Thursday, July 27, 2006

Zakat guna SMS

Terengganu perkenal bayaran zakat fitrah melalui SMS

KUALA TERENGGANU 26 Julai – Mulai tahun ini, umat Islam di Terengganu boleh membayar zakat fitrah menerusi telefon bimbit apabila kerajaan negeri memperkenalkan pembayaran zakat itu menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS).

Bagaimanapun, pengumuman Menteri Besar, Datuk Seri Idris Jusoh itu dikritik oleh para ulama.

Mufti Perak, Datuk Seri Harussani Zakaria yang mengaku ‘tidak seronok’ dengan pendekatan baru itu berpendapat, kaedah sedia ada melalui amil yang dilantik kerajaan sudah memadai untuk menjalankan urusan itu.

Bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Profesor Datuk Dr. Mohd. Yusoff Hussain turut meminta kerajaan Terengganu mengkaji semula kesesuaian pembayaran zakat fitrah melalui SMS itu.

Idris semasa membuat pengumuman itu berkata, kaedah pembayaran itu akan menjadikan Terengganu negeri yang pertama di negara ini memperkenalkan sistem tersebut bagi memudahkan orang ramai menunaikan kewajipan mereka.

Beliau berkata pihaknya kini dalam peringkat akhir perbincangan dengan beberapa syarikat telekomunikasi bagi memperkenalkan perkhidmatan itu kepada orang ramai.

“Dengan cara ini, kita harap kutipan zakat (fitrah) akan bertambah dan ia juga akan memberi keselesaan kepada rakyat untuk membayar zakat. Kita akan perkenalkan perkhidmatan ini pada bulan Ramadan tahun ini,’’ katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco di sini hari ini.

Idris berkata, mereka yang menggunakan SMS untuk membayar zakat fitrah, jumlah kredit dalam kad prabayar mereka akan didebitkan.

Bagaimanapun, beliau berkata orang ramai masih mempunyai pilihan untuk menunaikan zakat fitrah melalui kaedah sedia ada iaitu menerusi amil yang dilantik kerajaan.

Dalam perkembangan lain, Idris berkata kerajaan negeri juga akan memperkenalkan pembayaran zakat seperti harta dan ternakan menerusi sistem e-zakat yang dicadangkan diadakan sebelum bulan Ramadan ini.

Beliau berkata penyediaan sistem itu kini di peringkat akhir dan satu taklimat penuh mengenai sistem itu akan diadakan pada pertengahan bulan depan.



Mufti Perak pertikai bayar zakat guna SMS

KUALA LUMPUR 26 Julai – Mufti Perak, Datuk Seri Harussani Zakaria mempertikaikan tindakan Kerajaan Terengganu memperkenalkan pembayaran zakat fitrah menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) mulai tahun ini kerana dikhuatiri tidak sampai kepada Pusat Urus Zakat (PUZ).

Beliau yang mengaku ‘tidak seronok’ dengan pendekatan baru itu berpendapat, kaedah sedia ada melalui amil yang dilantik oleh kerajaan sudah memadai untuk menjalankan urusan kutipan zakat.

Harussani turut mempersoalkan sama ada pendekatan sedia ada menimbulkan masalah sehingga memerlukan Kerajaan Terengganu memperkenalkan kaedah SMS untuk menambah kutipan zakat.

“Kita kenal ke siapa yang membayar zakat atau kita tahu ke sama ada ia benar-benar diterima oleh PUZ?

“Zakat merupakan satu ibadah yang perlu ditunaikan dan cara yang kita amalkan selama ini sudah mencukupi,’’ ujar beliau ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.

Harussani mengulas kenyataan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Idris Jusoh hari ini bahawa mulai tahun ini negeri tersebut akan memperkenalkan sistem pembayaran zakat melalui SMS bagi memudahkan orang ramai menunaikan kewajipan mereka.

Beliau berkata, pihaknya kini dalam peringkat akhir perbincangan dengan beberapa syarikat telekomunikasi bagi memperkenalkan perkhidmatan itu kepada orang ramai.

Mengenai ketiadaan lafaz akad antara pembayar zakat dan amil jika SMS digunakan, Harussani berkata, ia bukan sesuatu yang penting kerana niat sahaja sudah mencukupi dan pembayaran zakat sah di sisi hukum syarak.

Sementara itu, bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Profesor Datuk Dr. Mohd. Yusoff Hussain meminta Kerajaan Terengganu mengkaji semula kesesuaian pembayaran zakat fitrah melalui SMS.

Beliau yang juga Rektor Kolej Islam Darul Ridzwan, Ipoh, Perak menjelaskan, ia dikhuatiri boleh menyebabkan syarikat telekomunikasi mengaut pembahagian hasil yang sepatutnya diperolehi oleh amil.

“Saya khuatir ‘amil sebenar’ adalah syarikat telekomunikasi bukan amil yang dilantik oleh Majlis Agama Islam negeri.

“Amil akan mendapat satu per lapan daripada hasil kutipan zakat tetapi jika ia disalurkan melalui syarikat telekomunikasi, adakah ini bermakna syarikat itu juga akan mendapat bahagian mereka?,’’ ujar beliau ketika dihubungi.

