 januari 2006

Ahli Politik Tidak Jujur?

Ramai anggap ahli politik tidak jujur

GENEVA: Kebanyakan penduduk dunia berpendapat pemimpin dunia dan ahli politik tertentu tidak jujur dan mereka terlalu berkuasa serta mudah dipengaruhi, kata kajian yang dijalankan di 60 negara bagi Forum Ekonomi Dunia (WEF).

Kajian oleh Gallup bertajuk ‘Suara Rakyat’ mendapati kira-kira 61 peratus berpendapat pemimpin politik tidak jujur, berkurangan daripada 63 peratus pada 2004.

Kira-kira 40 peratus yang ditanya menyatakan pendapat yang sama di kalangan pemimpin ekonomi berbanding 43 peratus pada 2004.

Kajian yang dijalankan pada November dan Disember di kalangan 50,000 orang di 60 negara dan menurut WEF, keputusan itu mewakili pandangan lebih dua bilion penduduk.

Keputusan berkenaan dikeluarkan dalam satu kenyataan sempena mesyuarat tahunan forum berkenaan di Davos, Switzerland yang akan dihadiri lebih 2,200 pemimpin dari bidang perniagaan, politik dan masyarakat dengan bertemakan ‘Pemerintahan Kreatif’.

Lebih separuh daripada mereka yang ditanya berpendapat ahli politik bertindak balas terhadap desakan masyarakat yang lebih berkuasa daripada mereka dan mereka terlalu banyak kuasa dan tanggungjawab. – AFP

Petikan: Berita Harian 18 Januari 2006

Tuesday, January 17, 2006

Bau Ketiak!

Macam-Macam: Bau ketiak wanita seksi

LONDON: Ramai beranggapan seksi wanita itu terletak pada bentuk badan, bibir atau matanya.

Namun sekumpulan lelaki di Prague sebaliknya mempunyai cita rasa berbeza dengan memilih bahagian yang tidak mungkin terlintas pada minda ramai, baik lelaki atau pun wanita sendiri – bau ketiak.

Pelik bunyinya tetapi itulah hakikat berdasarkan hasil penyelidikan sekumpulan saintis di Universiti Charles, Prague yang disiarkan edisi terbaru Ethnology, semalam.

Menerusi kajian itu, 42 responden lelaki disuruh mencium sampel bau ketiak yang dicalitkan pada kapas.

Mereka diminta mengukur ciri-ciri menariknya dan kekuatan baunya.

Terbukti, kumpulan lelaki itu lebih tertarik kepada bau peluh ketiak wanita yang berada pada tahap paling subur.

Mereka menganggap bau itu sebagai ciri seksi wanita. – Agensi

Petikan: Berita Harian 17 Januari 2006

Friday, January 13, 2006

'Lapar' Duit

Soros sentiasa `lapar' mencari wang

SINGAPURA, 12 Jan. - Jutawan dan spekulator kewangan Amerika, George Soros, mengaku beliau tidak mampu menahan diri daripada mencari lebih banyak wang.

Lelaki yang dituduh oleh banyak pihak sebagai dalang yang menyebabkan berlakunya krisis kewangan Asia pada 1997 ini (walaupun beliau menafikannya), mengaku bahawa sebahagian besar kehidupan beliau tertumpu terhadap usaha mencari wang.

Beliau menggunakan istilah `lapar' bagi menjelaskan tentang keadaan yang dilaluinya semasa zaman remaja.

``Apabila saya lapar, saya perlukan wang. Apabila anda lapar, tuntutan ini (keperluan mencari wang) seolah-olah meruntun anda dengan begitu hebat sekali,'' katanya di sini baru-baru ini.

Soros mula membabitkan diri dalam perniagaan mata wang pada 1945. Pada 1992, beliau memperoleh AS$1.1 bilion dalam masa sehari hanya dengan membuat spekulasi tentang penurunan nilai pound sterling.

Bercakap pada dialog masyarakat terbuka di sini, Soros berkata, kekayaan yang dimilikinya sekarang membolehkan beliau memperjuangkan hasratnya untuk mewujudkan masyarakat terbuka di kalangan negara yang sedang naik.

``Dan sekarang saya berada di sini, saya menghabiskan 50 tahun pertama hidup saya mencari wang, semata-mata untuk mencari wang, dan saya memang sentiasa lapar semasa masih muda...dan kemudian saya tidak dapat berhenti daripada mencari wang,'' katanya bagi menjawab soalan sama ada kekayaan menjadi pra-syarat untuk melahirkan masyarakat terbuka.