UM 27.07.2006

Friday, July 21, 2006

Azlina Jelani...

Kes murtad Azlina Jelani (Lina Joy) dan kelemahan sistem perundangan
Oleh Peguam Pembela Islam

Implikasi terhadap masa depan Islam & Melayu di Malaysia

Muqaddimah

Maksud hadith;

Daripada Ibn Mas`ud dan `Aisyah, Nabi s.a.w. bersabda: Tidak halal darah seseorang muslim selain daripada tiga sebab: berzina selepas menjadi muhsan, membunuh orang lain tanpa hak dan mengasingkan diri dari jemaah serta meninggalkan agama (murtad). (Riwayat al-Bukhari, Muslim, Abu Dawud dll)

"Sesiapa yang menukar agamanya (murtad), maka hendaklah ianya dibunuh" (Riwayat al-Bukhari dan Abu Dawud)

Dalam sejarah lampau, kes Natrah, seorang wanita Belanda yang memeluk Islam dan berkahwin dengan Mansor Adabi telah dipaksa oleh ibu bapanya keluar dari Islam (Murtad) dan menggunakan mahkamah British di Singapura untuk dibawa balik ke Belanda.


Keprihatinan seluruh umat Islam & masyarakat dari seluruh pelusuk Tanah Melayu untuk berjalan kaki dan berbasikal untuk berkumpul & berdemonstrasi di Sinagpura untuk membantah & mempertahankan aqidah hanya SEORANG muslimah dari dimurtadkan tanpa sedikitpun memikirkan perasaan takut untuk berhadapan dengan bedila pelurun serta cota tentera British dan sebagainya yang menghalang mereka…

Hakikat yang berlaku selepas itu hingga sekarang, umat Islam sekarang terlalu lemah dan dayus untuk hanya mampu melihat sahaja tanpa memperdulikan langsung sejumlah 100,000 (Mufti Perak), dan 250,000 kes yang telahpun murtad “tanpa paksaan” dan hanya menanti untuk didaftarkan di Pejabat Pendaftaran Negara…

Apa pendirian kita…?

Latar belakang

Bangsa Melayu khususnya di Malaysia, adalah satu-satunya bangsa di dunia yang mengguna pakai definisi yang jelas di dalam perlembagaan untuk mentakrifkan definisi perkataan Melayu serta skop yang merangkuminya.

Istilah Melayu di Malaysia dijelaskan sebagai seorang yang penganut agama Islam, dan Islam & Melayu pada dasarnya mengikut definisi perlembagaan sama sekali tidak boleh dipisahkan.

Perkara ini diletakkan dengan jelas di dalam perlembagaan dan menjadi suatu undang-undang di Malaysia untuk Melayu tidak dibenarkan meninggalkan Islam, (rujuk Artikel 160 Perlembagaan Persekutuan), dan Melayu dan bangsa lain yang menganut agama Islam adalah tertakluk di bawah syariat Islam & perundangan Mahkamah Syariah di Malaysia.

Azlina Jailani @ Lina Joy?

Nama asal: Azlina Jailani, pernah memohon pada tahun 1997 untuk ditukar kepada Azlina Lelani tetapi ditolak sebab beralasan telah tukar agama Kristian.

Permohonan kedua untuk tukar kepada Lina Joy pada 1999 tanpa menyatakan sebab pertukaran kepada agama Kristian telah diluluskan, dengan Kad Pengenalan Baru tertera perkataan Agama Islam.

Ayah bernama Jailani bin Shariff dan ibu bernama Kalthum binti Omar, keduanya beragama Islam dan mengamalkan hidup sebagai Muslim.

Berwajah typical Malay, berbangsa Melayu keturunan Jawa, berumur 42 tahun.

Mengisytiharkan tidak pernah mempraktikkan Islam sejak lahir, beragama Kristian sepenuhnya sejak tahun 1990, mempunyai sijil Baptis yang dikeluarkan pada 11-May-1998, dan pada tahun 2000 menyatakan hasrat untuk berkahwin dengan seorang India Kristian, dan meminta untuk didaftarkan perkahwinan tersebut untuk mengesahkan perkahwinan beliau.

Telah beberapa kali dipanggil dan dinasihatkan oleh Majlis Agama berkenaan kemurtadan beliau, tetapi beliau mempertahankan yang pilihan keluar dari Islam adalah kehendak sendiri dan telah dimaklumkan pada kedua ibu bapa.

Bekerja di ProQuest di Taipan, Subang Jaya.menetap di Taman Dato’ Tan Yeiw Lai, Kuala Lumpur.

Fakta kes

Selepas berkahwin dengan seorang Kristian, beliau memohon untuk pendaftaran perkahwinan, tetapi tidak dibenarkan sebab di dalam Kad Pengenalan masih tertulis beragama Islam walaupun beliau berjaya menukar nama dalam Kad Pengenalan kepada Lina Joy.

Berusaha untuk menghilangkan perkataan agama Islam tersebut dengan permohonan kepada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) pada tahun 2000.

Permohonan tidak dibenarkan oleh JPN disebabkan tidak ada kebenaran dari Mahkamah Syariah yang membenarkan memperakui beliau keluar Islam.

Mahkamah Syariah mengguna pakai undang-undang Islam yang tidak mengbenarkan (MENGHARAMKAN) seseorang Muslim keluar dari Islam (Murtad), dan Sijil Tukar Agama (Murtad) seperti yang dikehendaki oleh JPN tidak dapat dikeluarkan.

Permohonan bermula di Mahkamah Tinggi tahun 2000, seterusnya ke Mahkamah Rayuan pada 19-Septemebr-2005, dan keduanya mengiktiraf bahawa kes adalah dalam kuasa Mahkamah Syariah untuk membenarkan beliau keluar dari Islam dan membolehkan dibuang perkataan Islam di dalam Kad Pengenalan.

Setelah semuanya tidak berjaya, peguambela, Dato’ Dr Cyrus Das, juga bekas Presiden Majlis Peguam, berjaya mendapat kebenaran untuk kes dibawa kepada Mahkamah Persekutuan.

Kes didengar oleh 3 Hakim (2 Muslim & 1 non-mullim ~ Ketua Hakim Tun Fairiz, Dato’ Alauddin, & Dato’ Richard) pada dasarnya berpendirian yang sama menyokong tindakan Mahkamah Rayuan… HINGGALAH Majlis Peguam yang di ketuai oleh Peguam Malik Imtiaz Sarwar dan beberapa yang lain, yang hanya menjadi barisan peguam pemerhati beserta banyak lagi NGO yang menyokong Lina Joy meminta untuk memberi hujah & bersuara, dan DIBENARKAN oleh mahkamah yang terlibat.

Itu adalah permulaan isu ini dibesarkan yang mana tidak pernah dalam sejarah perundangan negara peguam pemerhati dibenarkan berhujah di dalam Mahkamah.

Hujah yang dibawa oleh barisan peguam pemerhati yang diketuai oleh Majlis Peguam tersebut melarikan isu utama kes berkenaan daripada hak & kuasa Mahkamah Syariah TETAPI memberi hujah bahawa Lina Joy adalah berhak untuk mempraktikkan kepercayaannya dan dilindungi oleh perlembagaan sebagai hak individu seperti yang terkandung di dalam Artikel 11 Perlembagaan Persekutuan.

Isu Mahkamah Syariah seperti yang diputuskan oleh mahkamah terdahulu sudah tidak releven lagi pada hujah Majlis Peguam, dan isu yang diperjuangkan oleh Kumpulan Artikel 11 & IFC dijadikan isu utama kes ini di Mahkamah Persekutuan.

Isu yang diperjuangkan oleh kesebelas NGO non-Mulsim atas nama kumpulan Artikel 11 & Inter-Faith Council (IFC) adalah untuk mendefinisikan perkataan "person" (individu) yang terkandung di dalam Artikel 11 tersebut untuk merujuk kepada individu as per say, bukan lagi kumpulan atau agama secara umumnya.

Ini adalah kali pertama dalam sejarah Malaysia attempt yang sebegitu berani & bersikap kurang ajar yang dilakukan untuk menghuraikan definisi tersebut untuk menguraikan ikatan Islam mengikut kepahaman peribadi seseorang penganut itu sendiri, dan menafikan hak Islam sebagai agama untuk mewajibkan umatnya mempraktikkan amalan & syariat Islam seperti yang terkandung dalam undang-undang Islam.

Implikasi dan definisi 'Individu'

Nampak & dengar terlalu kecil, tetapi implikasinya melampau batas pemikiran kita…!

Orang Islam dibenarkan meninggalkan Islam pada bila-bila masa sahaja, walaupun mengakui mereka adalah Melayu pada bangsanya.

Ini bermakna Melayu di Malaysia bukan lagi terikat dengan agama Islam seperti yang telah digazetkan dalam perlembagaan.

Apabila definisi "person" didefinisikan sebagai hak individu, maka agama Islam boleh ditafsirkan mengikut kefahaman individu sendiri tanpa ada undang-undang Islam yang boleh mengongkongnya;

Orang Islam boleh keluar-masuk Islam pada bila-bila masa. Islam boleh diamalkan mengikut kefahaman sendiri sepenuhnya. Kesalahan syarie oleh seorang Muslim tidak boleh diambil tindakan disebabkan perundangan Syariah sudah tidak relevent.

Sebagai contoh, solah boleh dilakukan mengikut sedap hati mengikut rakaat solah yang difahami sendiri, puasa dalam Ramadhan boleh ditinggalkan apabila membuat deklarasi “bukan Islam” pada bulan itu tanpa boleh diambil tindakan.

Semua badan-badan Islam tidak relevent lagi dalam perundangan semasa, sebab hak mempraktikkan secara individu diperjuangkan.

Raja-raja Melayu hilang kuasa sebagai benteng & simbol agama.

Kanak-kanak apabila masuk umur 18 tahun, ibu bapa akan terus hilang kuasa untuk menetapkan agama dan fahaman mereka, dan tindakan boleh diambil ke atas ibu bapa yang memaksa anak mereka mengamalkan Islam.