``Saya berpendapat memang ada kaitan antara kemakmuran dan masyarakat terbuka kerana masyarakat yang makmur perlu terus makmur untuk membolehkannya bersikap terbuka,'' katanya.

Soros adalah pengasas Open Society Institute yang wujud sejak 25 tahun lepas. Institut ini mempunyai rangkaian pertubuhan amal yang menghulurkan derma dan bergerak aktif di kira-kira 50 negara.

Menurut fahaman Soros, masyarakat terbuka adalah masyarakat yang memberi kebebasan untuk melahirkan pendapat, bertolak ansur mengenai idea baru dan memiliki sikap terbuka mengenai kebebasan perdagangan.

``Saya dapat idea mengenai masyarakat terbuka ini sebelum saya menjadi kaya lagi. Hanya setelah saya berjaya, barulah saya berupaya berusaha untuk mencapainya. Ramai juga orang menumpukan hidup mereka terhadap perkara ini walaupun mereka tidak kaya,'' katanya.

Soros menganggap Singapura sebagai antara negara yang tidak layak menjadi masyarakat terbuka dengan berkata tindakan republik ini menggunakan saman fitnah bagi mengekang gerakan pembangkang menjadi halangan besar terhadap kebebasan bersuara dan kebebasan melahirkan pendapat. - Bernama

Petikan: Utusan Malaysia 13 Januari 2006

Thursday, January 05, 2006

BIGfoot

Media antarabangsa jejak Bigfoot
Oleh Abdul Razak Raaff

JOHOR BAHRU: Beberapa agensi media antarabangsa termasuk Perbadanan Penyiaran British (BBC) dan Reuters, berminat membuat liputan dan menjejaki ‘Bigfoot' yang didakwa pernah dilihat oleh beberapa Orang Asli di hutan simpan negeri ini.

MACAM INI: Cungka melakar Bigfoot berdasarkan gambaran rakannya yang mendakwa melihat makhluk itu di hutan simpan Johor.

Selain itu, sebuah pertubuhan antarabangsa berpangkalan di Singapura yang mengkhusus dalam kajian fenomena luar biasa dan beberapa penyiasat persendirian Britain turut berminat membuat penyelidikan mengenai makhluk itu.

Mereka kini mengumpul maklumat dan berhubung dengan pejabat Perbadanan Taman Negara Johor (PTNJ) bagi mendapatkan kebenaran memasuki hutan simpan di negeri ini untuk memulakan kajian.

Minat itu timbul berikutan laporan media mengenai beberapa Orang Asli di hutan simpan Johor yang mendakwa pernah terserempak makhluk gergasi berbulu itu pada Ogos dan November lalu.

Pengarah PTNJ, Hashim Yusof, berkata BBC dan Reuters ada menghubunginya melalui telefon untuk mendapatkan maklum balas dan mengumpul pelbagai maklumat serta gambaran mengenai makhluk itu.

Katanya, mereka juga menyatakan hasrat untuk membuat kajian dan penyelidikan mengenai makhluk yang dipercayai Bigfoot itu termasuk menemuramah Orang Asli yang mendakwa pernah terserempak dengannya.

“Ketika menghubungi saya, mereka meminta pelbagai maklumat mengenai lokasi, rupa bentuk serta pendapat dan pandangan saya mengenai kewujudan Bigfoot, selain meminta kebenaran masuk ke hutan dan melakukan penyelidikan.

“Bagaimanapun, saya memberitahu mereka perlu mendapatkan kebenaran daripada kerajaan negeri termasuk Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Hashim berkata, PTNJ hanya boleh bertindak sebagai penyelaras kepada pihak yang berminat membuat penyelidikan, itupun selepas mendapat arahan daripada kerajaan negeri.

Beliau berkata, hasrat pihak luar negara membuat kajian mengenai Bigfoot itu ialah untuk memastikan sama ada makhluk itu benar-benar wujud di sini.

“Malah ada antara mereka bertanya sama ada berita kewujudan Bigfoot itu hanyalah gimik perbadanan bagi menarik kedatangan pelancong asing ke kawasan eko-pelancongan di Johor.

“Saya menjelaskan bahawa kita hanya percaya kepada kebenaran dan sama ada makhluk itu wujud atau tidak, ia perlu dibuktikan menerusi kajian saintifik serta penemuan bukti fizikal sahih,” katanya.

Hashim berkata, PTNJ akan memaklumkan kepada Abdul Ghani serta Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Alam Sekitar negeri, Freddie Long, mengenai minat media asing untuk membuat liputan mengenai Bigfoot itu minggu depan.