Perukunan Islam pada dasar sudah tidak valid disebabkan tiada satu pun akta-akta berkaitan Islam contohnya Akta Solah, Akta Puasa, Akta Haji, Akta Zakat yang mengikat seseorang Muslim di dalam perlembagaan.

Mengapa kes Lina Joy?

Kes Lina Joy adalah kes yang seduah lama didiamkan, tetapai ianya telah dimarketingkan diperingkat antarabangsa secara bersungguh-sungguh, adan ia adalah satu daripada ratusan ribu kes yang menanti untuk diketengahkan.

Kes Lina Joy adalah kes yang mengambil kesempatan dalam kekalutan semasa umat Islam di dunia, dan di Malaysia khususnya yang amat lemah dan tidak ada keupayaan untuk digembleng untuk mempertahankan Islam di mana-mana sahaja, hatta mempertahan aqidah seorang muslim yang lain.

Kes ini pada dasarnya adalah rentetan daripada tuntutan kumpulan “Artikel 11” yang pernah berkumpul di Petaling Jaya & Melaka, dan pernah cuba berkumpul di Pulau Pinang pada 14-Mei-2006 yang menuntut kepada pemerintah untuk membenarkan sepenuhnya kebebasan Murtad di bawah Artikel 11 Perlembagaan Persekutuan, setelah kekalahan untuk kes Mohamed Abdullah @ Moorthy, S. Sharmala dan Nyonya Tahir.

Amat mendukacitakan sekali apabila kumpulan Artikel 11 yang juga dikenali Inter-Faith Council (IFC) disertai oleh beberapa individu Melayu & Islam termasuklah Sister-in-Islam, yang digerakkan oleh pemimpin-pemimpin & sekutu pemimpin-pemimpin negara yang beragama Islam.

Kes Lina Joy adalah attempt yang akan memberikan impact yang amat besar, dan diistilah kan sebagai “beyond our imgination” yang mana ia secara langsung mencabar undang-undang Syariah oleh Mahkamah Syariah di bawah Perkara 121(A) Perlembagaan Persekutuan, samaada ianya akan dipinda atau dihapuskan sepenuhnya, dan seterusnya mancabar hukam yang Allah SWT telah tetapkan di dalam Al Quran & As Sunnah.

Berikutan kes Lina Joy, maka terlalu banyak kes-kes permohonan Murtad dan sebagainya yang telah lama menunggu & sedang menunggu, dan kejayaan dari kes ini akan membenarkan permohonan lebih 250,000 untuk keluar Islam akan dibenarkan oleh perlembagaan.

Kes ini menjadi PERHATIAN PENUH organisasi & individu bukan Islam seluruh dunia, dan seluruh negara-negara besar didunia menghantar wakil untuk memberikan pressure yang besar ke atas hakim & sistem perundangan negara yang AMAT LEMAH untuk membela aqidah seorang rakyat Islam.

www.becketfund.com, www.malaysianbar.org.my, www.bernama.com.my menyenaraikan dengan jelas fakta kes dan bagaimana organisasi besar satu dunia ini menjadi tembok & dalang yang begitu kuat yang membela Lina Joy. Ianya dianggotai oleh pelbagai pertubuhan hak asasi manusia sedunia.

Di Malaysia pula 11 NGO dan organisasi menghantar wakil ke Mahkamah Persekutuun untuk memberi pressure kepada Hakim yang terlibat setelah mereka dibenarkan bersuara untuk membela Lina Joy, antaranya;

Malaysian Bar Council
All Women’s Action Society (AWAM)
Sisters in Islam (SIS)
Catholic Lawyers Society
Interfaith Spiritual Fellowship
Malaysian Civil Liberties Society (MCLS)
Malaysian Consultative Council of Buddhism, Christianity, Hinduism and Sikhism (MCCBCHS)
National Human Rights Society (HAKAM)
Pure Life Society
Suara Rakyat Malaysia (SUARAM)
Vivekananda Youth Movement, Seremban
Women’s Aid Organization (WAO)
Women’s Development Collective (WDC)

Wakil dari pertubuhan antarabangsa khususnya juga bercakap menyatakan pendirian & tekanan mereka ke atas mengkehendaki agama adalah pilihan 100% pada diri individu tanpa paksaan, dan membentngkan paper & kes study yang begitu panjang lebar kepada hakim-hakim yang terlibat untuk meletakkan mereka pada tahap kekeliruan yang amat tinggi.

Dalang utama pihak yang membela Lina Joy adalah wakil Bar Council yang beragama Islam (Malik Imtiyaz Sarwar) telah mengambil partisan stand untuk memberi hujjah yang menyokong tindakan Lina Joy tersebut tanpa mendapat restu dari Bar Council member.

Malik sendiri berpendirian agar seorang Muslim dibenarkan untuk menukar agama mereka kepada apa jua pilihan mereka…

Suatu yang amat menyedihkan kerana tidak ada wakil daripada pertubuhan Islam yang begitu banyak di Malaysia, kecuali wakil beguam dari ABIM dan Persatuan Peguam Muslim Malaysia sahaja yang bercakap mempertahankan hujah.

Suatu fakta yang dinyatakan oleh Peguambela pihak Lina Joy di dalam mengakhiri kes itu menyebut;

"…it is time that we must knock into the heads of Malay that our country Malaysia is never been an Islamic country. Strong message must be thrown to Muslim to tell them that in Malaysia Islam is just a subservient to constitution…”

Tindakan segera

Memandangkan kes ini hanya mempunyai tempoh 6 minggu sebelum diputuskan di Mahkamah Persekutuan Putrajaya pada 28-Julai-2006, maka tindakan segera telah diputuskan untuk diambil oleh segenap lapisan masyarakat Islam, antara keputusan jangka masa pendek yang telah dicadang dan dipersetujui akan diusahakan secepat mungkin adalah;

Penubuhan segera kumpulan Peguam Pembela Islam (PPI) yang diketuai oleh Peguam Zainur Zakaria, bekas Presiden majlis Peguam untuk melakukan protes kepada Majlis Peguam di atas keputusan beberapa Eksekutif Committee untuk menyokong kes Lina Joy;

Isu secara langsung seolahnya menunjukkan seolahnya Majlis Peguam adalah dalang utama kes ini setelah mereka menyatakan sokongan penuh kepada kes Lina Joy di Mahkamah Persekutuan baru-baru ini, sedangkan tidak pernah mendapat mandate tersebut daripada badan dan ahli Majlis Peguam yang dilantik.
Majlis Peguam juga telah menjadi pemangkin kepada tindakan berani & kurang ajar pelbagai pertubuhan NGO bukan Islam dalam & luar negara untuk mengajar orang-orang Islam untuk bagaimana mengamalkan Islam di Malaysia.

Suatu EGM akan diadakan segera untuk membantah dengan mendapat tandatangan lebih 200 peguam Islam yang hadir dalam perjumpaan 12-Julai-2006 untuk menghalang Majlis Peguam daripada menyebelahi Lina Joy dalam kes beliau.

Zainur Zakaria dan dianggotai 15 peguam lain sebagai committee termasuk Kamar Ainiah, Zainul Rijal Abu Bakar, Haji Mohamad Buruk dan Dato' Zaiton Othman mewakili Persatuan Peguam Muslim Malaysia, merangkumi pelbagai bidang kepakaran dan fahaman politik yang pelbagai. Antara yang lain adalah; Dato Abu Zahar, Dato Ainuddin, Zulkifli Nordin, PaaWan Chik Marican (Peguambela utama kes), Baharuddin, Subki Yusuf, Radhi (Setiausaha NGO Melayu), Zainddin Ismail, Zainur Ridaun, Shamsuriya, Azril, Raja Mustafa…
Suatu website diwujudkan segera untuk menjadi rujukan kepada fakta kepada kes ini, www.peguampembelaislam.com atau www.peguampembelaislam.org, yang akan diputuskan segera mengikut kesesuaian.

Suatu Press Statement dikeluarkan oleh Peguam Pembela Islam untuk mendesak semua pihak yang terlibat untuk menghormati undang-undang dan menafikan penglibatan Majlis Peguam di dalam membela kes Lina Joy.

Perjumpaan oleh semua gabungan NGO Islam & Melayu untuk menyatakan sokongan terhadap tindakan Peguam Pembela Islam serta menyebarkan kesedaran kepada seluruh masyarakat tentang isu ini;
Kes ini ada kes yang menjadi perhatian dunia, sedangkan di Malaysia kes ini disorokkan oleh pihak media tempatan atas alasan faktor keselamatan dan sebagainya, kecuali kenyataan yang terkandung di dalam Bernama.com.my

Umat Islam di Malaysia dari apa jua kefahaman politik dan bangsa perlu sedar dan disedarkan tenatang apa yang sedang berlaku dan implikasinya terhadap Islam, Muslim dan perjuangan Islam di Malaysia pada masa hadapan.

Majlis tersebut akan diselia oleh ABIM yang akan diadakan di Ibu Pejabat ABIM, Anjung Rahmat, Jalan Gombak pada 16-July-2006, Jam 2.30pm.

Semua dijemput hadir Press Statement telah dikeluarkan oleh Persatuan Peguam Syarie, Dato’ Zaiton Osman pada Jumaat 07-July-2006 tetapi langusng tidak dikeluarkan oleh mana-mana media di Malaysia.
Mesej akan disampaikan melalui mimbar khutbah Jumaat pada minggu hadapan atas kebenaran daripada pihak yang terlibat.

Paling kurang 100,000 artikel akan dicetak dan diedarkan dengan tujuan untuk menyedarkan umat Islam tentang perkara ini dalam bentuk bertulis, dalam bentuk yang mudah dipahami kepada seluruh masyarakat Malaysia.

Solah Hajat diminta dilaksanakan di segenap peringkat untuk memberi kesedaran dan memohon pertolongan Allah untuk menyelamatkan aqidah Umat Islam di Malaysia, khususnya.