BIGFOOT yang didakwa dilihat di California Utara pada 1967.

Sementara itu, pemuda Orang Asli yang dikenali sebagai Cungka berkata, kawannya, seorang pemandu pelancong yang dikenali sebagai Azhar dari Gelang Patah, mendakwa pernah terserempak Bigfoot, ketika membawa sekumpulan pelajar menyertai perkhemahan hutan di Kota Tinggi pada Oktober lalu.

Azhar yang sering membawa masuk pelancong untuk kegiatan merentas hutan memberitahu Cungka, dia dan anak saudaranya ketika perkhemahan itu melihat sekumpulan monyet bersama Bigfoot itu.



FAKTA:
  • Masyarakat Orang Asli di Johor memanggil Bigfoot sebagai `Orang Mawas’, `Orang Utan’, `Hantu Jarang Gigi’ dan `Siamang’.
  • Mereka yang mendakwa pernah melihatnya menggambarkan makhluk itu bertubuh tegap dan besar; gigi besar; mata warna merah; bulunya berwarna perang gelap atau merah kehitaman yang panjang meliputi seluruh tubuh dan ketinggiannya antara 3 meter hingga 3.6 meter.
  • Makhluk berkenaan tidak menyerang atau mengganggu manusia sebaliknya malu jika terserempak dengan manusia.
  • Ia hanya makan pucuk kayu muda dan akan menggosok badannya di kulit pokok kayu, terutama pokok merbau bagi menghilangkan kegatalan pada tubuh.
  • Biasanya ia hidup dalam kumpulan satu keluarga termasuk ibu bapa dan anak serta berpindah randah.
  • Masyarakat Orang Asli menganggap diri mereka bertuah jika dapat bertemu dengan makhluk itu kerana bukan semua Orang Asli boleh terserempak dengan makhluk itu.

Antara lokasi Bigfoot ditemui di hutan simpan di Johor
  • Sungai Kangkar, anak Sungai Mersing pada 1996.
  • Sungai Kinchin, anak Sungai Endau, Mersing pada 2001.
  • Sungai Sedili, Kampung Mawai, Kota Tinggi pada November 2005.
  • Sungai Madek, Kahang, Kluang pada Ogos dan Disember 2005.

Petikan: Berita Harian 5 Januari 2006

Tuesday, January 03, 2006

Teh ada Umpph!

Teh tarik antara punca golongan muda Malaysia diserang strok

KUALA LUMPUR 2 Jan. - Selain membawa pelbagai harapan, tahun 2006 membawa khabar menggerunkan kepada rakyat Malaysia iaitu semakin ramai golongan muda di negara ini terdedah kepada serangan strok antaranya akibat kegemaran meminum teh tarik.

Pakar fisioterapi, Dr. Balwant Singh Bains yang pernah merawat beberapa orang kenamaan termasuk anggota keluarga diraja dari Asia Barat akibat strok, berkata, selain teh tarik, minat rakyat Malaysia terhadap makanan berasas daging juga mendedahkan mereka kepada penyakit berbahaya itu.

``Jika kita tidak ubah cara hidup terutama budaya teh tarik, serangan strok di kalangan generasi akan datang pasti amat tinggi,'' katanya kepada Bernama.

Sambil melahirkan kebimbangannya mengenai kegilaan rakyat negara ini terhadap teh tarik yang kandungan utamanya susu isian pekat, Dr. Bains berkata: ``Kencing manis dan tekanan darah tinggi adalah pembunuh terbesar di negara ini.

``Seseorang yang menghidapi kencing manis dan tekanan darah tinggi adalah ibarat bom jangka dan banyak bom jangka sedang bergerak di Malaysia yang akan meletup pada bila-bila masa.''

``Rakyat Thailand dan Indonesia lebih gemar meminum kopi tanpa dibancuh dengan susu isian pekat tetapi rakyat Malaysia adalah pengguna terbesar susu isian pekat di dunia. Oleh kerana itu, jumlah kes kencing manis di negara ini agak tinggi,'' katanya. - Bernama

Petikan: Utusan Malaysia 3 Januari 2006

Murid tahun 1 galas balang oksigen 5kg ke sekolah

MOHAMAD Zulhilmi Yahaya yang mengalami jangkitan paru-paru dibekalkan dengan balang oksigen 5kg oleh ibunya, Norizan Yeop semasa memasuki darjah satu di Sekolah Kebangsaan Sungai Seluang, Kulim, Kedah semalam (2.1.2006).

Petikan: Utusan Malaysia 3 Januari 2006