Usaha juga akan diteruskan untuk menyedarkan pemimpin-pemimpin negara serta Majlis Raja-Raja tentang implikasi dari sikap ambil tidak endah dari kes ini, serta meminta dengan kuasa yang ada pada tangan mereka untuk berusaha menyelamatkan aqidah umat Islam dari terus dimusnahkan.

Seluruh badan serta oraganisasi & individu mesti menggunakan setiap kekuatan yang ada untuk mempengaruhi serta menyedarkan masyarakat tentang isu ini, serta meminta masyrakat untuk mencuba sedaya mungkin mempengaruhi pihak yang terlibat untuk memastikan pekutusan berpihak kepada menjaga Aqidah Islam.

Pengumpulan dana kewangan segera susulan daripada dana yang telah dukumpul ketika perjumpaan peguam Muslim pada 12-Julai-2006, yang akan digunakan untuk menggerakkan bantuan kepada individu yang terlibat di dalam kes ini, termasukalah untuk mendapatkan beberapa unit notebook serta printer dan peralatan lain sekretariat Peguam Pembela Islam.

Mengumpul tandatangan seluruh Muslim di Malaysia untuk diserahkan kepada pemerintah dan Raja & Hakim sebagaimana yang telah dilakukan oleh NGO tersebut dengan mengumpul 20,000 tandatangan dan diserahkan kepada Perdana Menteri baru-baru ini. Amat malang tiada sebarang tindakan atau statement dikeluarkan oleh beliau, malah seorang Menteri yang terlibat dengan perundangan Malaysia juga telah melabelkan “bodoh” kepada individu yang menghalang dari usaha ini diteruskan.

Seterusnya, atas usaha & idea bersama yang perlu dilakukan segera.

Maklumat seterusnya akan disalurkan melalui group email, boleh mendaftar sebagai ahli secara percuma; peguampembelaislam@yahoogroups.com

Penutup

Saudara sekalain, Allah tidak akan tanya apa hasil dari apa yang kita lakukan, tetapi Allah akan tanya kita apa yang kita lakukan untuk memastikan tanggungjawab fardhu ‘ain untuk menegakkan Islam di muka bumi dilaksanakan…

Fikir & bertindak. Wassalam. - mks.

Thursday, July 20, 2006

The Apprentice



Bagaimana sekiranya Pak Lah menyertai program realiti The Apprentice , dan bagaimana ahli pasukannya yang terdiri daripada Samy Vellu, Khairy dan Najib berhadapan dengan Donald Trump.

Donald Trump: Lah, kenapa kamu kalah?

Pak Lah: Saya pun kurang pasti, semua yang kami rancangkan berjalan lancar. Mungkin pasukan lain mempunyai kelebihan dari segi idea dan buah fikiran.

Donald Trump: Siapa yang bertanggungjawab membuat keputusan dalam kumpulan ini?

Pak Lah: Saya. Tetapi yang mencadangkan perkara tersebut ialah Samy Vellu.

Samy Vellu: Memang saya yang mencadangkannya tetapi saya pun tidak tahu perkara akan jadi seperti ini.

Donald Trump: Tapi kamu telah membuat kesilapan yang besar. Siapa yang bertanggungjawab dalam promosi? Saya melihat promosi kumpulan kamu sangat teruk, sedangkan kumpulan lain menyasarkan kepada pelanggan internet. Kamu hanya mempromosi di kaki lima.

Khairy: Saya yang menguruskan promosi.

Donald Trump: Apa pula tugas Najib? Najib: Saya menguruskan jualan. Bagi saya jualan kami tidak menyumbang kepada kekalahan tapi strategi pemasaran.

Donald Trump: Saya sangat kecewa dengan prestasi kerja kamu, terutamanya kamu Samy Vellu. Tetapi sebagai pengurus projek, semua tanggungjawab terletak di bahu kamu Lah. Apa pendapat kamu?

Pak Lah: Saya akuinya dan saya akan mempertingkatkan usaha saya dalam tugasan akan datang. Saya akan membuktikan yang saya akan menjadi perantis kamu.

Donald Trump: Baiklah, saya ingin kamu memilih 2 orang untuk dibawa ke bilik persidangan. Siapa yang kamu pilih?

Pak Lah: Najib dan Samy Vellu.

Donald Trump: Kamu pasti? Kenapa kamu tak memilih Khairy? Bukankah Khairy juga melakukan kesalahan dengan pelan promosi yang kurang memberangsangkan?

Pak Lah: Khairy lebih berusaha melakukan tugasannya dengan baik berbanding Najib walaupun gagal.

Najib: Ye kenapa kamu memilih saya? Apa yang telah saya lakukan?

Pak Lah: Jualan sedikit disebabkan oleh kamu. Itu tidak dapat dinafikan.

Najib: Jualan sedikit kerana promosi oleh Khairy yang tidak sesuai dan tidak dapat menarik ramai pelanggan.

Donald Trump: Sudah, cukup! Lah, kamu tahu yang Khairy dan Samy Vellu lebih banyak melakukan kesalahan berbanding Najib. Tetapi kamu tidak memilih Samy Vellu. Terlalu banyak kesalahan kumpulan kamu minggu ni. Kamu tidak dapat memimpin dengan baik.

Pak Lah: Tapi..

Donald Trump: Lah, terlalu banyak kesilapan minggu ni.

Pak Lah: Tapi Tuan Donald... saya...

Donald Trump: Lah... You're fired! Go!

Itu dah kira kesudahan yang agak baik. Kalau angin Donald Trump tak baik, "kamu semua saya pecat!!". Renungkanlah.

Wednesday, July 19, 2006

Serban

Jangan pertikai sunah Nabi
Oleh Ustaz Ahmad Awang

MAHKAMAH Rayuan telah pun membuat keputusan menolak rayuan tiga pelajar yang dibuang sekolah kerana memakai serban.

Kita tidak berniat hendak mempertikaikan keputusan tersebut. Tetapi apa yang hendak dinyatakan di sini ialah tentang kenyataan bertulis yang dibuat oleh salah seorang hakim itu mengenai sunah Nabi adalah sesuatu yang cukup sensitif.

Gambaran yang diberikan itu bukan sahaja telah menjejaskan nama baik Nabi tetapi juga ajaran agama Islam itu sendiri. Kenyataan bahawa serban itu berasal daripada masyarakat Arab jahiliah dan bukan merupakan amalan nabi serta satu perkara yang besar adalah amat dikesali.

Kita hairan dan terkilan apa perlunya hakim mengaitkan cerita orang Arab Jahiliah dan Abu Jahal memakai serban dengan menolak rayuan yang dikemukan oleh tiga pelajar berkenaan.

Memakai serban tidak sekadar ada hubungan dengan sunah tetapi juga ada kaitan dengan hukum. Apabila sudah sentuh hukum syarak maka hakim sepatutnya memanggil pakar rujuk berkaitan bagi mengulas isu tersebut.

Ini lebih afdal dan adil daripada membuat kenyataan tanpa merujuk kepada keterangan yang diberikan oleh mereka yang lebih arif dalam bidang agama. Ini kerana sudah menjadi satu prosedur di mahkamah akan memanggil mereka yang pakar dalam bidang masing-masing sebagai rujukan mereka. Jangan pula hakim menjadi hakim dan pada masa yang sama menjadi pakar rujuk dalam bidang yang bukan menjadi kepakarannya.

Membuat kenyataan tanpa sandaran dan asas agama yang kuat boleh menimbulkan kekeliruan. Hal ini tidak semata-mata dalam perkara yang berkaitan dengan serban tetapi sunah-sunah Nabi yang lain.

Membandingkan siapakah yang lebih alim antara mereka yang naik dengan unta dan kapal terbang jelas mengandungi unsur mempersendakan Nabi. Begitu juga pada zaman Nabi, orang membina rumah dan masjid dengan tanah liat serta daun kurma dan mengosok gigi menggunakan sugi tidak harus dijadikan sebagai hujah penghakiman yang kuat.

Kita bersetuju bahawa dalam al-Quran dan hadis tidak disebut orang yang naik unta lebih alim. Tetapi kondisi tersebut harus dilihat dalam konteks pada zaman nabi. Malahan dalam kebanyakan situasi, apa yang digunakan pada zaman dahulu masih lagi relevan sehingga ke hari ini.

Apakah sesiapa yang berani menafikan bahawa rumah dan masjid yang ada kini bukan diperbuat daripada tanah liat. Tidakkah bata yang digunakan berasal daripada tanah liat. Simen juga berasal daripada tanah. Bahkan besi yang digunakan dalam pembinaan bangunan moden juga berasal daripada tanah.

Jadi, perbandingan yang digunakan oleh hakim tersebut jelas tidak tepat dan kena pada tempatnya. Tidak ramai mufti atau hampir tiada hakim Mahkamah Syariah memakai serban tidak boleh dijadikan sebagai hujah bahawa pemakaian serban bukan merupakan amalan yang digalakkan oleh Islam.

Hujah yang berlandaskan kepada fakta perundangan lebih sesuai digunakan daripada membuat hujah-hujah yang menyentuh sejarah. Hujah sejarah ini nampaknya juga telah digunakan oleh Menteri Pelajaran, Hishammuddin Tun Hussein untuk mempertahankan tindakan pihak sekolah.

Dalam satu kenyataan beliau menyatakan lega dengan keputusan mahkamah itu. Keputusan itu menunjukkan tindakan pihak sekolah adalah betul. Jadi, tidak timbul Kementerian Pendidikan menghalang pelajarnya memakai serban kerana ia bertentangan dengan peraturan yang sedia ada.

Kalau begitu, bagaimana pula dengan kedudukan pelajar-pelajar berketurunan Sikh yang memakai serban di sekolah. Kenapa dibolehkan pula? Kalau pelajar Sikh dibenarkan berbuat demikian kerana pemakaian serban ada kaitan dengan sejarah dan agama maka umat Islam juga mempunyai sejarah dan tuntutan agama yang berkaitan dengan pemakaian serban.

Dalam sejarah pendidikan di negara kita, pelajar-pelajar pondok sudah lama memakai serban dan pemakaian itu ada hubungan dengan agama. Dalam hal ini, kebenaran pakai serban diberikan kepada orang Sikh kerana kaitan dengan pegangan agama mereka.

Kenapa dalam isu ini, kita tidak pula menghormati agama orang Islam. Kita khuatir penolakan rayuan oleh mahkamah dan tindakan Kementerian Pelajaran (KP) akan mengundang lebih banyak pertikaian berhubung pakaian seragam yang dipakai di sekolah.

Kalau hujah sejarah hendak digunakan maka didapati tudung dan baju kurung bukan merupakan pakaian seragam yang disyaratkan oleh KP. Uniform yang diputuskan masih lagi skirt dan blaus. Hanya apabila ibu bapa sedar pemakaian uniform itu bercanggah dengan hukum syarak maka timbullah desakan supaya pelajar dibenarkan bertudung dan pakai baju kurung.

Kebenaran itu datang daripada pihak sekolah semata-mata dan bukannya peraturan yang disyarat atau diwajibkan oleh KP. Sebab itu di kalangan pelajar-pelajar Islam masih ada yang pakai tudung dan berbaju kurung dan ada yang tidak. Sejak akhir-akhir ini sudah ibu bapa yang mempertikaikan anaknya dipaksa pakai tudung dan baju kurung di sekolah. Uniform tudung dan baju kurung adalah pilihan ibu bapa.

Oleh itu, kita mendesak pihak KP supaya mewajibkan pemakaian tudung di kalangan pelajar-pelajar Islam kerana ia diwajibkan bagi orang Islam.

Manakala pemakaian serban pula adalah sunat. KP perlu meminda peraturan supaya uniform yang dipakai haruslah yang tutup aurat termasuk tudung khususnya kepada pelajar yang telah capai akil baligh.

Jangan ingat menteri sudah lega kerana ibu bapa dan masyarakat Islam tidak lega dengan keputusan mahkamah yang boleh memberikan implikasi negatif terhadap pemakaian tudung, baju kurung dan kain sarung di sekolah.

Pakaian tersebut bukan merupakan seragam yang ditetapkan oleh pihak kerajaan melainkan hanya merupakan pilihan sekolah semata-mata. Sekiranya ada yang membawa kes ke mahkamah ada kemungkinan pemakaian tudung dan baju kurung akan dibatalkan di sekolah.

Monday, July 03, 2006

1.2 juta penagih dadah?

1.2 juta penduduk Malaysia penagih dadah

Oleh Abdul Muin Sapidin

KEPALA BATAS 2 Julai - Kementerian Keselamatan Dalam Negeri memberi amaran ancaman dadah di negara ini semakin membimbangkan apabila dianggarkan 900,000 hingga 1.2 juta penduduk Malaysia kini menagih dadah.

Malah, perangkaan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) menunjukkan fakta yang amat meresahkan.

Majoriti yang terlibat penyalahgunaan dadah ialah golongan belia atau rakyat berumur 20 hingga 40 tahun.

Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Datuk Johari Baharom berkata, fakta itu berdasarkan kajian ke atas lebih 290,000 orang penagih dadah berdaftar yang dicatatkan sehingga Mei lalu di seluruh negara.

Beliau menegaskan, kajian komprehensif Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi justifikasi bahawa bagi setiap satu kes penagih dadah dilaporkan, terdapat sekurang-kurangnya tiga atau empat kes masih tidak dilaporkan.

“Berdasarkan kajian itu, terdapat sekurang-kurangnya 900,000 hingga 1.2 juta penduduk negara ini menagih dadah, adalah jelas ia amat membimbangkan.

“Situasi ini merupakan satu ancaman besar kepada negara sekiranya langkah menanganinya tidak diambil segera,” katanya ketika berucap merasmikan Program Orang Kurang Upaya (OKU) bersama Masyarakat Membasmi Dadah di sini hari ini.

Johari berkata, sekiranya tidak ditangani dengan segera, hasrat melihat negara bebas dari ancaman dadah yang juga musuh nombor satu negara menjelang tahun 2015, mungkin tidak kesampaian.

Justeru, tegasnya, keadaan itu menuntut kepada satu gerakan pembasmian yang lebih fokus, tersusun, jitu dan menyeluruh tanpa bergantung kepada usaha kerajaan bagi menanganinya.

“Kita tidak boleh membiarkan kerajaan berjuang sendirian dalam hal ini, selain keperluan untuk melihat agensi kerajaan lebih agresif, seluruh rakyat perlu bangkit membasmi najis dadah,” tegas beliau.

Sehubungan itu, beliau mahu lebih banyak pertubuhan bukan kerajaan (NGO), swasta dan pihak sekolah tampil bersama-sama kerajaan menggembleng tenaga membanteras gejala tersebut.

Beliau menambah, ancaman dadah perlu ditangani secara menyeluruh kerana ia juga menjadi penyebab utama kepada penyakit berbahaya terutama AIDS.

Johari menarik perhatian, pada 1986 hanya empat kes HIV dilaporkan tetapi hari ini terdapat lebih 80,000 penghidap HIV di negara ini.

UM - 03.07.2006